Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MODEL & PEMPENGARUH COLOMBIA DITEMBAK MATI DI DEPAN RUMAH


     COLOMBIA - Seorang model dan pempengaruh media sosial terkenal iaitu Maria Jose Estupinan Sanchez, 22 tahun telah ditembak mati pada 15 Mei 2025 di hadapan kediamannya di bandar Cucuta, Colombia dalam satu kejadian yang mencetuskan kemarahan dan kebimbangan di seluruh negara berkenaan isu keselamatan wanita.

     Menerusi rakaman kamera litar tertutup, kejadian berlaku apabila seorang lelaki bersenjata yang menyamar sebagai penghantar hadiah menghampiri mangsa dengan membawa sebuah bungkusan. Tanpa disangka, suspek mengeluarkan senjata api dan melepaskan tembakan dari jarak dekat sebelum melarikan diri.

     Maria Jose yang lebih dikenali dengan nama La Mona dalam kalangan pengikutnya di media sosial merupakan pelajar jurusan Komunikasi Sosial di Universiti Francisco de Paula Santander. Dia juga aktif sebagai model dan pempengaruh yang sering berkongsi kandungan berkaitan gaya hidup dan isu wanita.

     Difahamkan hanya sehari sebelum kejadian yakni pada 14 Mei 2025, Maria Jose dilaporkan telah memenangi kes mahkamah terhadap bekas teman lelakinya yang didakwa mencederakan dan mencabuli hak peribadinya. Mahkamah telah mengarahkan lelaki tersebut membayar pampasan sebanyak 30 juta peso Colombia (kira-kira RM7000) kepada Maria Jose. Tidak lama selepas itu, dia ditembak mati di depan pintu rumahnya sendiri.

     Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bahawa pembunuhan ini bermotifkan dendam. Setakat ini, suspek belum dikenal pasti secara rasmi namun wajahnya telah dirakam menerusi CCTV dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh.

    Kematian Maria Jose menambahkan lagi statistik keganasan terhadap wanita di Colombia yang membimbangkan. Pada tahun 2024, sebanyak 886 kes femisid dilaporkan yakni angka tertinggi dalam tempoh tujuh tahun. Sehingga Mac 2025, lebih 200 kes telah dicatatkan dan 73 peratus daripada kes antara 2021 hingga 2023 masih belum diselesaikan.

     Kes ini mencetuskan gelombang kemarahan di media sosial dan di jalanan. Protes besar-besaran telah dianjurkan di Cucuta dan Bogota pada 17 dan 18 Mei 2025 di mana aktivis wanita menuntut perlindungan lebih berkesan serta kebertanggungjawaban sistem perundangan terhadap keganasan berasaskan jantina.

     Kejadian ini berlaku hanya beberapa hari selepas kejadian serupa melibatkan pempengaruh Mexico, Valeria Marquez yang turut ditembak mati ketika sedang membuat siaran langsung. Kedua-dua kes tersebut mencerminkan peningkatan kebimbangan terhadap keselamatan wanita terutamanya mereka yang berprofil tinggi dan lantang bersuara. Pihak berkuasa Colombia memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan dan semua pihak yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan. Keluarga Maria Jose pula merayu agar diberikan ruang untuk berkabung dalam keadaan tenang dan hormat.

Catat Ulasan for "MODEL & PEMPENGARUH COLOMBIA DITEMBAK MATI DI DEPAN RUMAH "