Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Pembunuhan Zhiwen Yan: Dibunuh hanya Kerana Sos Itik

     Pada malam 30 April 2022, suasana di Queens, New York sibuk seperti biasa. Restoran makanan segera dan gerai Cina dipenuhi pelanggan yang lapar selepas seharian bekerja. Di sebalik kesibukan itu, seorang lelaki penghantar makanan bernama Zhiwen Yan, 45 tahun sedang menyelesaikan satu lagi pesanan sebelum pulang ke rumah. Dia dikenali dalam kalangan pelanggan tetap sebagai seorang yang rajin, sopan dan tidak pernah mengeluh. Namun pada malam itu, dia menjadi mangsa kepada satu dendam yang tidak masuk akal iaitu dendam yang bermula hanya kerana sepeket sos itik.

     Zhiwen bekerja di sebuah restoran makanan Cina yang popular di kawasan Forest Hills. Seorang pelanggan tetap bernama Glenn Hirsch, 51 tahun, sering memesan makanan dari situ. Hirsch dikenali dalam kalangan pekerja restoran sebagai pelanggan yang cerewet tetapi tiada siapa menyangka bahawa dia menyimpan kemarahan yang begitu mendalam terhadap mereka hanya kerana satu insiden kecil berkaitan permintaan sos.

     Menurut pekerja restoran, konflik bermula apabila Hirsch mengadu tidak menerima sos itik yang mencukupi dalam pesanannya. Dia datang ke restoran dan menuntut penjelasan lalu bertengkar dengan kakitangan. Mereka cuba menjelaskan bahawa sos tambahan diberikan mengikut jumlah makanan yang dipesan tetapi Hirsch enggan mendengar. Sejak itu, dia mula kerap datang ke restoran, memerhati dari luar dan mengganggu pekerja secara pasif-agresif. Antara pekerja yang menjadi sasaran utamanya ialah Zhiwen Yan.

     Zhiwen tidak pernah membalas provokasi tersebut. Dia hanya teruskan kerja seperti biasa. Walau bagaimanapun, Hirsch tidak berpuas hati. Dia menyimpan dendam dan akhirnya bertindak. Pada malam kejadian, Zhiwen sedang menunggang motosikal penghantaran dan berhenti di lampu isyarat. Pada ketika itulah Hirsch menghampirinya dengan kereta dan melepaskan tembakan dari jarak dekat. Zhiwen maut di tempat kejadian. Isterinya, Eva Chao dan anak perempuan mereka kehilangan suami dan bapa yang mereka sayangi. Semuanya kerana pertengkaran kecil tentang sos.

     Siasatan pihak polis mengambil masa beberapa minggu. Rakaman kamera litar tertutup, saksi dan maklumat penghantaran digunakan untuk menjejaki suspek. Apabila polis menahan Hirsch di rumahnya, mereka menemui sesuatu yang mengejutkan di mana peti sejuk dan kabinet dipenuhi dengan stok sos itik seolah-olah dia menyimpan bekalan seumur hidup. Penemuan itu mengukuhkan lagi teori bahawa Hirsch memang mempunyai obsesi terhadap sos tersebut dan dendamnya terhadap restoran bukan sekadar kemarahan biasa.

     Nama Glenn Hirsch terus menjadi perhatian apabila pihak berkuasa turut menahan isterinya yang dikenali sebagai Dorothy Hirsch atas tuduhan memiliki senjata api tanpa lesen. Polis menemui sembilan pucuk pistol di dalam apartmen milik Dorothy.  Dorothy bagaimanapun mempertahankan diri dan menegaskan bahawa senjata itu disimpan oleh Glenn tanpa pengetahuannya. Selepas beberapa bulan perbicaraan, Dorothy akhirnya dibebaskan daripada semua pertuduhan. Mahkamah memutuskan bahawa tiada bukti kukuh yang mengaitkannya secara langsung dengan senjata tersebut. Dia kemudian bersuara di media dan menyatakan bahawa suaminya seorang yang obsesif dan tidak stabil tetapi dia sendiri tidak menyangka Glenn akan bertindak sejauh itu.

     Glenn Hirsch akhirnya didakwa atas tuduhan membunuh. Namun sebelum perbicaraan bermula, dia ditemui mati di rumahnya. Hirsch dipercayai telah membunuh diri. Kes itu ditutup tanpa sempat dibicarakan di mahkamah, meninggalkan keluarga Zhiwen tanpa keadilan sepenuhnya.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Zhiwen Yan: Dibunuh hanya Kerana Sos Itik"