KISAH KEMATIAN SOPHIE LIONNET YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

Pada tahun 2017, satu kes jenayah kejam telah berlaju di Kota London di mana seorang pengasuh muda warga Perancis dibunuh dengan kejam oleh majikannya sendiri. Mangsa iaitu Sophie Lionnet hanya seorang gadis muda yang mencari pengalaman hidup dan ilmu namun takdirnya berakhir dalam seksaan serta pengkhianatan yang tidak terbayangkan.
Sophie Lionnet, 21 tahun berasal dari Troyes yakni sebuah bandar kecil di timur laut Perancis. Dia telah memilih untuk menjadi seorang au pair iaitu seorang individu muda dari luar negara yang tinggal bersama sesebuah keluarga dan membantu kerja-kerja rumah ringan serta menjaga anak-anak sebagai balasan kepada tempat tinggal, makan minum dan elaun kecil. Tujuannya bukan hanya untuk bekerja tetapi untuk belajar budaya dan bahasa negara tuan rumah. Sophie berharap pengalaman ini akan membuka lebih banyak peluang dalam hidupnya. Pada Januari 2016, dia mula bekerja dengan pasangan Sabrina Kouider dan Ouissem Medouni di kediaman mereka di Southfields, London.

Namun di sebalik rumah yang kelihatan biasa itu, tersembunyi rahsia gelap yang akhirnya meragut nyawa Sophie. Sabrina Kouider merupakan seorang wanita yang tidak stabil secara emosi. Dia yang juga bekerja sebagai pereka fesyen menghidap gangguan personaliti yang tidak didiagnosis secara formal termasuk paranoia, kemurungan dan kecenderungan untuk mengawal serta memanipulasi orang sekelilingnya. Sabrina pernah mempunyai hubungan dengan Mark Walton, seorang ahli muzik dari kumpulan Boyzone. Meskipun hubungan itu telah lama berakhir, dia masih dilihat terobsesi dengan bekas kekasihnya. Obsesi Sabrina menjadi semakin tidak waras apabila dia mula mempercayai bahawa Sophie adalah ejen kepada Mark Walton yang dihantar untuk mengintip dan memusnahkan hidupnya.
Bermula daripada kecurigaan kecil, paranoia Sabrina meningkat ke tahap ekstrem. Dia mula mempersoalkan tindakan harian Sophie, menuduhnya mencuri barang-barang rumah, meracun makanan dan memanipulasi anak-anak. Ouissem Medouni, suami Sabrina yang sepatutnya menjadi pelindung atau penyelamat dalam situasi tersebut menjadi penyokong dan pelaksana kepada penderaan yang dilakukan terhadap Sophie. Mereka berdua mula memaksa Sophie untuk mengaku bahawa dia bersekongkol dengan Mark Walton. Penderaan demi penderaan dilakukan terhadap gadis muda itu termasuk memukul, mengugut, menafikan makanan, dan memalukan dia secara mental dan fizikal.

Paling tragis, mereka turut merakamkan sebahagian sesi penderaan dalam bentuk video. Dalam rakaman tersebut, Sophie yang kurus kering dan ketakutan dipaksa menjawab pelbagai soalan yang tidak masuk akal dengan suara Sabrina yang penuh kemarahan dan tuduhan palsu. Rakaman itu kemudian dijadikan bukti oleh mereka kononnya untuk menunjukkan bahawa Sophie bersalah. Penderaan yang berlarutan selama berminggu-minggu ini akhirnya membawa kepada kematian Sophie pada September 2017. Selepas membunuhnya, pasangan itu cuba menghapuskan bukti dengan membakar mayat Sophie di taman belakang rumah mereka.
Walau bagaimanapun, kejadian itu terbongkar apabila jiran-jiran mereka terhidu bau busuk dari api unggun yang mencurigakan. Mereka membuat laporan kepada pihak berkuasa dan polis yang tiba di tempat kejadian menemui tulang-tulang manusia dalam sisa pembakaran. Hasil siasatan mendapati tulang itu milik Sophie Lionnet. Penemuan ini mengejutkan ramai terutama keluarga Sophie di Perancis yang tidak tahu bahawa anak mereka telah hilang dan didera sedemikian rupa.
Perbicaraan kes ini diadakan di Mahkamah Old Bailey, London. Sepanjang perbicaraan, pelbagai bukti termasuk rakaman dikemukakan yang menunjukkan betapa kejam serta tidak berperikemanusiaannya perbuatan Sabrina dan Medouni. Mereka berdua tetap menafikan tuduhan bunuh dengan mendakwa kematian Sophie adalah kemalangan. Hakim dan juri bagaimanapun sebulat suara mendapati mereka bersalah. Pada 26 Jun 2018, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 30 tahun sebelum boleh memohon parol.

Ibu bapa Sophie dalam kenyataan selepas keputusan mahkamah menyatakan bahawa mereka tidak akan pernah memaafkan pasangan itu. Mereka menggambarkan Sabrina dan Medouni sebagai raksasa bertopengkan manusia yang telah meragut anak mereka dengan kejam.
Kisah tragik ini turut dijadikan dokumentari dan laporan khas yang memperincikan kronologi penderaan dan pembunuhan Sophie. Salah satu dokumentari yang boleh ditonton ialah "Who Killed the Nanny?" di saluran YouTube Real Stories yang membongkar lebih banyak sisi gelap kes ini dan membina gambaran lebih jelas tentang betapa mengerikannya penderitaan yang ditanggung oleh Sophie sebelum menemui ajalnya.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN SOPHIE LIONNET YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"