Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN ELISA CLAPS : 17 Tahun Mayat dalam Loteng Gereja


     Pada pagi 12 September 1993, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bernama Elisa Claps meninggalkan rumahnya di Potenza, sebuah bandar kecil di selatan Itali. Elisa memberitahu keluarganya bahawa dia akan menghadiri Misa pagi di Gereja Santissima Trinita dan berjanji akan pulang sebelum tengah hari. Cuma apa yang tidak diketahui oleh keluarganya ialah Elisa sebenarnya merancang untuk bertemu seorang lelaki bernama Danilo Restivo iaitu seorang pemuda tempatan berusia 21 tahun yang dikenali dalam kalangan remaja di bandar itu. Restivo telah menghubungi Elisa beberapa hari sebelum itu dan memberitahu dia ingin memberinya hadiah sebagai ucapan tahniah kerana lulus peperiksaan ulangan. Mereka bersetuju untuk berjumpa di dalam gereja selepas Misa tamat. 

     Danilo Restivo bukanlah orang asing dalam komuniti remaja Potenza. Walaupun tidak pernah rapat dengan Elisa, mereka saling mengenali melalui pergaulan biasa dalam kalangan pelajar. Walau bagaimanapun, Restivo memiliki reputasi sebagai seorang yang pelik dan tidak disenangi ramai di mana dia dikenali kerana minat ganjilnya terhadap rambut wanita. Beberapa laporan menyatakan Restivo pernah memotong rambut pelajar perempuan secara senyap ketika di dalam bas atau perpustakaan. Tabiat ini dianggap pelik tetapi tidak pernah dilaporkan secara rasmi. 


     Selepas kehilangannya dilaporkan, keluarga Elisa serta pihak berkuasa segera memulakan pencarian. Restivo tampil di hospital pada hari yang sama dengan luka pada tangannya. Dia mendakwa terjatuh di kawasan pembinaan berhampiran gereja. Pihak polis bagaimanapun tidak menyiasatnya secara serius dan tidak menahan pakaian berdarahnya untuk analisis forensik. Malah gereja yang menjadi lokasi terakhir pertemuan Elisa dan Danilo tidak diperiksa dengan menyeluruh. Lebih membingungkan, pihak gereja juga tidak memberikan kerjasama yang sewajarnya. Paderi gereja ketika itu, Don Mimi Sabia menafikan mengenali Restivo walaupun kemudian terbukti bahawa dia mengenali keluarga Restivo secara peribadi. Malah, ada dakwaan bahawa beberapa pekerja gereja menyedari bau busuk dan kejadian aneh di sekitar loteng tetapi memilih untuk berdiam diri. Budaya 'omerta' iaitu diam dan melindungi institusi daripada aib dipercayai menjadi antara sebab kes ini bertahun-tahun terpendam tanpa sebarang perkembangan.

     Keluarga Elisa terutamanya abangnya yang bernama Gildo Claps berjuang bertahun-tahun lamanya untuk mencari keadilan. Mereka melakukan siasatan sendiri dengan menekan pihak polis dan membawa isu ini ke media serta parlimen tempatan. Namun usaha itu sering menemui jalan buntu. Sementara itu, Restivo menjalani hidup seperti biasa dan pada tahun 2002, dia berpindah ke United Kingdom. 


     Pada 12 November 2002, Heather Barnett, seorang ibu tunggal dan tukang jahit di Bournemouth, England ditemui mati dibunuh di rumahnya sendiri. Mayatnya diletakkan dalam keadaan mengerikan dengan rambut dipotong dan ditinggalkan dalam genggamannya, satu modus operandi yang sangat mirip dengan apa yang akan kemudian dikaitkan dengan kes Elisa. Restivo yang merupakan jiran kepada mangs sekali lagi menjadi suspek. Sama seperti kes Elisa, bukti kukuh mengambil masa bertahun-tahun untuk dikumpul.

     Akhirnya pada 17 Mac 2010 yakni hampir 17 tahun selepas Elisa hilang, pekerja penyelenggaraan yang menjalankan kerja-kerja baik pulih di Gereja Santissima Trinita menjumpai rangka manusia di dalam loteng bangunan itu. Kacamata masih berada di wajah mangsa, dan ujian forensik kemudian mengesahkan bahawa rangka itu milik Elisa Claps. Penemuan ini menimbulkan persoalan bagaimana mayat seorang gadis boleh tersembunyi begitu lama di dalam sebuah tempat ibadah tanpa seorang pun mengambil tindakan? Malah terdapat saksi-saksi dalam kalangan gereja yang mengaku telah menemui rangka itu beberapa bulan sebelum pendedahan rasmi tetapi tidak dibenarkan bercakap.


     Autopsi menunjukkan Elisa telah ditikam sebanyak 13 kali termasuk beberapa tikaman dari arah belakang yang mengenai tulang belakang. Rambutnya dipotong dan beberapa helai ditemukan dalam genggamannya. Cara pembunuhan ini serta lokasi mayat yang tersembunyi menguatkan dakwaan bahawa Restivo adalah pelaku. Pada tahun 2011, Restivo disabitkan bersalah atas pembunuhan Heather Barnett di England dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Dua tahun berikutnya, pada tahun 2013, mahkamah Itali menjatuhkan hukuman 30 tahun penjara secara in absentia atas pembunuhan Elisa Claps. Kisah Elisa ini diabadikan dalam dokumentari, buku serta drama bersiri seperti Per Elisa – Il caso Claps yang ditayangkan di saluran Rai dan Netflix. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN ELISA CLAPS : 17 Tahun Mayat dalam Loteng Gereja"