KISAH JEFFREY MANCHESTER : Penjenayah Bijak yang Merompak Melalui Bumbung

Dalam sejarah jenayah moden Amerika Syarikat, nama Jeffrey Manchester cukup dikenali kerana kecerdikan luar biasa dan pendekatan uniknya dalam melakukan rompakan. Tidak seperti perompak biasa yang menggunakan kekerasan, Jeffrey memilih jalan yang senyap dan licik dengan menyelinap masuk melalui bumbung bangunan untuk melakukan rompakan dengan penuh strategi dan kesabaran.
Jeffrey Manchester dilahirkan dan dibesarkan di Amerika Syarikat dan sebelum terlibat dalam dunia jenayah, dia merupakan seorang anggota Tentera Udara Amerika Syarikat (US Air Force). Kehidupan dalam tentera memberikannya kemahiran dalam pelbagai aspek teknikal, taktikal termasuk penggunaan alatan, pengawasan serta kemampuan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran. Namun segala kemahiran ini tidak digunakan untuk kebaikan. Ia sebaliknya dijadikan alat untuk menjalankan jenayah secara sistematik dan licik.

Apa yang membezakan Jeffrey dengan penjenayah lain ialah kaedah rompakan yang dilakukannya melalui bumbung bangunan. Berbanding menyerbu masuk melalui pintu utama seperti perompak konvensional, Jeffrey memilih laluan yang tidak dijangka iaitu melalui siling. Inilah sebab dia diberi nama gelaran Roofman. Sasaran utamanya ialah restoran makanan segera seperti McDonald's, Burger King dan Wendy’s. Jeffrey akan mengambil masa beberapa minggu melakukan pemerhatian secara senyap di mana dia mencatat waktu operasi, jumlah pekerja dan rutin penghantaran barang. Apabila tiba waktu malam atau awal pagi ketika restoran ditutup, dia akan memanjat bumbung bangunan tersebut lalu menggerudi lubang kecil pada siling dan menyusup masuk secara diam-diam.
Jeffrey merancang setiap langkah dengan teliti. Dia memastikan sistem keselamatan tidak mengesan kehadiranny lalu menyelinap masuk ke stor atau dapur restoran dan menunggu masa sesuai sebelum keluar untuk merompak. Dalam kebanyakan kes, Jeffrey menggunakan senjata palsu seperti pistol mainan atau hanya memegang beg plastik untuk menyimpan wang. Dia terkenal kerana tidak menggunakan kekerasan malah kadangkala berbual mesra dengan pekerja sambil memastikan mereka duduk diam dan tidak mencederakan diri. Dalam beberapa kejadian, mangsa menggambarkannya sebagai seorang yang sopan, tenang dan tidak kelihatan seperti penjenayah.
Antara tahun 1998 hingga 2000, Jeffrey dipercayai telah merompak lebih daripada 60 restoran makanan segera di sekurang-kurangnya sembilan buah negeri. Walau bagaimanapun, kejayaan itu tidak berkekalan. Pada tahun 2000, dia akhirnya tertangkap selepas melakukan rompakan di Carolina Utara yang tidak berjalan seperti yang dirancang. Pihak polis berjaya menahannya dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 45 tahun atas kesalahan rompakan bersiri.
Namun kisahnya menjadi lebih dramatik selepas itu. Pada tahun 2004 yakni selepas hanya empat tahun di dalam penjara, Jeffrey sekali lagi mengejutkan pihak berkuasa apabila berjaya melarikan diri dari penjara menggunakan helah yang sangat berani dan tidak disangka-sangka. Dia menyembunyikan dirinya dalam kotak kitar semula yang dihantar keluar dari kompleks penjara bersama dengan barangan buangan. Apabila kotak itu dibuang, Jeffrey berjaya melarikan diri tanpa dikesan.

Selepas berjaya keluar dari penjara, Jeffrey menyembunyikan diri di kawasan Concord, North Carolina dan tinggal secara rahsia di dalam loteng sebuah gedung permainan terkenal iaitu Toys "R" Us. Apa yang mengejutkan ramai pihak ialah dia menetap di situ selama hampir tiga bulan tanpa dikesan sesiapa pun. Di dalam bangunan itu, Jeffrey membina ruang tidur, mencuri makanan dari stor, mandi menggunakan bilik pameran pancuran dan menonton televisyen menggunakan barangan elektrik yang dijual di situ. Kehidupan di balik bumbung itu dilakukannya secara berhati-hati. Dia hanya keluar pada waktu malam untuk mencari makanan atau barangan lain dari premis sekitar.
Dalam tempoh persembunyian itu juga, Jeffrey hidup seolah-olah seperti orang biasa. Dia memperkenalkan dirinya sebagai John kepada penduduk setempat dan berjaya menjalin hubungan romantik dengan seorang wanita tempatan yang tidak menyedari latar belakang sebenarnya. Mereka sering pergi ke gereja bersamam Wanita itu menggambarkan Jeffrey sebagai lelaki yang penyayang, penyabar dan amat mengambil berat. Sepanjang hubungan mereka, Jeffrey tidak pernah menunjukkan sebarang kelakuan mencurigakan.
Kisah penyamaran Jeffrey bagaimanapun mula terdedah apabila polis menerima laporan tentang barang-barang hilang di kawasan sekitar serta penemuan kesan gangguan di bumbung premis. Pihak berkuasa mula meneliti rakaman kamera keselamatan dan akhirnya mengenal pasti Jeffrey. Setelah diserbu, Jeffrey sekali lagi berjaya melarikan diri untuk seketika tetapi tidak lama kemudian ditangkap semula.

Penangkapan kali kedua itu akhirnya mengakhiri siri jenayah luar biasanya. Dalam temubual dan dokumentari yang dihasilkan selepas itu, ramai menyifatkan Jeffrey sebagai seorang penjenayah yang berkarisma dan bijak tetapi memilih jalan hidup yang salah. Tidak seperti kebanyakan penjenayah bersiri yang menggunakan keganasan, Jeffrey lebih dikenali kerana kebolehannya untuk merancang jenayah tanpa mencederakan orang lain walaupun tetap dianggap sebagai pelaku jenayah yang serius.
Kisahnya telah menginspirasikan beberapa dokumentari jenayah dan kini diadaptasi ke layar perak menerusi filem berjudul Roofman lakonan Channing Tatum yang dijadualkan tayangannya pada 10 Oktober 2025. Filem ini memberi tumpuan kepada sisi psikologi serta strategi licik yang digunakan oleh Jeffrey dalam setiap perancangannya.
Catat Ulasan for "KISAH JEFFREY MANCHESTER : Penjenayah Bijak yang Merompak Melalui Bumbung"