KISAH UDAYAN DAS : Pembunuh yang Benar-Benar Gila

Pada awal tahun 2017, pihak polis India membuka siasatan terhadap kehilangan seorang wanita muda bernama Akanksha Sharma. Siasatan ini pada mulanya dilihat sebagai kes orang hilang biasa. Ia bagaimanapun membawa kepada penemuan yang lebih besar. Polis menemui mayat Akanksha yang telah disimen di dalam struktur konkrit di rumah teman lelakinya di Bhopal, Madhya Pradesh. Penahanan suspek utama iaitu Udayan Das mendedahkan bahawa dia bukan sahaja bertanggungjawab atas pembunuhan Akanksha tetapi turut membunuh ibu dan bapanya sendiri beberapa tahun sebelumnya.
Udayan Das merupakan seorang lelaki yang berasal dari Raipur, Chhattisgarh. Dia menjalani kehidupan bersendirian di Bhopal dan memperkenalkan dirinya kepada orang ramai sebagai individu yang berpendidikan dan stabil dari segi kewangan. Melalui laman media sosial Facebook, Udayan berkenalan dengan Akanksha Sharma yakni seorang wanita muda dari Jhansi, Uttar Pradesh. Mereka menjalin hubungan dalam talian selama beberapa bulan sebelum Akanksha membuat keputusan berpindah ke Bhopal untuk tinggal bersamanya. Keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan keluarganya. Akanksha cuma memaklumkan bahawa dia akan melanjutkan pelajaran dan atas alasan tersebut, keluarganya tidak banyak mempersoal.

Namun selepas beberapa minggu, keluarga Akanksha mula curiga apabila mereka gagal menghubunginya secara langsung. Mereka hanya menerima mesej-mesej menerusi akaun media sosial yang didakwa ditulis oleh Akanksha. Walau bagaimanapun, gaya penulisan mesej tersebut tidak menyerupai cara Akanksha berbicara. Disebabkan rasa tidak sedap hati, keluarganya membuat laporan polis berkenaan kehilangan tersebut. Polis dari Jhansi menjalankan siasatan awal lalu berjaya mengesan lokasi terakhir Akanksha iaitu di rumah Udayan Das di Bhopal.
Setibanya pihak polis di rumah Udayan, mereka menemui sebuah struktur konkrit besar aneh yang dibina di dalam rumah. Apabila disoal, Udayan memberikan jawapan yang mengelirukan. Setelah didesak, Udayan akhirnya mengaku bahawa dia telah membunuh Akanksha dan menyembunyikan mayatnya dalam struktur tersebut. Polis memecahkan struktur itu dan menemui mayat Akanksha dalam keadaan sudah mereput. Menurut pengakuan Udayan, dia membunuh Akanksha dengan cara mencekik selepas berlaku perselisihan faham. Udayan kemudian menyimen mayat Akanksha di dalam rumahnya sendiri.

Susulan penemuan tersebut, Udayan Das ditahan dan disiasat lanjut oleh pihak berkuasa. Hasil siasatan latar belakang, polis mendapati bahawa tiada maklumat sahih tentang keberadaan ibu bapa Udayan walaupun dia sebelum ini mendakwa bahawa mereka tinggal dan bekerja di Amerika Syarikat. Setelah menyemak aktiviti kewangan dan media sosial yang berkaitan, polis menemui bukti bahawa Udayan sendiri yang mengendalikan akaun Facebook dan akaun bank milik ibunya. Dia menyamar menjadi ibunya bagi mengaburi pihak lain termasuk saudara-mara dan institusi kewangan.
Apabila disoal dengan lebih mendalam, Udayan mengaku bahawa dia telah membunuh bapanya terlebih dahulu sekitar tahun 2010 di rumah mereka di Raipur. Ketika itu, mereka tinggal bersama dan dia membunuh bapanya semasa sedang tidur. Beberapa bulan berikutnya, ibunya yang berada di luar kawasan pulang ke rumah dan mula bertanya tentang suaminya. Disebabkan tidak mahu rahsianya terbongkar, Udayan turut membunuh ibunya. Kedua-dua mayat ditanam secara berasingan di kawasan halaman rumah lama mereka.
Polis kemudian menjalankan pemeriksaan di rumah lama Udayan di Raipur. Hasil siasatan di lokasi tersebut menemui tanda-tanda pada kawasan tanah yang menunjukkan berlakunya penanaman mayat. Disebabkan kejadian itu telah berlaku lebih lima tahun sebelum siasatan dijalankan, keadaan fizikal mayat sudah reput dan sukar dikenali secara biasa. Pihak forensik terpaksa menjalankan ujian DNA bagi mengesahkan identiti mangsa.

Menerusi laporan psikologi yang dikemukakan di mahkamah, Udayan tidak menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit mental yang serius tetapi dikategorikan sebagai individu yang mempunyai kecenderungan untuk menipu, mengawal keadaan serta menjalani kehidupan berdasarkan naratif rekaan sendiri. Dalam tempoh bertahun-tahun, dia mampu menjalani kehidupan harian tanpa menimbulkan syak wasangka walaupun telah melakukan tiga pembunuhan selain menyamar menjadi ibunya sendiri bagi mengakses kemudahan kewangan.
Berikutan siasatan dan pengakuan yang kukuh, kes pembunuhan Akanksha Sharma dibicarakan di mahkamah di negeri West Bengal. Pada 26 Ogos 2020, Mahkamah Sesyen di Bankura menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Udayan Das atas kesalahan membunuh Akanksha di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan India. Mahkamah juga mengenakan denda ₹20 000 dan sekiranya gagal dibayar, dia perlu menjalani tambahan hukuman penjara selama enam bulan. Selain itu, Udayan turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda tambahan ₹2000 kerana menyembunyikan bukti pembunuhan.

Pihak pendakwa raya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman mati memandangkan kes itu dikategorikan sebagai kes serius dan jarang berlaku. Mahkamah memutuskan bahawa hukuman penjara seumur hidup adalah setimpal memandangkan tiada faktor-faktor lain seperti pembunuhan beramai-ramai atau kekejaman berlebihan. Udayan menyatakan hasratnya untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan tersebut. Sementara itu, kes berkaitan pembunuhan ibu bapanya masih belum selesai. Kes tersebut dikendalikan secara berasingan di Raipur, Chhattisgarh. Polis telah berjaya mengenal pasti rangka ibu bapanya melalui ujian DNA di mana proses dokumentasi kes masih berjalan.
Catat Ulasan for "KISAH UDAYAN DAS : Pembunuh yang Benar-Benar Gila"