Kisah Romina Ashrafi: Gadis 14 Tahun yang Dibunuh oleh Ayah Sendiri

Romina Ashrafi hanyalah seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan kecil bernama Sefid Sangan yang terletak di wilayah Talesh, Gilan, utara Iran. Walaupun bukan seorang yang terkenal, namanya mula dikenali di seluruh dunia pada tahun 2020 selepas kematiannya. Romina bukan mati akibat kemalangan, penyakit atau kejadian jenayah biasa tetapi dia dibunuh oleh ayah kandungnya sendiri atas alasan maruah keluarga.
Romina adalah anak sulung dalam keluarga berbangsa Iran yang konservatif. Sejak kecil, dia dibesarkan dalam suasana ketat yang mengawal tingkah laku dan kebebasan. Namun seperti remaja lain, Romina mula mengenali erti cinta. Dia jatuh hati dengan seorang lelaki bernama Bahamn Khavari berusia 28 tahun yang lebih dua kali ganda usia berbanding dirinya. Lelaki itu bekerja sebagai buruh dan tinggal di kawasan berdekatan. Walaupun beza umur mereka agak besar, mereka tetap menjalinkan hubungan dan sering berhubung secara rahsia.
Apabila keluarga Romina tahu tentang hubungan itu terutama ayahnya iaitu Reza Ashrafi, dia berasa amat marah. Sebagai ketua keluarga yang memegang kuat nilai konservatif dan kehormatan, Reza menganggap hubungan itu sebagai satu penghinaan kepada maruah keluarga. Tambahan pula, Bahamn bukan berfahaman Syiah seperti mereka. Ini memburukkan lagi pandangan keluarga Romina terhadap hubungan tersebut.
Reza melarang keras Romina berjumpa dengan Bahamn dan mula mengawasi gerak-gerinya. Romina bagaimanapun tetap berhubung secara diam-diam. Hubungan mereka mula tersebar di kampung dan menjadi bahan mulut orang sekeliling hingga menyebabkan tekanan kepada keluarga Romina meningkat. Pada akhirnya, Romina dan Bahamn mengambil keputusan untuk melarikan diri bersama. Mereka berjaya bersembunyi selama beberapa hari sebelum ditahan oleh pihak polis di Hamedan yakni kira-kira 200 kilometer dari kampung mereka.

Ketika berada di balai polis, Romina dilaporkan telah merayu kepada pihak berkuasa agar tidak dihantar pulang. Dalam keadaan ketakutan, dia memberitahu bahawa ayahnya mungkin akan membunuhnya. Walau bagaimanapun, rayuan itu tidak diendahkan. Pihak polis menyerahkan semula Romina kepada ayahnya tanpa sebarang perlindungan atau siasatan lanjut terhadap potensi ancaman keganasan rumah tangga.
Hanya sehari selepas Romina dibawa pulang, pada malam 27 Mei 2020, Reza Ashrafi bertindak kejam. Ketika Romina sedang tidur, Reza mengambil sebilah sabit lalu masuk ke bilik anaknya. Dalam keadaan Romina tidak sedar apa-apa, Reza memenggal kepala anak kandungnya sendiri. Pembunuhan itu dilakukan dalam senyap tanpa belas kasihan seolah-olah maruah keluarga lebih penting daripada nyawa seorang anak.
Selepas membunuh Romina, Reza tidak melarikan diri. Dia sebaliknya keluar dari rumah dan menyerah diri kepada polis. Dalam keterangannya, Reza mengaku melakukan perbuatan tersebut atas sebab kehormatan keluarga. Lebih mengejutkan sebelum pembunuhan itu berlaku, Reza telah mendapatkan nasihat daripada seorang individu yang berpengetahuan dalam undang-undang di Iran. Dia diberitahu bahawa seorang bapa yang membunuh anaknya tidak akan dikenakan hukuman mati. Ini memberi keyakinan kepada Reza bahawa tindakannya boleh dimaafkan oleh sistem perundangan negara.
Berita pembunuhan Romina Ashrafi mengejutkan seluruh Iran. Rakyat mula meluahkan kemarahan di media sosial dengan tanda pagar #RominaAshrafi. Mereka menuntut keadilan dan perubahan dalam undang-undang negara yang selama ini melindungi pelaku jenayah atas nama kehormatan. Kejadian ini turut mendapat perhatian Presiden Iran ketika itu iaitu Hassan Rouhani. Dia mengarahkan agar satu undang-undang perlindungan kanak-kanak dan remaja segera digubal dan dilaksanakan.
Cumanya sistem kehakiman Iran tetap mengecewakan rakyat. Pada Ogos 2020, Mahkamah menjatuhkan hukuman hanya sembilan tahun penjara kepada Reza Ashrafi. Dia juga diperintahkan membayar pampasan kepada isteri dan ibu kepada Romina, Rana Dashti. Hukuman ringan ini menimbulkan kemarahan masyarakat yang menganggap ia tidak setimpal dengan jenayah kejam yang dilakukan.
Catat Ulasan for "Kisah Romina Ashrafi: Gadis 14 Tahun yang Dibunuh oleh Ayah Sendiri"