Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

APA SEBENARNYA YANG BERLAKU KEPADA SULLI?

     Choi Jin-ri atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Sulli merupakan salah seorang artis Korea Selatan yang paling menonjol dan kontroversi dalam generasinya. Lahir pada 29 Mac 1994 di Busan, Sulli mula berkecimpung dalam dunia seni sejak usia sembilan tahun. Dia mula dikenali ramai melalui peranannya dalam drama Ballad of Seodong (2005) di mana beliau memegang watak Puteri Seonhwa semasa kecil. Bakatnya sebagai pelakon kanak-kanak membuka banyak pintu dalam dunia lakonan sebelum dia menyertai kumpulan K-pop wanita terkenal f(x) pada tahun 2009 di bawah naungan SM Entertainment.

     Kerjaya Sulli sebagai penyanyi melonjak bersama populariti f(x) yang dikenali dengan konsep futuristik dan gaya muzik yang unik. Namun pada masa yang sama, dia tidak pernah meninggalkan dunia lakonan. Antara lakonannya yang paling diingati ialah dalam drama To the Beautiful You (2012) di mana dia membawa watak utama sebagai seorang gadis yang menyamar menjadi pelajar lelaki di sekolah sukan demi mendekati idolanya. Keberkesanan lakonannya dalam drama itu mendapat pujian ramai yang memperlihatkan versatiliti Sulli sebagai pelakon.

     Namun kehidupan sebagai selebriti Korea bukanlah semudah yang disangka. Sulli sering menjadi sasaran kecaman masyarakat hanya kerana dia memilih untuk menjadi diri sendiri, sesuatu yang jarang diterima dalam industri hiburan yang begitu menekan dan konservatif. Dia terbuka tentang isu-isu kesihatan mental, feminisme dan kebebasan tubuh wanita. Tindakannya yang berani memuat naik gambar tidak memakai coli, memberi komen tentang patriarki dan tampil tanpa solekan sering menimbulkan kontroversi dalam kalangan peminat.

     Kecaman demi kecaman termasuk daripada media dan netizen telah menyebabkan tekanan emosi yang besar dalam hidupnya. Sulli tidak hanya menjadi mangsa komen jelik tetapi juga mengalami gangguan psikologi kerana tekanan berpanjangan. Walaupun Sulli pernah menyatakan bahawa dia cuba untuk kuat dan tidak membaca komen, hakikatnya dia terkesan dengan mendalam.

     Pada 14 Oktober 2019, Sulli ditemui meninggal dunia di rumahnya di Seongnam oleh pengurus peribadinya. Dia tidak menjawab panggilan atau mesej sejak malam sebelumnya. Pihak polis menyiasat kejadian sebagai kes bunuh diri dan tiada unsur jenayah ditemukan. Sebuah nota peribadi turut dijumpai yang menunjukkan bahawa Sulli sedang berdepan kemurungan yang serius. Pemergian Sulli meragut bukan sahaja seorang penyanyi dan pelakon yang berbakat tetapi juga suara berani yang cuba memperjuangkan hak individu dalam masyarakat yang membelenggu.

     Susulan tragedi ini, masyarakat Korea Selatan mula menyuarakan keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi membendung perundungan siber. Cadangan tersebut dikenali sebagai Akta Sulli (Sulli Act) bertujuan melindungi individu daripada komen kebencian dan buli dalam talian. Antara cadangan kandungannya termasuk penggunaan nama sebenar ketika memberi komen dan tanggungjawab platform digital untuk menapis serta mendedahkan identiti pelaku komen jelik. Pada peringkat awal, akta ini mendapat sokongan ramai termasuk ahli politik, selebriti dan organisasi masyarakat sivil.

     Malangnya, Akta Sulli tidak berjaya diluluskan. Rang undang-undang itu gagal melepasi sesi Parlimen Korea sebelum berakhirnya penggal ke-20 dan sehingga kini tiada tindakan susulan untuk menghidupkannya semula dalam penggal seterusnya. Minat terhadap akta itu juga dilaporkan semakin merosot dari semasa ke semasa. Sebagai langkah sementara, beberapa portal digital utama seperti Naver dan Kakao mengambil tindakan menutup ruangan komen dalam artikel hiburan serta menyekat cadangan carian nama selebriti tertentu. Langkah ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan penyebaran kebencian tetapi ia hanya terhad kepada platform tertentu dan bukan penyelesaian jangka panjang.

Bacaan terdahulu tentang dahsyatnya netizen Korea Selatan boleh baca di sini : 

https://www.jacklester33.com/2025/03/kuasa-netizen-korea-knetz-sokongan-atau.html?m=1

Catat Ulasan for "APA SEBENARNYA YANG BERLAKU KEPADA SULLI? "