KISAH NGERI DI PULAU KOH TAO : Pembunuhan Ngeri David Miller dan Hannah Witheridge

Hannah Witheridge merupakan seorang wanita berusia 23 tahun yang berasal dari Norfolk, England. Dia yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang terapi pertuturan dikatakan sebagai seorang pelajar pintar, ceria dan sangat disenangi oleh rakan-rakannya. David Miller pula adalah seorang lelaki berusia 24 tahun dari Jersey, England, lulusan jurusan kejuruteraan awam. Kedua-dua mereka melancong ke Koh Tao secara berasingan dan hanya berkenalan selepas tiba di pulau tersebut. Pada beberapa hari sebelum kejadian, mereka dilihat bersama dalam kumpulan pelancong yang menginap di kawasan Pantai Sairee, kawasan paling popular dan sibuk di Koh Tao.

Pada malam 14 September 2014, Hannah dan David dilaporkan menghadiri sebuah pesta pantai di kelab malam AC Bar yakni tempat yang sering menjadi tumpuan pelancong untuk berhibur sehingga larut malam. Pesta tersebut dihadiri oleh ramai pelancong asing, dan suasananya meriah seperti biasa. Namun eesokan paginya, pada 15 September sekitar jam 6 pagi, seorang pekerja pembersihan pantai menemui mayat seorang wanita muda dalam keadaan separuh bogel dengan kesan kecederaan serius di kepala, terbaring di atas pasir yang tidak jauh dari kawasan semak. Tidak jauh dari situ, mayat seorang lelaki juga ditemui yang dalam keadaan berpakaian lengkap serta terdapat kecederaan fizikal yang teruk pada kepala dan muka.
Mayat tersebut dikenal pasti sebagai Hannah Witheridge dan David Miller. Siasatan awal pihak polis mengesahkan bahawa Hannah telah dirogol dan dibunuh dengan kejam. Terdapat kesan serangan seksual, lebam dan trauma tumpul pada kepala yang menyebabkan kematian. David pula dipercayai telah dipukul dengan senjata tumpul sebelum dilemaskan dipercayai ketika cuba mempertahankan Hannah daripada serangan. Penemuan senjata jenayah berupa sebilah cangkul di tempat kejadian mengukuhkan lagi teori bahawa kedua-dua mangsa telah dibunuh dengan sengaja dan kejam.

Kematian mereka menarik perhatian media antarabangsa. Cuma apa yang lebih membangkitkan kemarahan banyak pihak ialah bagaimana pihak berkuasa Thailand mengendalikan siasatan kes ini. Sejak awal lagi, banyak kecuaian dan kekeliruan berlaku. Kawasan jenayah tidak ditutup dengan baik sehingga membolehkan pelancong dan wartawan masuk ke lokasi penemuan mayat sekali gus menjejaskan bukti forensik. Rakaman kamera CCTV di sekitar kawasan kejadian sama ada tidak diperiksa secara menyeluruh, tidak berfungsi atau tidak disimpan dengan baik. Tambahan pula, pihak polis membuat kenyataan tergesa-gesa bahawa suspek bukan dalam kalangan penduduk tempatan tetapi sebaliknya mula menumpukan perhatian kepada pekerja asing dari Myanmar yang bekerja di sekitar pulau.
Setelah hampir dua minggu tanpa tangkapan, pada awal Oktober 2014, polis Thailand mengumumkan penahanan dua lelaki warga Myanmar berusia awal 20-an iaitu Zaw Lin dan Win Zaw Htun. Kedua-duanya adalah buruh migran yang bekerja di restoran dan premis perniagaan di Koh Tao. Mereka ditahan lalu disoal siasat selama beberapa hari dan akhirnya membuat pengakuan bersalah. Dalam pengakuan tersebut, mereka mengaku telah mengintip pasangan itu, menyerang mereka di pantai, merogol Hannah dan membunuh kedua-duanya sebelum melarikan diri. Polis menyatakan bahawa DNA kedua-dua suspek ditemui pada tubuh Hannah serta pada kondom dan puntung rokok di lokasi kejadian.

Tidak lama selepas itu, kedua-dua tertuduh menarik balik pengakuan dan mendakwa bahawa mereka telah dipaksa untuk membuat pengakuan selain dipukul semasa soal siasat dan tidak diberikan penterjemah yang sah. Tertuduh turut mendakwa bahawa pengakuan mereka dirakam tanpa kehadiran peguam dan dalam keadaan tekanan fizikal serta mental. Pelbagai badan hak asasi manusia termasuk Human Rights Watch mula mempersoalkan ketelusan siasatan polis Thailand. Di Myanmar, rakyatnya mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran menuntut keadilan untuk dua anak muda yang dianggap menjadi kambing hitam demi menutup tekanan antarabangsa terhadap pihak berkuasa Thailand.
Perbicaraan kes ini berlangsung pada tahun 2015. Pihak pendakwa bergantung kepada bukti DNA yang dikatakan sepadan dengan kedua-dua tertuduh. Walau bagaimanapun, peguam pembela berhujah bahawa proses pengendalian bahan bukti sangat meragukan di mana ia didapati tidak mengikut protokol antarabangsa dan hasil DNA tidak disahkan oleh makmal bebas. Malah ketua forensik Thailand ketika itu, Dr Pornthip Rojanasunand juga mempersoalkan integriti ujian DNA tersebut. Dia menyatakan bahawa tiada DNA suspek ditemui pada senjata pembunuhan dan masa yang diambil untuk memproses bahan bukti terlalu cepat sehingga tidak masuk akal. Lagipun tiada rakaman CCTV atau saksi langsung yang mengaitkan kedua-dua tertuduh dengan tempat kejadian pada waktu kejadian.

Pada Disember 2015, Mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman mati ke atas Zaw Lin dan Win Zaw Htun. Keputusan ini mengejutkan banyak pihak. Keluarga mangsa menyatakan bahawa mereka menerima keputusan tersebut dan percaya keadilan telah dicapai. Ramai juga pihak berpendapat bahawa sistem keadilan Thailand tidak memberikan perbicaraan yang adil terutama terhadap warga asing yang tidak mempunyai akses kepada pembelaan sewajarnya.
Pada Ogos 2020, selepas beberapa tahun rayuan dan tekanan diplomatik, Raja Thailand memberikan pengampunan diraja kepada kedua-dua tertuduh dan menukarkan hukuman mati mereka kepada penjara seumur hidup. Kedua-duanya kini masih menjalani hukuman penjara dan terus mengekalkan bahawa mereka tidak bersalah. Sementara itu, pihak berkuasa Thailand tidak membuka semula siasatan untuk menyiasat kemungkinan lain atau pelaku sebenar.
Kes ini meninggalkan terlalu banyak persoalan yang belum terjawab. Siapakah pembunuh sebenar? Adakah DNA satu-satunya bukti kukuh yang boleh menentukan nasib hidup seseorang? Paling menyayat hati, apakah Hannah dan David akhirnya mendapat keadilan yang sewajarnya?
Catat Ulasan for "KISAH NGERI DI PULAU KOH TAO : Pembunuhan Ngeri David Miller dan Hannah Witheridge"