Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MISTERI KEMATIAN PRATYUSHA

     Dalam dunia perfileman India Selatan, nama Prathyusha pernah bersinar sebagai antara pelakon muda yang berbakat besar. Dilahirkan pada 29 Ogos 1981 di Bhongir, Andhra Pradesh, Prathyusha dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana. Sejak kecil, dia menunjukkan minat terhadap seni persembahan dan impiannya untuk menjadi pelakon akhirnya membawanya ke dunia glamor filem Telugu dan Tamil. Namun di sebalik kejayaan yang mula diraih, takdirnya berakhir dalam kejadian yang penuh misteri dan tanda tanya. 

     Prathyusha memulakan karier lakonannya pada akhir 1990-an dan cepat mencuri perhatian pengarah serta peminat dengan wajah lembut dan lakonannya yang tulus. Antara filem yang membawanya ke arus perdana termasuk Raayudu (1998), Samudram (1999), Kalusukovalani (2002) dan filem Tamil terkenal Thavasi (2001) di mana dia digandingkan dengan pelakon lagenda Vijayakanth. Kerjaya Pratyusha dijangka melonjak lebih tinggi kerana dia turut menandatangani beberapa projek dalam industri filem Kannada. Di sebalik senyuman manis yang sering terpampang di skrin, tidak ramai yang tahu bahawa hidupnya sebenarnya dikelilingi oleh tekanan emosi dan konflik peribadi yang akhirnya meruntuhkan seluruh impian.

     Kejadian menimpa pada 23 Februari 2002 apabila Prathyusha dan teman lelakinya yang bernama Siddharth Reddy dilaporkan telah cuba membunuh diri dengan meminum racun. Menurut laporan awal, tindakan itu berpunca daripada tekanan akibat hubungan mereka tidak direstui oleh keluarga masing-masing. Prathyusha dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal namun tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia. Siddharth pula terselamat dan kemudiannya menjadi fokus siasatan. Negara India dikejutkan dengan berita tersebut. Seorang pelakon muda yang sedang meningkat naik meninggal dunia dalam keadaan tragik ketika berusia hanya 20 tahun.

     Walau bagaimanapun, insiden itu tidak berakhir di situ. Ibu Prathyusha iaitu Sarojini Devi mula mempertikaikan punca sebenar kematian anaknya. Dia mendakwa bahawa Prathyusha tidak membunuh diri sebaliknya telah dirogol dan dibunuh. Tuduhan ini mengejutkan ramai pihak kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan kenyataan rasmi polis malah membayangkan adanya cubaan menutup kes sebenar. Sarojini juga menuduh beberapa individu berprofil tinggi termasuk ahli politik tempatan yang terlibat dalam konspirasi ini. Dia percaya kematian anaknya telah dimanipulasi dan disamarkan sebagai kes bunuh diri.

     Menambahkan lagi kekeliruan ialah kenyataan seorang pakar forensik, Dr. Muniswamy yang menyatakan bahawa Prathyusha tidak mati akibat racun seperti yang dilaporkan tetapi disebabkan asfiksia akibat pencekikan manual. Ini bermaksud Pratyusha telah dicekik sehingga mati. Lebih mengejutkan, Dr. Muniswamy mendakwa bahawa kesan air mani turut ditemui pada tubuh Prathyusha menunjukkan kemungkinan dia telah dirogol sebelum dibunuh. Kenyataan ini menggemparkan dan menimbulkan tekanan terhadap pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lebih mendalam.

     Kenyataan Dr. Muniswamy akhirnya dipertikaikan dan sia digantung kerja atas alasan membuat dakwaan tanpa asas yang kukuh. Dalam perkembangan selanjutnya, Biro Penyiasatan Pusat (CBI) mengambil alih kes ini dan menjalankan siasatan rasmi. Setelah beberapa bulan siasatan dilakukan, CBI mengeluarkan kenyataan bahawa tiada unsur pembunuhan atau serangan seksual ditemui dalam laporan forensik yang sah dan menyimpulkan bahawa kes ini adalah bunuh diri akibat desakan emosi. Siddharth Reddy kemudiannya didakwa atas tuduhan menghasut bunuh diri dan pada tahun 2004, dia dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun serta denda ₹6000. Keputusan ini bagaimanapun tetap tidak diterima oleh keluarga Prathyusha yang kekal percaya bahawa kebenaran sebenar belum terbongkar.

     Selepas pemergian anak tunggalnya, ibu Prathyusha menubuhkan sebuah organisasi amal yang dikenali sebagai Prathyusha Charitable Trust. Yayasan ini bertujuan membantu wanita yang menjadi mangsa penderaan domestik, keganasan seksual dan ketidakadilan sosial. Kes Prathyusha juga memberi inspirasi kepada pengarah-pengarah filem yang menghasilkan filem berunsurkan seram dan thriller berdasarkan kematian tragiknya termasuk filem Poga (2014) yang menampilkan watak hantu seorang pelakon yang kembali untuk membalas dendam.

Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEMATIAN PRATYUSHA"