Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEHILANGAN OAKLEY CARLSON


     Oakley Lynn Carlson ialah seorang kanak-kanak perempuan dari Oakville, Washington, Amerika Syarikat, yang dilahirkan pada 6 Disember 2016. Sejak kecil, hidupnya sudah berdepan pelbagai cabaran. Akibat latar belakang ibu bapanya yang bergelut dengan penyalahgunaan dadah dan pengabaian, Oakley telah diambil alih oleh Department of Children, Youth and Families (DCYF) Washington dan diserahkan kepada pasangan keluarga angkat iaitu Jamie-Jo dan Erik Hiles. Pasangan ini memberikan Oakley sebuah kehidupan yang stabil, penuh kasih sayang dan persekitaran yang sihat sejak Oakley berusia beberapa bulan. Selama hampir tiga tahun, Oakley membesar dengan baik dalam jagaan mereka.

     Namun pada awal tahun 2020, DCYF membuat keputusan untuk memulangkan Oakley kepada ibu bapa kandungnya yang dikenali sebagai Jordan Bowers dan Andrew Carlson. Keputusan ini dibuat walaupun terdapat banyak laporan yang membimbangkan termasuk sejarah pengabaian, keganasan rumah tangga dan penyalahgunaan dadah oleh kedua-dua ibu bapanya. Keluarga angkat Oakley telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan Oakley tetapi suara mereka tidak diendahkan. DCYF berpendapat bahawa ibu bapanya telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, justeru proses penyatuan semula tetap diteruskan.

Ibu bapa angkat Oakley

     Selepas dikembalikan kepada ibu bapa kandung, Oakley tiba-tiba saja menghilang. Kali terakhir Oakley disahkan dilihat oleh orang luar adalah pada 10 Februari 2021. Cuma perkara paling mengejutkan ialah kehilangan Oakley tidak pernah dilaporkan oleh ibu bapanya. Laporan sebaliknya hanya dibuat hampir sepuluh bulan kemudian yakni pada 6 Disember 2021. Laporan itu dibuat oleh pengetua sekolah adik Oakley, Jessica Swift selepas dia curiga dengan ketidakhadiran Oakley dan respons aneh dari keluarga Carlson semasa lawatan susulan selepas satu insiden kebakaran rumah.

     Apa yang didedahkan selepas itu sangat memilukan. Salah seorang adik Oakley memberitahu bahawa Oakley sudah tiada dan pernah diberitahu oleh ibunya bahawa Oakley telah dimakan oleh serigala. Polis segera menjalankan siasatan dan mendapati rumah keluarga Carlson tidak mengandungi sebarang barangan milik Oakle. Tiada pakaian dan tiada mainan seolah-olah dia tidak pernah tinggal di situ. Tambahan pula, pihak forensik menemui kesan darah pada langsir dan pintu rumah sekali gus menimbulkan syak wasangka lebih mendalam.


     Dokumen mahkamah kemudian mendedahkan kenyataan yang mengerikan daripada adik-beradik Oakley. Mereka menceritakan bagaimana Oakley sering dikurung dalam ruang kecil di bawah tangga rumah yang disebut sebagai sel oleh pihak penyiasat. Kanak-kanak itu juga tidak diberi makan sebagai hukuman dan sering disisihkan daripada ahli keluarga lain. Tingkah laku ibu bapanya amat mencurigakan dan menunjukkan tanda-tanda penderaan yang serius. Namun sehingga kini, tiada pertuduhan pembunuhan atau penculikan difailkan terhadap Jordan atau Andrew.

     Ibu bapa Oakley hanya didakwa atas kesalahan lain. Andrew Carlson dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan kerana gagal memberikan ubat kepada seorang anak mereka yang lain yang mempunyai keadaan perubatan kronik. Jordan Bowers pula dihukum penjara selama 20 bulan bagi kesalahan yang sama sebelum dijatuhkan hukuman penjara tambahan 43 bulan kerana terlibat dalam penipuan identiti dan pencurian. Kedua-duanya kekal sebagai suspek utama dalam kehilangan Oakley tetapi tiada bukti kukuh yang cukup untuk mendakwa mereka atas jenayah yang berkaitan secara langsung dengan kehilangan anak itu.

     Siasatan berterusan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan Persekutuan. Operasi pencarian besar-besaran dilancarkan termasuk menggunakan anjing pengesan, dron serta pasukan khas dari FBI yang menjelajah kawasan seluas 300 ekar di sekitar rumah keluarga Carlson. Hingga pada hari ini, Oakley bagaimanapun masih belum dijumpai sama ada dalam keadaan hidup mahupun mati. Pencarian fizikal telah dihentikan tetapi siasatan kekal terbuka dan aktif.

     Kehilangan Oakley telah mencetuskan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan penduduk Washington. Ramai menyalahkan DCYF kerana membuat keputusan yang terburu-buru menyerahkan semula Oakley kepada ibu bapa kandungnya. Sejak tahun 2013, terdapat sekurang-kurangnya sebelas laporan berhubung penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga dan pengabaian oleh keluarga Carlson. Walau bagaimanapun, hanya lapan daripada laporan itu disiasat dan tiada tindakan susulan diambil yang mampu menyelamatkan Oakley. 

     Akibat tekanan awam, satu rang undang-undang yang dikenali sebagai Oakley Carlson Act telah diperkenalkan pada Januari 2023. Akta ini mencadangkan perubahan besar terhadap cara penyatuan semula anak dengan ibu bapa kandung dijalankan termasuk ujian dadah secara berkala, pemantauan lebih kerap serta penilaian psikososial yang lebih ketat sebelum kanak-kanak dipulangkan. Usaha ini bertujuan untuk mencegah tragedi seumpama ini daripada berulang terhadap mana-mana kanak-kanak lain di masa hadapan.


Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN OAKLEY CARLSON"