WANITA DAN CUCU DIBUNUH KEJAM, PELAKU ANGGOTA KELUARGA SENDIRI

INDONESIA – Sebuah kes pembunuhan yang amat mengerikan telah terbongkar di Desa Cibanteng, Kecamatan Sukaresmi, Cianjur, Jawa Barat apabila seorang wanita bersama bapanya didakwa membunuh ibu kandung serta anak perempuannya sendiri sebelum memotong, membakar dan membuang mayat mangsa.
Mangsa dikenal pasti sebagai Lilis, 51 tahun dan cucunya yang baru berusia 3 tahun. Suspek utama merupakan anak perempuan Lilis, Yanti Rustini, 31 tahun dan suami kepada Lilis iaitu Cahya yang berusia 60 tahun. Hasil siasatan awal mendapati bahawa motif pembunuhan berpunca daripada pertelingkahan berkaitan wang dan dendam lama yang telah dipendam oleh Yanti terhadap ibunya sejak kecil.
Menurut keterangan pihak polis, kejadian itu berlaku sekitar pertengahan April 2025. Yanti dan bapanya didakwa telah meminta wang daripada Lilis bagi membayar hutang. Permintaan itu bagaimanapun ditolak kerana wang dan barang kemas yang dimiliki Lilis dikatakan sebagai amanah daripada adiknya yang bekerja di luar negara. Penolakan itu mencetuskan kemarahan dalam diri Yanti yang selama ini berasa dirinya sering dipinggirkan oleh ibunya sendiri.
Pada malam kejadian yakni ketika Lilis sedang tidur, Yanti dan Cahya dikatakan telah mengambil keputusan untuk membunuhnya. Lilis dipukul hingga mati. Ketika itu, anak kecil Yanti yang berusia tiga tahun telah terjaga dan melihat apa yang berlaku. Bimbang anaknya menjadi saksi, Yanti turut mengambil keputusan kejam untuk membunuh anak kandungnya sendiri.
Mayat kedua-dua mangsa tidak terus dilaporkan hilang. Yanti dan Cahya sebaliknya menyembunyikan jasad mangsa di dalam rumah selama beberapa hari. Setelah mayat mula membusuk dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, kedua-duanya mengambil langkah yang lebih kejam dengab memotong anggota tubuh mangsa, mengulitinya dan kemudian membakar sebahagian mayat tersebut di kawasan sekitar rumah serta membuang sisa-sisa ke beberapa lokasi termasuk di kawasan kebun milik penduduk.
Kejanggalan mula disedari jiran-jiran apabila mereka perasan bahawa Lilis dan cucunya sudah lama tidak kelihatan. Lilis yang biasanya ramah dan aktif bergaul dengan penduduk tiba-tiba sepi tanpa khabar berita. Beberapa jiran cuba bertanya kepada Yanti tentang keberadaan ibunya dan anak kecil itu tetapi Yanti hanya memberikan jawapan yang mencurigakan kononnya ibunya ke luar kota dan anaknya dihantar ke tempat saudara.
Selain itu, penduduk sekitar turut mengadu terhidu bau busuk dari arah rumah Yanti dalam beberapa hari selepas kehilangan itu. Walaupun mereka berasa curiga, tiada sesiapa yang berani mencampuri urusan keluarga tersebut. Namun segala persoalan mula terjawab apabila seorang penduduk menemui rangka manusia dan tengkorak di kawasan kebun tidak jauh dari rumah mereka. Penemuan itu segera dilaporkan kepada pihak polis.
Siasatan intensif dijalankan dan beberapa bukti penting ditemui termasuk foto-foto mengerikan dalam telefon bimbit milik Yanti yang menunjukkan jasad mangsa. Tekanan siasatan akhirnya membawa kepada pengakuan penuh Yanti bahawa dialah bersama bapanya yang melakukan pembunuhan kejam tersebut. Pengakuannya mengesahkan segala kecurigaan yang selama ini menghantui penduduk sekitar.
Yanti dan Cahya kini ditahan dan didakwa di bawah pelbagai seksyen undang-undang jenayah Indonesia termasuk Pasal 340 Kanun Keseksaan (KUHP) kerana pembunuhan berencana, Pasal 44 Undang-Undang Kekerasan Dalam Rumah Tangga (KDRT) serta Pasal 80 Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak. Jika sabit kesalahan, kedua-duanya berdepan dengan hukuman mati.
Ketua Polis Cianjur dalam satu sidang media menyatakan bahawa ini merupakan salah satu kes paling tragis dan kejam yang pernah disiasat. “Mereka bukan sahaja membunuh darah daging sendiri tetapi juga berusaha sedaya upaya menghapuskan bukti jenayah. Ini mencerminkan krisis moral yang sangat parah dalam institusi keluarga,” katanya.
Catat Ulasan for "WANITA DAN CUCU DIBUNUH KEJAM, PELAKU ANGGOTA KELUARGA SENDIRI"