KISAH NGERI YECENIA MORALES : Maut Akibat Lakukan Bungee Jumping Tanpa Tali

Pada pagi Ahad, 18 Julai 2021, langit cerah di kawasan pergunungan Amaga, sebuah daerah terletak kira-kira 45 kilometer dari Medellin, ibu negeri wilayah Antioquia, Colombia. Kawasan ini terkenal dalam kalangan pencinta sukan ekstrem kerana memiliki jambatan tinggi dan pemandangan lembah yang esuai untuk aktiviti terjun lelabah (bungee jumping) terutamanya dalam kalangan anak muda yang ingin mencabar diri.
Antara peserta yang hadir pada hari tersebut ialah Yecenia Morales Gomez, seorang wanita berusia 25 tahun yang berasal dari Medellin. Dia hadir bersama teman lelakinya yang juga merupakan seorang pencinta aktiviti lasak. Ini adalah kali pertama mereka mencuba aktiviti terjun lelabah dan menurut rakannya, Yecenia sangat teruja meskipun agak gugup. Difahamkan mereka telah mendaftar untuk aktiviti tersebut melalui sebuah syarikat pelancongan tempatan yang mengendalikan lebih 100 peserta pada hari yang sama.

Setibanya di lokasi, para peserta dibahagikan mengikut giliran dan diberikan taklimat ringkas oleh kru keselamatan. Malangnya, hasil siasatan kemudian mendapati syarikat yang mengendalikan aktiviti tersebut tidak memiliki permit atau lesen sah daripada pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti ekstrem itu di lokasi terbabit. Lebih membimbangkan, prosedur keselamatan juga tidak dikendalikan secara profesional. Kru keselamatan dilaporkan tidak memakai pakaian seragam khas dan isyarat yang digunakan adalah verbal dan isyarat tangan tanpa alat bantuan komunikasi seperti walkie-talkie atau alat penguat suara.
Yecenia dan teman lelakinya berdiri di atas platform yang menghadap ke lembah dalam. Pasangan itu menunggu giliran untuk membuat terjunan. Teman lelakinya yang berada di hadapan sedang dipasangkan tali dan peralatan keselamatan oleh kru. Sementara itu, Yecenia berdiri tidak jauh di belakangnya, menunggu dengan sabar. Di sinilah tragedi mula berlaku.
Seorang anggota kru memberi isyarat “lompat” kepada teman lelaki Yecenia. Walau bagaimanapun, isyarat tersebut disalah tafsir oleh Yecenia sebagai petanda bahawa gilirannya sudah tiba. Dalam kekeliruan itu, dia melompat tanpa memakai sebarang tali keselamatan atau perlindungan tubuh dari jambatan yang terletak lebih 45 meter dari tanah.

Para saksi tergamam. Dalam sekelip mata, tubuh Yecenia kelihatan melayang di udara sebelum hilang dari pandangan dan kemudian terdengar dentuman kuat apabila tubuhnya jatuh ke dasar lembah. Teman lelakinya yang sedang dipasangkan tali menjerit panik kerana menyaksikan kekasihnya jatuh di depan mata tanpa sempat berbuat apa-apa. Krew serta peserta lain segera menghubungi pihak berkuasa kecemasan. Pasukan penyelamat dan paramedik tiba tidak lama kemudian dan turun ke dasar lembah. Namun mereka hanya mampu mengesahkan bahawa Yecenia telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman parah dan trauma hentakan kuat terutama pada kepala dan tulang belakang.
Laporan forensik kemudian mendapati terdapat kemungkinan besar bahawa Yecenia telah mengalami serangan jantung semasa dalam kejatuhan yakni satu tindak balas fisiologi akibat tekanan dan panik ekstrem yang menyekat sistem kardiovaskular. Ini bermakna dia mungkin sudah tidak sedarkan diri sebelum tubuhnya terhempas.
Pihak berkuasa kemudian mengesahkan bahawa syarikat penganjur yang tidak dinamakan dalam laporan media gagal mematuhi garis panduan keselamatan yang ketat seperti yang diwajibkan oleh pihak berkuasa Colombia. Mereka juga tidak mendaftarkan aktiviti tersebut secara rasmi dan menjalankannya di lokasi tidak dibenarkan. Perkara ini mengejutkan ramai kerana kawasan tersebut sering menjadi tumpuan pelancong tetapi penguatkuasaan keselamatan didapati terlalu longgar. Kematian Yecenia mencetuskan kemarahan di media sosial dan masyarakat awam. Ramai yang mempersoalkan bagaimana aktiviti berisiko tinggi seperti bungee jumping boleh dikendalikan secara sambil lewa tanpa peralatan kecemasan lengkap, tanpa lesen operasi dan tanpa pengawasan pihak berkuasa.

Teman lelakinya turut mengalami tekanan trauma emosi dan menerima rawatan psikologi selepas kejadian. Dalam wawancara ringkas bersama wartawan tempatan, dia menyatakan, “Saya tidak akan lupakan pandangan terakhir matanya... Dia melompat dengan yakin, menyangka semuanya selamat. Saya tak sempat jerit, semuanya terlalu cepat...”
Keluarga Yecenia di Medellin menerima berita itu dengan penuh kesedihan dan kekeliruan. Menurut ibunya, Yecenia adalah seorang pelajar universiti yang baru sahaja menamatkan semester dan sedang merancang untuk bekerja sambilan. Dia seorang anak yang ceria, penyayang dan gemar mencuba pengalaman baharu. Majlis pengebumian Yecenia diadakan dua hari selepas insiden, dihadiri oleh keluarga, rakan-rakan serta aktivis keselamatan rekreasi yang menuntut agar kerajaan Colombia mengetatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pelancongan ekstrem yang tidak dikawal.
Catat Ulasan for "KISAH NGERI YECENIA MORALES : Maut Akibat Lakukan Bungee Jumping Tanpa Tali"