Penemuan Mengejutkan di Ireland: 796 Mayat Bayi Dikebumikan Dalam Tangki Najis

IRELAND - Pada Jun 2025, kerajaan Ireland memulakan kerja ekskavasi rasmi di bekas tapak Rumah Ibu dan Bayi Bon Secours di Tuam, sebuah kawasan kecil di County Galway. Langkah ini diambil susulan siasatan yang mendedahkan bahawa seramai 796 bayi dan kanak-kanak kecil telah meninggal dunia di rumah tersebut antara tahun 1925 hingga 1961. Walau bagaimanapun, hanya dua nama sahaja yang direkodkan dalam senarai pengebumian rasmi. Tiada sebarang maklumat ditemui mengenai pengebumian 794 mangsa yang lain termasuk lokasi kubur atau catatan berkaitan. Mayat-mayat ini dipercayai telah dikebumikan secara tidak formal dan tidak sempurna di dalam sebuah struktur konkrit bawah tanah yang dahulunya merupakan tangki najis lama.
Ibu dan Bayi Bon Secours merupakan salah satu institusi di Ireland yang dibuka untuk menempatkan wanita muda yang mengandung luar nikah. Pada waktu itu, rakyat Ireland sangat konservatif dan wanita dalam keadaan sedemikian sering dihantar ke rumah-rumah seperti ini biasanya tanpa kerelaan mereka. Di sana, mereka melahirkan anak dalam keadaan tertutup dan bayi mereka sama ada diserahkan kepada keluarga angkat atau dijaga buat sementara waktu. Namun ramai bayi yang dilahirkan di institusi seperti ini dilaporkan meninggal dunia akibat kurang zat makanan, penjagaan kesihatan yang lemah dan keadaan hidup yang tidak sesuai.
Penemuan awal mengenai lokasi mayat-mayat ini dibuat oleh seorang penyelidik sejarah tempatan iaitu Catherine Corless pada tahun 2014. Dia menjalankan penyelidikan terhadap rekod kematian kanak-kanak di rumah itu lalu mendapati bahawa terdapat 796 sijil kematian tetapi hampir kesemuanya tiada rekod pengebumian rasmi. Keadaan ini menimbulkan tanda tanya besar. Siasatan lanjut termasuk penggalian awal di tapak berkenaan pada tahun 2016 dan 2017 menemui tulang-temulang manusia di dalam struktur konkrit yang kemudian dikenal pasti sebagai bekas tangki kumbahan institusi itu. Hasil ujian makmal menunjukkan bahawa rangka-rangka itu adalah milik bayi dan kanak-kanak kecil dengan ada yang seawal 35 minggu dalam kandungan hingga 3 tahun.

Berikutan penemuan itu, kerajaan Ireland menubuhkan satu jabatan khas untuk menguruskan kerja ekskavasi penuh di kawasan tersebut. Pada pertengahan Jun 2025, proses penggalian dimulakan dengan langkah keselamatan ketat termasuk pagar keliling dan kawalan 24 jam. Kerja-kerja ini dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun kerana melibatkan proses penggalian berhati-hati dan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Pada masa yang sama, kerajaan Ireland menggalakkan waris kepada kanak-kanak yang pernah dilahirkan di rumah tersebut untuk memberikan sampel DNA. Ini bertujuan untuk memadankan bahan genetik yang dijumpai semasa ekskavasi dengan keluarga yang masih hidup. Sekiranya identiti dapat dikenal pasti, jenazah akan dikebumikan semula secara rasmi selain diberi penghormatan sewajarnya.
Catat Ulasan for "Penemuan Mengejutkan di Ireland: 796 Mayat Bayi Dikebumikan Dalam Tangki Najis"