KISAH MELINDA BALLARD : Kisah Benar Kulat Hitam yang Menghancurkan Sebuah Keluarga

Melinda Ballard ialah seorang sosialit dari Texas, Amerika Syarikat. Dia tinggal bersama suaminya yang bernama Ron Allison dan anak mereka, Reese di sebuah rumah agam mewah. Kehidupan mereka kelihatan sempurna dengan rumah yang besar, perabot mahal dan gaya hidup mewah. Namun tanpa disedari, rumah itu menyimpan bahaya senyap yang akhirnya menghancurkan keluarga mereka iaitu kulat hitam di dalam dinding.
Segalanya bermula secara perlahan dan membingungkan. Ron, seorang lelaki yang sihat dan aktif tiba-tiba menunjukkan tanda-tanda gangguan neurologi. Dia mula lupa perkara mudah, bercakap dengan tidak jelas dan sukar menumpukan perhatian. Melinda pula mengalami masalah pernafasan yang teruk, sering pengsan secara tiba-tiba dan merasai keletihan luar biasa. Anak mereka pula, Reese mula diserang gejala batuk berdarah, demam berulang kali dan mengalami kesukaran bernafas pada waktu malam. Mereka berulang-alik ke hospital dengan menjalani pelbagai ujian dan berjumpa pakar tetapi tiada satu pun diagnosis yang benar-benar tepat. Setiap rawatan yang dicuba tidak memberi kesan. Apa yang berlaku kepada mereka sekeluarga kekal menjadi misteri.

Melinda bagaimanapun bukan wanita yang mudah berputus asa. Dia mula membuat penyelidikan sendiri dan mengupah pasukan penyiasat persekitaran untuk memeriksa rumah mereka. Hasil siasatan itu mengejutkan. Rumah agam mewah itu rupa-rupanya telah dicemari oleh kulat hitam toksik, atau dalam istilah saintifiknya Stachybotrys chartarum. Kulat ini tidak kelihatan di permukaan tetapi telah tumbuh subur di sebalik dinding, dalam sistem penghawa dingin dan di kawasan lembap tersembunyi dalam struktur rumah. Punca utamanya ialah kebocoran paip air yang tidak dibaiki dengan segera oleh syarikat insurans. Kebocoran perlahan itu berlaku di sebalik dinding bilik air dan dapur.
Apabila air dari paip yang bocor itu meresap ke dalam dinding, kayu dan permaidani, ia mencipta persekitaran gelap serta lembap yakni habitat ideal untuk kulat membiak. Lebih buruk lagi, sistem HVAC (Heating, Ventilation and Air Conditioning) rumah Melinda itu menyebarkan spora dan toksin kulat ke seluruh ruang. Kulat jenis ini bukan sebarang kulat biasa. Ia menghasilkan mycotoxin, sejenis racun berbahaya yang memberi kesan kepada sistem saraf, paru-paru dan sistem imun. Selama berbulan-bulan, keluarga Melinda telah menghirup udara yang dipenuhi racun ini hingga tanpa disedari, mereka perlahan-lahan diracuni oleh rumah mereka sendiri.

Ron menjadi mangsa pertama yang paling teruk terjejas. Kerosakan neurologi yang dialaminya kekal dan semakin parah. Dia akhirnya meninggal dunia, dipercayai akibat komplikasi kesihatan berkaitan pendedahan jangka panjang kepada toksin kulat hitam. Kematian Ron mengejutkan Melinda, namun ia juga menguatkan azamnya untuk menuntut keadilan. Melinda kemudian memfailkan saman terhadap syarikat insurans rumah mereka, Farmers Insurance atas alasan kegagalan bertindak pantas membaiki kebocoran yang telah dilaporkan lebih awal. Hujahnya mudah di mana jika kebocoran dibaiki secepat mungkin, kulat tidak akan sempat membiak dan keluarganya tidak akan jatuh sakit. Mahkamah memihak kepada Melinda, dan pada tahun 2001, dia dianugerahkan pampasan sebanyak USD $32 juta. Walaupun jumlah itu dikurangkan selepas rayuan, kes ini tetap mencipta sejarah sebagai antara kes undang-undang terbesar yang melibatkan pencemaran kulat dalam kediaman peribadi.
Cuma bagi Melinda, wang bukan keutamaannya. Selepas kejadian itu, dia muncul di pelbagai program televisyen dan forum perumahan untuk memberi kesedaran tentang bahaya kulat hitam yang sering dipandang ringan. Melinda memberi amaran bahawa masalah kebocoran air dalam rumah bukan sahaja merosakkan struktur bangunan malah boleh menjadi punca penyakit berbahaya bahkan kematian. Rumah yang kelihatan bersih dan sempurna di luar belum tentu bebas daripada bahaya dalaman yang tidak kelihatan dengan mata kasar.

Melinda terus aktif dalam memperjuangkan isu ini selama lebih sedekad. Namun pada tahun 2013, dia sendiri meninggal dunia pada usia 55 tahun. Punca kematiannya tidak didedahkan secara rasmi tetapi ia tidak dikaitkan secara langsung dengan kulat hitam yang pernah meragut nyawa suaminya dahulu. Apa yang pasti, perjuangan Melinda tidak sia-sia.
Catat Ulasan for "KISAH MELINDA BALLARD : Kisah Benar Kulat Hitam yang Menghancurkan Sebuah Keluarga"