Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEHILANGAN BRIAN SHAFFER


     Pada malam yang biasa di kota Columbus, Ohio, seorang pelajar perubatan bernama Brian Shaffer telah menghilang tanpa sebarang jejak. Lebih aneh ialah tiada siapa yang dapat menjelaskan bagaimana dan ke mana Brian pergi walaupun tempat kejadian dipenuhi dengan kamera keselamatan. Ia kekal sebagai salah satu misteri kehilangan paling aneh dan belum terungkai di Amerika Syarikat hingga ke hari ini.

     Brian Shaffer yang ketika itu berusia 27 tahun merupakan pelajar perubatan tahun kedua di Ohio State University. Dia dikenali sebagai seorang yang bijak, mesra dan sangat disayangi oleh keluarga serta rakan-rakannya. Brian mempunyai minat mendalam terhadap muzik dan sering bercakap tentang impiannya untuk suatu hari menjadi penyanyi walaupun dia memilih bidang perubatan sebagai kerjayanya. Beberapa bulan sebelum kehilangannya, Brian melalui satu kehilangan besar dalam hidupnya  ibunya iaitu Renee yang meninggal dunia akibat kanser. Walaupun peristiwa itu memberi tamparan hebat kepada emosinya, rakan-rakan menyatakan bahawa Brian kelihatan kuat dan tetap meneruskan hidup seperti biasa. Malah dia dikatakan sedang merancang untuk melamar teman wanitanya, Alexis Waggoner semasa percutian mereka ke Miami tidak lama selepas itu.

     Pada malam Jumaat, 31 Mac 2006, Brian merancang untuk keluar bersuka ria sempena bermulanya cuti musim bunga. Dia bersama rakannya yang dikenali sebagai Clint Florence memulakan malam dengan minum di beberapa bar sekitar kawasan kampus. Mereka akhirnya tiba di bar popular bernama The Ugly Tuna Saloona yang terletak di kawasan Arena District yang sibuk dan terkenal dengan hiburan malam. Mereka menaiki eskalator menuju ke pintu masuk bar dan kamera keselamatan merekodkan kelibat Brian pada jam 1.15 pagi, Sabtu, 1 April.


     Di dalam bar, mereka bertemu dengan seorang lagi rakan iaitu Meredith Reed yang kemudian memberi mereka tumpangan. Ketiga-tiga mereka minum dan berbual seperti biasa. Namun sekitar jam 1.55 pagi, Clint dan Meredith mula mencari Brian kerana mereka bersedia untuk pulang tetapi dia tidak kelihatan. Pada ketika itu, mereka menganggap Brian mungkin keluar sebentar dan akan kembali atau mungkin telah pulang sendiri. Tiada siapa menyangka bahawa saat itu merupakan kali terakhir Brian akan dilihat.

     Apa yang berlaku seterusnya sangat mengelirukan. Rakaman CCTV menunjukkan Brian keluar sebentar dari bar dan berbual dengan dua wanita berhampiran pintu masuk. Dia kemudian dilihat kembali masuk ke dalam bar melalui pintu utama. Itulah rakaman terakhir yang pernah dirakam mengenai dirinya. Pelik sekali, tiada sebarang rakaman menunjukkan Brian keluar dari bar walaupun hanya terdapat satu jalan masuk dan keluar utama iaitu pintu yang dipantau oleh kamera. Polis menyiasat kemungkinan dia keluar melalui laluan pekerja atau pintu kecemasan tetapi pintu-pintu tersebut sama ada berkunci atau akan mengaktifkan penggera jika dibuka. Tiada penggera yang berbunyi malam itu dan tiada rakaman kamera dari kawasan lain menunjukkan kelibatnya.


     Pihak berkuasa mula menyiasat kehilangan ini dengan lebih mendalam. Kawasan bar diperiksa secara menyeluruh termasuk ruang bawah tanah, laluan pekerja dan sistem kumbahan namun tiada apa-apa ditemui. Tiada sebarang tanda pergelutan, jenayah atau bukti yang menunjukkan Brian telah diserang. Rakan-rakannya termasuk Clintbturut disoal siasat. Pelik sekali, Clint menolak untuk menjalani ujian poligraf hingga mencetuskan spekulasi dalam kalangan orang ramai. Walau bagaimanapun, tiada bukti kukuh untuk mengaitkannya dengan kehilangan Brian.

    Pelbagai teori mula timbul. Ada yang berpendapat Brian mungkin dengan sengaja menghilangkan diri untuk memulakan hidup baru yang disebabkan tekanan selepas kematian ibunya. Keluarganya bagaimanapun menolak kemungkinan ini kerana Brian seorang yang sangat rapat dengan ayah dan adik lelakinya dan dia juga dikatakan sangat menyayangi teman wanitanya. Teori lain menyatakan bahawa Brian mungkin menjadi mangsa jenayah di dalam bar dan mayatnya disembunyikan. Cuma jika itu benar, mengapa tiada sesiapa perasan? Kenapa tiada kesan pergaduhan? Bagaimana mayat boleh diseludup keluar tanpa dikesan kamera atau orang lain?

     Teori ketiga menyatakan bahawa mungkin Brian berjaya keluar melalui laluan yang tidak diawasi kamera tetapi menurut pemilik premis, semua laluan masuk dan keluar kecuali pintu utama mempunyai sekatan dan penggera keselamatan. Ada juga yang mengusulkan bahawa Brian mungkin telah terjatuh atau diserang setelah keluar dari bar tanpa disedari tetapi sekali lagi tiada sebarang rakaman atau saksi yang mengesahkan hal itu.


     Apa yang lebih memilukan, bapa Brian, Randy Shaffer tidak pernah berhenti mencari anaknya. Dia mengedarkan risalah, membuat kempen awam dan sentiasa berhubung dengan media. Namun pada tahun 2008 yakni dua tahun selepas kehilangan Brian, Randy maut dalam satu kemalangan apabila sebatang pokok tumbang ke atasnya semasa ribut. 

     Hingga pada hari ini, kes kehilangan Brian Shaffer kekal misteri. Tiada penemuan, tiada petunjuk baru dan tiada siapa yang tampil dengan maklumat sebenar. Pihak FBI turut terlibat tetapi segala usaha penyiasatan menemui jalan buntu. Ketiadaan bukti fizikal langsung seperti dompet, telefon bimbit, pakaian atau sebarang kesan sekali gus menjadikan kes ini seolah-olah Brian lenyap begitu sahaja dari dunia nyata. 

Catat Ulasan for "MISTERI KEHILANGAN BRIAN SHAFFER"