Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN CRISTINA PANGALANGAN YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN


     Pada 5 Ogos 2019, satu kes menyayat hati telah berlaku di Colleton County, South Carolina, Amerika Syarikat yang mengorbankan nyawa seorang remaja perempuan berusia 13 tahun iaitu Cristina Pangalangan. Cristina merupakan seorang kanak-kanak istimewa yang menghidap penyakit cerebral palsy atau lebih dikenali dalam bahasa Melayu sebagai palsi serebrum. Keadaan ini menyebabkan dia tidak mampu bergerak sendiri, tidak boleh bercakap dan bergantung sepenuhnya kepada penjagaan orang dewasa untuk menjalani kehidupan seharian.

     Walau bagaimanapun, penjaga yang sepatutnya melindunginya telah mengabaikannya dengan kejam. Pada hari kejadian, Cristina telah ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya, Rita Pangalangan dan teman lelaki ibunya yang bernama Larry King Jr. Kereta tersebut diletakkan di bawah sinaran matahari yang terik dan Cristina dibiarkan di dalamnya selama hampir enam jam tanpa pengawasan atau bantuan. Sementara itu, pasangan tersebut berada di dalam rumah berhampiran dipercayai sedang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan hubungan intim tanpa sedikit pun menghiraukan keadaan Cristina yang terkunci di dalam kenderaan yang semakin panas.


     Suhu di dalam kereta itu meningkat kepada 135 darjah Fahrenheit (kira-kira 57 darjah Celsius), satu tahap haba yang amat membahayakan nyawa. Apabila akhirnya Cristina ditemui, keadaannya amat menyedihkan. Suhu badan Cristina direkodkan pada 109.9 darjah Fahrenheit (43.3 darjah Celsius), kulitnya melepuh dan dia memakai lampin yang sudah kotor serta penuh dengan kesan najis. Laporan bedah siasat mendedahkan bahawa terdapat muntah dalam paru-parunya. Ini menunjukkan bahawa dia telah mengalami penderitaan fizikal yang amat perit sebelum akhirnya menemui ajal akibat komplikasi hyperthermia yakni kepanasan melampau yang merosakkan fungsi tubuh.

     Kematian Cristina bukan sahaja menunjukkan kelalaian ibu kandung dan teman lelakinya tetapi turut menyingkap kelemahan serius dalam sistem perlindungan kanak-kanak di negeri tersebut. Sebelum tragedi itu berlaku, Jabatan Perkhidmatan Sosial Carolina Selatan (DSS) telah menerima beberapa aduan dan laporan mengenai keadaan Cristina yang tidak terurus dan pengabaian oleh ibunya. Antaranya termasuk satu insiden di mana Cristina pernah mengalami lecur teruk pada muka, leher dan dada yang sepatutnya menjadi isyarat jelas akan keperluan intervensi segera. Namun tindakan pencegahan yang sewajarnya tidak diambil dan nyawa seorang kanak-kanak yang tidak berdaya telah menjadi korban.


     Pada September 2023, Rita dan Larry telah didakwa dan didapati bersalah atas tuduhan membunuh serta menyebabkan kecederaan serius terhadap seorang kanak-kanak. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 37 tahun ke atas Rita Pangalangan dan 32 tahun ke atas Larry King Jr. dengan tambahan hukuman 20 tahun bagi kesalahan penderaan yang dijalankan serentak. Keluarga Pangalangan juga telah memfailkan saman kematian salah terhadap beberapa pihak termasuk Jabatan Perkhidmatan Sosial Carolina Selatan (DSS). Akhirnya pada Oktober 2024, satu penyelesaian luar mahkamah telah dicapai dengan jumlah pampasan sebanyak USD 314 000 (anggaran RM1.5 juta) dengan sebanyak USD 195 000 daripadanya dibayar oleh DSS sebagai pengakuan terhadap kecuaian mereka dalam melindungi Cristina. Pampasan ini bertujuan memberi keadilan kepada keluarga atas kecuaian yang menyebabkan kematian Cristina.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN CRISTINA PANGALANGAN YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"