Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PEMPENGARUH KECANTIKAN MEXICO, VALERIA MARQUEZ, DITEMBAK MATI KETIKA SIARAN LANGSUNG TIKTOK

     Mexico – Seorang pempengaruh kecantikan terkenal di Mexico iaitu Valeria Marquez, 23 tahun maut ditembak dalam kejadian ngeri yang berlaku secara langsung semasa siaran TikTok di salun miliknya pada 13 Mei 2025 di Zapopan, Guadalajara, wilayah Jalisco. Insiden yang disifatkan sebagai satu pembunuhan kejam itu mengejutkan ribuan pengikutnya yang menyaksikan siaran langsung tersebut sebelum ia secara tiba-tiba terhenti.

     Valeria yang mempunyai lebih 200 000 pengikut di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram sering berkongsi video berkaitan kecantikan, solekan serta kehidupannya sebagai seorang usahawan muda. Pada hari kejadian, Valeria sedang melakukan siaran langsung dari salun kecantikannya dan dilihat memegang sebuah patung mainan sambil berseloroh dengan pengikutnya. Dalam video tersebut, Valeria sempat meluahkan perasaan bimbang apabila dia berkata “mereka datang" sebelum dia mematikan audio siaran langsung secara tiba-tiba. Beberapa saat kemudian, seorang lelaki bersenjata masuk ke dalam salun dan melepaskan tembakan ke arahnya.

     Menurut saksi yang berada di lokasi kejadian, keadaan menjadi panik selepas tembakan dilepaskan. Dalam rakaman terakhir siaran langsung itu, kelihatan seseorang menghampiri telefon yang digunakan Valeria sebelum siaran ditamatkan secara mengejut. Difahamkan Valeria maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

     Pihak berkuasa tempatan termasuk pejabat pendakwa negeri Jalisco telah memulakan siasatan menyeluruh berhubung kejadian ini. Kes ini diklasifikasikan sebagai kes femisid, iaitu pembunuhan terhadap wanita yang berpunca daripada jantina mangsa yakni satu isu yang semakin meruncing di Mexico. Negara tersebut mencatatkan salah satu kadar pembunuhan terhadap wanita tertinggi di Amerika Latin dan Caribbean dengan statistik tahun 2023 menunjukkan sebanyak 1.3 kes kematian bagi setiap 100 000 wanita.

     Menurut laporan, sebelum insiden berlaku, Valeria pernah menyatakan kebimbangan terhadap seseorang yang datang ke salunnya sambil membawa hadiah mahal ketika dia tiada di tempat tersebut. Dalam siaran langsung sebelum kejadian, Valeria turut menyatakan hasrat untuk tidak menunggu individu itu kembali sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin telah menerima ancaman atau gangguan yang tidak dilaporkan secara rasmi kepada pihak polis.

     Insiden pembunuhan Valeria Marquez telah mencetuskan gelombang kemarahan dan kesedihan dalam kalangan rakyat Mexico serta pengikutnya di seluruh dunia. Ramai menggesa agar kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas untuk menangani isu keganasan terhadap wanita yang semakin berleluasa. Di media sosial, tanda pagar seperti #JusticiaParaValeria dan #NiUnaMenos kembali tular sebagai simbol solidariti dan tuntutan keadilan buat mangsa.

     Hingga setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan identiti suspek masih belum dikenal pasti. Pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan. Pihak keluarga Valeria Marquez masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi namun rakan-rakan dan pengikutnya membanjiri media sosial dengan ucapan takziah dan penghormatan terakhir kepada pempengaruh muda yang telah pergi dalam keadaan begitu tragik.

Catat Ulasan for "PEMPENGARUH KECANTIKAN MEXICO, VALERIA MARQUEZ, DITEMBAK MATI KETIKA SIARAN LANGSUNG TIKTOK"