Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH TRAGIK KYLE PLUSH : Remaja Ditemui Mati Terhimpit di Tempat Duduk Kereta


     Pada 10 April 2018, satu kejadian menyayat hati berlaku di Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat apabila seorang remaja berusia 16 tahun yang bernama Kyle Plush maut dalam keadaan yang sangat menyedihkan dan mengejutkan. Kyle merupakan seorang pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Seven Hills dengan dia dikenali sebagai pelajar cemerlang, aktif dalam sukan tenis dan sangat disayangi oleh keluarga serta rakan-rakannya. Pada hari kejadian, Kyle telah ke tempat letak kereta sekolah untuk mengambil peralatan tenisnya dari dalam kereta keluarga mereka, sebuah Honda Odyssey keluaran tahun 2004. Namun tiada siapa menyangka bahawa tindakannya itu akan menjadi detik terakhir dalam hidupnya.

     Ketika Kyle cuba mengakses bahagian belakang kenderaan untuk mengambil peralatan sukan, tempat duduk baris ketiga kenderaan itu tiba-tiba terlipat ke belakang lalu menghimpit tubuhnya ke pintu belakang kereta. Kedudukan itu menyebabkan tekanan kuat ke dada dan menghalang Kyle daripada bernafas dengan sempurna. Keadaan ini dikenali sebagai positional asphyxia, lemas akibat kedudukan badan yang menghalang pernafasan. Meskipun dalam keadaan panik, kesakitan dan kehabisan nafas, Kyle tidak berputus asa. Menggunakan fungsi kawalan suara Siri di telefon iPhone miliknya, dia berjaya membuat dua panggilan kecemasan ke 911 walaupun dalam kedudukan yang sangat sukar dan bahaya.

     Menerusi panggilan pertama, Kyle memberitahu bahawa dia berada di dalam kereta di tempat letak kereta sekolah. Kyle juga menyebut secara jelas jenis dan warna kenderaan yang digunakannya iaitu Honda Odyssey berwarna emas. Suaranya kedengaran cemas dan dia memohon agar bantuan segera dihantar. Cuma apa yang ebih menyayat hati ialah dalam panggilan keduanya di mana Kyle berkata, “Tolong beritahu ibu saya bahawa saya sayang padanya jika saya mati.” Ayat itu menggambarkan betapa dia sedar akan kemungkinan dirinya tidak dapat diselamatkan. 

     Walaupun dua anggota polis dihantar ke lokasi yang disebutkan oleh Kyle, mereka tidak turun dari kenderaan peronda untuk memeriksa keseluruhan kawasan letak kereta dengan lebih teliti. Lebih mengecewakan, maklumat penting daripada panggilan Kyle tidak disampaikan sepenuhnya kepada anggota yang bertugas di lapangan. Tiada semakan lanjut dilakukan dan tiada usaha bersungguh-sungguh untuk mengenal pasti kenderaan yang disebutkan oleh mangsa.


     Enam jam kemudian, bapa Kyle yang risau apabila anaknya tidak pulang ke rumah telah keluar mencari sendiri. Menerusi bantuan fungsi penjejakan telefon, dia akhirnya menemui kereta tersebut di kawasan letak kereta sekolah dan pemandangan yang dilihatnya amat memilukan. Anaknya sudah tidak bernyawa dalam kedudukan terhimpit di dalam kereta. Laporan bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian adalah akibat lemas (asphyxia) kerana tekanan di dada. Tiada unsur jenayah, dadah atau serangan lain yang terlibat.

      Keluarga Kyle telah mengambil tindakan undang-undang terhadap bandar Cincinnati atas kecuaian yang jelas dalam pengendalian kes tersebut. Pada April 2021, kes itu diselesaikan di luar mahkamah dengan pembayaran pampasan sebanyak USD 6 juta yakni jumlah kedua terbesar dalam sejarah penyelesaian saman bandar Cincinnati. Keluarga Kyle tidak hanya menuntut keadilan untuk anak mereka tetapi juga berusaha agar tiada lagi nyawa yang terkorban kerana kegagalan sistem. Mereka menubuhkan sebuah yayasan yang dinamakan Kyle Plush Answer the Call Foundation yang bertujuan memperbaiki sistem komunikasi dan pengurusan kecemasan di seluruh Amerika Syarikat. Melalui yayasan ini, mereka memberi latihan kepada pengendali 911, mengadakan seminar kesedaran dan berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang.


     Sebagai langkah pembaikan, Pusat Komunikasi Kecemasan Cincinnati telah menjalankan beberapa perubahan besar termasuk menaik taraf sistem komunikasi, memperkenalkan sistem keutamaan baharu untuk mengendali panggilan kecemasan serta menjalani audit dan latihan berkala. Satu perjanjian pemantauan selama lima tahun turut diperkenalkan bagi memastikan piawaian baharu ini benar-benar dilaksanakan dan diawasi secara telus.

Catat Ulasan for "KISAH TRAGIK KYLE PLUSH : Remaja Ditemui Mati Terhimpit di Tempat Duduk Kereta"