KISAH PEMBUNUHAN MARY YORDER

Mary Yoder adalah seorang wanita berusia 60 tahun yang dikenali sebagai seorang isteri, ibu, nenek dan ahli kiropraktik yang sangat disayangi oleh keluarganya, pesakit-pesakitnya dan masyarakat di sekelilingnya. Dia dan suaminya yang bernama Dr. William "Bill" Yoder menjalankan sebuah klinik kiropraktik keluarga di Utica, New York. Kehidupan mereka kelihatan sempurna dari luar sebagai pasangan penyayang selain mempunyai perniagaan yang stabil dan tiga orang anak yang sudah dewasa. Namun pada musim panas tahun 2015, sesuatu yang tragik dan tidak disangka telah meragut nyawa Mary secara tiba-tiba hingga mencetuskan penyiasatan yang rumit serta penuh kejutan.
Pada 20 Julai 2015, Mary bangun seperti biasa untuk pergi bekerja. Sepanjang hari itu, dia mula mengalami simptom pelik seperti sakit perut yang melampau, cirit-birit dan muntah-muntah. Menjelang malam, keadaan Mary semakin teruk dan dia dikejarkan ke hospital. Para doktor bingung dengan punca penyakitnya kerana simptomnya terlalu agresif dan berkembang begitu cepat. Keesokan harinya, Mary Yoder meninggal dunia di hospital. Kematian secara mengejut ini sangat mengejutkan keluarga dan rakan-rakannya. Tiada sesiapa yang menyangka wanita sihat dan aktif seperti Mary akan meninggal dunia secara mendadak.

Pada awalnya, tiada tanda-tanda jenayah. Hasil bedah siasat bagaimanapun menunjukkan sesuatu yang mengejutkan di mana tubuh Mary mengandungi jumlah besar bahan beracun iaitu colchicine. Racun ini biasanya digunakan dalam rawatan gout. Dalam dos yang tinggi, ia sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Apa yang lebih pelik, Mary tidak mempunyai rekod perubatan menggunakan ubat tersebut. Penemuan ini mengubah arah siasatan dari kematian semula jadi kepada kes pembunuhan terancang.
FBI dan polis tempatan memulakan siasatan terhadap orang yang paling rapat dengan Mary yakni keluarganya, rakan sekerja dan staf di klinik. Mereka mula menyemak siapa yang mempunyai akses kepada makanan dan minuman Mary. Ketika ini, muncul seorang suspek yang tidak dijangka. Dia dikenal pasti sebagai Kaitlyn Conley, seorang wanita muda yang bekerja sebagai kerani di klinik Mary dan juga bekas teman wanita anak lelaki Mary, Adam Yoder. Pada awalnya, Kaitlyn kelihatan sedih dan terkejut atas kematian Mary. Dia bahkan menulis catatan penuh emosi di Facebook dengan mengucapkan takziah dan menyatakan betapa dia menyayangi Mary seperti ibu sendiri. Siasatan forensik mula menyingkap sisi gelap Kaitlyn yang tidak disangka sesiapa.
Pihak penyiasat menemui bukti bahawa seseorang telah membeli colchicine dari internet menggunakan nama palsu. Transaksi itu dijejaki ke alamat IP komputer yang digunakan oleh Kaitlyn di tempat kerjanya. Di samping itu, penemuan e-mel tempahan, bukti bayaran dan carian internet berkaitan colchicine ditemui dalam komputer dan telefon Kaitlyn. Malah selepas kematian Mary, Kaitlyn menghantar e-mel tanpa nama kepada suami Mary yang mendakwa bahawa anak lelaki mereka Adam telah meracun ibunya. Walau bagaimanapun, siasatan mendapati bukti-bukti yang digunakan dalam e-mel itu juga berasal dari Kaitlyn sendiri.

Motif pembunuhan Kaitlyn menjadi perdebatan di mahkamah. Ada yang percaya dia masih menyimpan perasaan terhadap Adam dan cuba menimbulkan kekacauan dalam keluarga Yoder selepas hubungan mereka berakhir. Pendakwa raya menggambarkan Kaitlyn sebagai individu licik yang cuba menjatuhkan Adam dengan membunuh ibunya dan kemudian memalsukan bukti untuk menuduh Adam. Sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan cuba menggambarkan Kaitlyn sebagai kambing hitam dan menuduh pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti fizikal kukuh. Namun kombinasi bukti digital, motif peribadi dan pemalsuan identiti pembeli racun menjadikan kes terhadap Kaitlyn semakin kukuh.
Pada tahun 2017 yakni selepas melalui dua perbicaraan, Kaitlyn Conley akhirnya didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan tahap pertama dan dijatuhi hukuman penjara selama 23 tahun. Kes ini mendapat perhatian meluas kerana usia Kaitlyn yang masih muda dan latar belakangnya yang kelihatan normal. Dia tidak mempunyai rekod jenayah merupakan pelajar cemerlang dan pernah menjadi sebahagian daripada keluarga Yoder melalui hubungan dengan Adam. Justeru, ramai yang terkejut dengan kebolehannya merancang pembunuhan sekejam itu.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN MARY YORDER"