Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Ayumi Kuboki: Pembunuh Bersiri di Wad

     Kes Ayumi Kuboki mengejutkan Jepun dan dunia apabila seorang jururawat wanita yang sepatutnya menjaga nyawa pesakit bertukar sebagai pembunuh bersiri. Dia disabitkan atas pembunuhan tiga pesakit warga emas yang sedang menerima rawatan di Hospital Oguchi, Yokohama pada tahun 2016 dengan cara mencampurkan cecair antiseptik ke dalam beg infusi intravena. Perbuatannya bukan bersifat spontan tetapi sebaliknya dilakukan secara sistematik dan terancang yang dipercayai melibatkan lebih 20 pesakit sepanjang beberapa bulan.

     Ayumi Kuboki yang ketika itu berusia 31 tahun bekerja sebagai jururawat di hospital berkenaan dan dilihat sebagai seorang yang pendiam serta tenang oleh rakan sekerjanya. Cuma di sebalik wajah lembut dan personaliti sederhana itu, tersembunyi niat yang gelap. Pada September 2016, dua pesakit warga emas meninggal dunia secara berturut-turut dalam keadaan mencurigakan. Salah seorang jururawat secara tidak sengaja menjatuhkan beg infusi intravena (IV) dan mendapati kandungan di dalamnya berbuih secara luar biasa. Pemeriksaan lanjut menunjukkan bahawa beg tersebut telah dicemari dengan antiseptik yang mengandungi bahan kimia dikenali sebagai diamitol, sejenis pembasmi kuman yang sangat toksik jika disuntik terus ke dalam aliran darah.

     Pihak hospital dan polis mula menjalankan siasatan intensif selepas bilangan kematian pesakit meningkat secara mendadak sejak bulan Julai 2016. Hasil penyiasatan mendapati sekurang-kurangnya 48 beg IV telah dicemari dan kematian pesakit meningkat secara luar biasa dalam tempoh masa tersebut. Siasatan menjadi lebih serius apabila rakaman CCTV menunjukkan Kuboki membawa masuk ubat-ubatan yang tidak berada dalam tanggungjawabnya. Pada tahun 2018 yakni dua tahun selepas kejadian, pihak polis akhirnya menahan Kuboki selepas menemui kesan diamitol dalam poket pakaian jururawatnya.

     Apa yang lebih mengejutkan ialah pengakuan Kuboki sendiri. Dia mengakui telah mencampurkan bahan kimia tersebut ke dalam beg IV sekurang-kurangnya 20 pesakit lain walaupun hanya tiga kematian sahaja yang didakwa secara rasmi. Dalam kenyataannya kepada pihak penyiasat, Kuboki memberitahu bahawa dia tidak mahu berdepan dengan kematian pesakit ketika dia sedang bertugas. Kuboki percaya bahawa dengan menyebabkan pesakit mati semasa syif orang lain, dia boleh mengelakkan tekanan emosi dan rasa bersalah apabila terpaksa berhadapan dengan keluarga pesakit. Tindakannya ini dilakukan secara sistematik dan terancang sekali gus menunjukkan motif psikologi yang kompleks, satu bentuk pelarian daripada tanggungjawab sosial yang besar sebagai seorang jururawat.

     Pada tahun 2021, selepas perbicaraan panjang, Mahkamah Daerah Yokohama menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Ayumi Kuboki. Walaupun pihak pendakwa menuntut hukuman mati memandangkan keseriusan jenayah yang dilakukan, mahkamah mengambil kira beberapa faktor termasuk latar belakang peribadi Kuboki dan penyesalan yang ditunjukkannya sepanjang perbicaraan. Pakar psikiatri yang menilai keadaan mental Kuboki turut mengesahkan bahawa dia menghidap gangguan spektrum autisme. Walau bagaimanapun, dia masih cukup waras dan sedar ketika melakukan jenayah tersebut. Disebabkan itu, dia dianggap bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakannya.

     Hospital Oguchi telah menukar namanya kepada Hospital Yokohama Hajime dan ditutup sementara pada tahun 2019 sebagai langkah untuk memulihkan imej serta menstruktur semula sistem pentadbiran dan kawalan dalaman. Pihak berkuasa kesihatan turut memperketatkan garis panduan pemantauan terhadap bahan kimia hospital dan pengurusan rekod perubatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

Catat Ulasan for "Kisah Ayumi Kuboki: Pembunuh Bersiri di Wad"