Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MASABUMI HOSONO YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN


     Pada tahun 1912, kapal RMS Titanic karam di Lautan Atlantik selepas melanggar bongkah ais dalam pelayaran sulungnya dari England ke Amerika Syarikat. Kejadian ini telah mengorbankan lebih 1500 nyawa dan menjadi antara bencana maritim paling tragik dalam sejarah moden. Antara penumpang yang terselamat ialah Masabumi Hosono, seorang pegawai kerajaan dari Jepun. Dia merupakan satu-satunya rakyat Jepun yang terselamat dalam kejadian tersebut. Namun selepas pulang ke negaranya, Hosono tidak disambut dengan rasa syukur atau simpati tetapi sebaliknya menerima kecaman kerana dianggap telah bertindak bertentangan dengan nilai budaya masyarakatnya.

     Masabumi Hosono dilahirkan pada 15 Oktober 1870 di bandar kecil Kesennuma, Prefektur Miyagi, Jepun. Dia berasal daripada keluarga samurai yang telah kehilangan tarafnya selepas era pemodenan Meiji. Walau bagaimanapun, Hosono merupakan individu pintar yang berjaya menamatkan pengajian di Tokyo Higher Commercial School (kini Universiti Hitotsubashi), salah sebuah institusi akademik ternama di Jepun ketika itu. Dia kemudian dilantik sebagai pegawai kanan dalam Kementerian Pengangkutan Jepun dan diberikan tanggungjawab dalam bidang pengangkutan kereta api termasuk urusan hubungan luar negara berkaitan kereta api Rusia serta Eropah.

     Pada tahun 1912, Hosono dihantar ke Rusia dalam misi rasmi kerajaan Jepun untuk mengkaji sistem pengangkutan kereta api Trans-Siberia serta menjalinkan hubungan perdagangan. Setelah selesai urusannya di Rusia, Hosini bertolak ke London dan dari situ dia memilih untuk menempah tiket kelas dua menaiki RMS Titanic yang dalam pelayaran sulungnya dari Southampton ke New York. Kapal yang dibina oleh syarikat White Star Line itu ianggap sebagai simbol kemewahan, kemodenan dan kekuatan teknologi maritim ketika itu. 


     Pada malam 14 April 1912, Titanic sedang merentasi lautan Atlantik Utara dalam cuaca yang tenang tetapi sangat sejuk. Sekitar jam 11:40 malam, kapal itu melanggar sebuah bongkah ais besar yang tidak dapat dikesan tepat pada masanya. Pelanggaran itu menyebabkan air laut mula memasuki beberapa bahagian bawah kapal. Dalam tempoh dua jam empat puluh minit, Titanic tenggelam sepenuhnya ke dasar lautan hingga meragut lebih 1500 nyawa daripada 2224 penumpang dan anak kapal.

     Hosono berada dalam kabin kelas dua ketika pelanggaran berlaku. Menurut catatan yang kemudian ditemui dalam manuskrip peribadinya, dia pada mulanya tidak menyedari betapa seriusnya keadaan. Namun selepas terdengar bunyi kekecohan, hentakan dan langkah tergesa-gesa, dia mula menyedari sesuatu yang luar biasa telah berlaku. Hosono segera keluar dari kabin untuk mendapatkan maklumat tetapi mendapati beberapa laluan telah ditutup dan terdapat sekatan untuk penumpang kelas dua menuju ke dek atas. Dia menggunakan segala kemahirannya untuk berbahasa Inggeris bagi meyakinkan beberapa kru kapal agar membenarkannya melalui laluan ke bot penyelamat.

     Setelah sampai di dek atas, Hosono menyaksikan keadaan yang kacau-bilau. Bot-bot penyelamat sedang diturunkan namun ramai lelaki tidak dibenarkan menaiki bot tersebut kerana polisi yang mengutamakan wanita dan kanak-kanak dahulu. Hosono hampir berputus asa tetapi dalam satu situasi penting, dia melihat sebuah bot penyelamat yang masih belum penuh dan terdengar seorang pegawai kapal menyeru, “Two more!”, merujuk kepada dua tempat lagi yang tinggal.


     Dalam situasi yang mencemaskan, Hosono membuat keputusan yang akan mengubah seluruh hidupnya. Dia melompat masuk ke dalam bot penyelamat tersebut bersama seorang lagi lelaki. Dalam manuskripnya, Hosono mengakui bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan naluri semula jadi untuk terus hidup dan dia tidak sanggup mati begitu sahaja di tempat asing. Hosono bersama kira-kira 700 orang penumpang lain berjaya diselamatkan oleh kapal RMS Carpathia yang tiba beberapa jam kemudian. Di atas kapal penyelamat itulah dia menulis beberapa catatan peribadi termasuk surat kepada isterinya yang memaklumkan bahawa dia selamat tetapi tidak tahu bagaimana reaksi orang ramai terhadap keputusannya.

     Setelah tiba di New York, Hosono disambut dengan rasa ingin tahu oleh wartawan kerana dia merupakan antara individu bukan Barat yang terselamat. Tidak lama selepas itu, beberapa akhbar Barat mula melaporkan bahawa ada lelaki Jepun yang telah menyelamatkan diri sendiri secara pengecut dengan menaiki bot yang sepatutnya untuk wanita dan kanak-kanak. Kritikan itu tersebar ke Jepun dan disambut dengan lebih keras.

     Di Jepun, masyarakat pada era awal abad ke-20 masih berpegang teguh kepada prinsip bushido yakni kod kehormatan samurai yang menekankan pengorbanan, keberanian dan maruah. Dalam konteks budaya ini, tindakan Hosono dianggap tidak bermaruah dan mementingkan diri. Dia dicemuh sebagai pengecut selain dituduh telah mencemarkan nama negara. Terdapat laporan bahawa Hosono telah diberhentikan kerja serta-merta oleh kerajaan Jepun selepas berita itu tersebar. Buku-buku moral pada ketika itu menggunakan kisahnya sebagai contoh negatif kepada pelajar.


     Walaupun akhirnya Hosono diambil semula bekerja dalam kementerian, dia tidak pernah benar-benar diterima semula oleh masyarakat. Hosono bagaimanapun tetap menjalani kehidupan dengan penuh tanggungjawab dan tidak pernah menyatakan kekesalan terhadap tindakannya menyelamatkan diri. Baginya, hidup untuk bersama keluarga lebih penting daripada mati dengan gelaran berani. Hosono meninggal dunia pada tahun 1939 pada usia 68 tahun akibat penyakit yang tidak didedahkan secara rasmi. Kisahnya bagaimanapun tidak berakhir di situ. Beberapa dekad kemudian, cucunya yang juga pemuzik terkenal Jepun iaitu Haruomi Hosono telah menemui manuskrip dan surat peribadi datuknya. Catatan itu menceritakan secara terperinci pengalaman Hosono pada malam Titanic karam termasuk tekanan emosi dan ketakutannya akan hukuman masyarakat.

     Manuskrip itu akhirnya didedahkan kepada umum sekitar tahun 1997, tepat ketika perhatian global terhadap Titanic kembali meningkat berikutan filem Titanic arahan James Cameron. Ramai pihak mula menyedari bahawa tindakan Hosono bukanlah satu pengkhianatan tetapi refleksi naluri manusia biasa dalam keadaan cemas. Sejarawan dan pengkaji budaya melihat kisah Hosono sebagai bukti konflik antara kehendak budaya dan naluri survival. Kini lebih 100 tahun selepas tragedi Titanic, nama Masabumi Hosono semakin dipandang dengan simpati dan hormat. 

Catat Ulasan for "KISAH MASABUMI HOSONO YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "