KISAH PEMBUNUHAN KEJAM BAYI KAI KAI

Kai Kai adalah seorang bayi lelaki yang baru berusia setahun. Malangnya usianya yang masih terlalu muda itu tidak melindunginya daripada kekejaman manusia. Selama beberapa bulan, dia menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental yang berpanjangan. Kisah menyayat hati ini berlaku di Taiwan dan telah mencetuskan kemarahan serta kesedihan dalam kalangan rakyat negara itu.
Kai Kai dilahirkan dalam sebuah keluarga yang bermasalah. Ibunya dilaporkan tidak mampu menjaga dirinya manakala bapanya pula tidak diketahui identiti atau keberadaannya. Tanpa tempat bergantung, Kai Kai diserahkan kepada Child Welfare League Foundation (CWLF) iaitu sebuah organisasi kebajikan kanak-kanak di Taiwan pada Ogos 2023. CWLF kemudian meletakkan Kai Kai di bawah jagaan seorang pengasuh berlesen bernama Liu Tsai-hsuan yang tinggal bersama adiknya, Liu Juo-lin. Kedua-dua wanita ini diberi kepercayaan dan tanggungjawab penuh untuk menjaga makan minum, kesihatan dan keselamatan Kai Kai.

Namun kepercayaan itu akhirnya membawa kepada penderitaan ngeri. Sepanjang empat bulan yakni dari September hingga Disember 2023, bayi kecil itu menjadi sasaran penderaan fizikal dan psikologi yang tidak terbayang kejamnya. Kai Kai bukan sahaja dibiarkan lapar hampir setiap hari tetapi turut dipukul, diseksa dan dilayan seperti bukan manusia. Tengkoraknya retak akibat hentakan keras. Tulang rusuk dan beberapa bahagian tubuhnya patah dipercayai akibat dipijak dan dipukul berulang kali. Kuku-kuku tangannya didapati tercabut kemungkinan besar kerana diseret secara kasar atau dicabut dengan sengaja. Badannya juga menunjukkan tanda-tanda diikat sama ada dengan kain atau tali hingga meninggalkan luka dalam dan lebam-lebam besar. Wajahnya pula lebam dan bengkak menunjukkan dia dipukul di bahagian muka. Lebih menyayat hati, tubuh kecilnya dipenuhi luka baru dan lama yang menjadi bukti bahawa penderaan berlaku secara konsisten sert berterusan. Kai Kai juga mengalami kekurangan zat makanan yang sangat teruk hingga berat badannya menyusut ke tahap membimbangkan. Paling menyakitkan, terdapat kecederaan dalaman yang serius pada organ-organ penting akibat trauma fizikal yang berulang.
Penderaan kejam itu bukan sahaja dilakukan secara senyap malah dirakam untuk hiburan mereka sendiri. Beberapa rakaman audio yang ditemui dalam telefon bimbit pengasuh menunjukkan dua wanita itu sering mentertawakan tangisan dan jeritan Kai Kai. Dalam satu rakaman suara, Liu Tsai-hsuan dengan sinis berkata, “Jangan makan, mati lagi bagus,” kepada bayi itu yang menangis kelaparan. Dalam rakaman lain, mereka menyebut dengan sengaja bahawa mereka menahan makanan agar Kai Kai tidak membuang air besar dan mereka tidak perlu menukar lampinnya.

Lebih menyedihkan sepanjang tempoh penderaan itu, Kai Kai tidak pernah dibawa ke hospital walaupun kecederaannya jelas sangat serius. Hinggalah pada 24 Disember 2023, barulah dia dihantar ke hospital tetapi sudah terlambat. Kai Kai tiba dalam keadaan tidak sedarkan diri di mana tubuhnya pucat dan kaku dengan suhu badan yang sangat rendah. Pasukan perubatan berusaha sedaya upaya menyelamatkannya namun usaha mereka gagal. Kai Kai disahkan meninggal dunia pada hari malam sebelum Krismas.
Apa yang lebih menyakitkan hati ialah kegagalan sistem pemantauan yang sepatutnya menjadi benteng perlindungan terakhir buat kanak-kanak seperti Kai Kai. Pekerja sosial yang ditugaskan memantau keadaan Kai Kai telah memalsukan laporan. Mereka menulis bahawa Kai Kai berada dalam keadaan sihat walaupun hakikatnya lawatan tidak pernah dijalankan. Tambahan pula, datuk dan nenek angkat yang pernah menjaga Kai Kai turut cuba melawatnya tetapi dihalang dengan alasan privasi. Segala ruang untuk menyelamatkan bayi ini telah ditutup satu demi satu.

Pada 13 Mei 2025, Mahkamah Daerah Taipei menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Liu Tsai-hsuan manakala Liu Juo-lin dihukum penjara selama 18 tahun. Hakim menyatakan bahawa penderaan yang dilakukan adalah dengan niat dan penuh kekejaman. Sepanjang perbicaraan, kedua-dua mereka langsung tidak menunjukkan penyesalan. Hukuman ini sedikit sebanyak meredakan kemarahan awam tetapi bagi ramai orang, ia masih belum cukup setimpal dengan kesengsaraan yang dialami seorang bayi yang tidak bersalah.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM BAYI KAI KAI"