Pembunuhan Berantai Padang Pariaman: Tiga Wanita Muda Dibunuh, Dua Mayat Ditemui Dalam Perigi

Satu kes pembunuhan berantai yang menggemparkan kini menjadi fokus utama siasatan pihak berkuasa di Padang Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia selepas seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan kerana disyaki membunuh tiga wanita muda secara berperingkat dalam tempoh lebih setahun. Kes ini mula terbongkar apabila mayat seorang wanita dalam keadaan tidak sempurna ditemui hanyut di Sungai Batang Anai pada 17 Jun 2025 sekali gus mencetuskan penyiasatan yang membawa kepada penemuan dua lagi mayat mangsa di dalam sebuah perigi lama yakni hanya beberapa meter dari kediaman suspek.
Pada pagi 17 Jun 2025, seorang penduduk tempatan yang sedang memancing di Sungai Batang Anai telah menjumpai satu objek besar terapung yang disangka bangkai haiwan. Setelah didekati, penemuan itu mengejutkan apabila ia merupakan tubuh manusia dalam keadaan tidak sempurna dengan beberapa anggota badan terputus dan dipercayai telah berada dalam air lebih 48 jam. Polis segera dikerahkan ke lokasi dan pemeriksaan awal mengenal pasti mangsa sebagai Septia Adinda, 25 tahun yang dilaporkan hilang dua hari sebelumnya oleh keluarganya.

Hasil siasatan forensik mendapati terdapat kesan hentakan di kepala serta luka tikaman pada tubuh mangsa dan beberapa bahagian tubuhnya telah dipotong dengan senjata tajam. Berdasarkan bahan bukti serta keterangan saksi yang terakhir melihat mangsa bersama seorang lelaki, pihak polis berjaya mengenal pasti suspek utama yang dikenali sebagai SJ, 25 tahun iaitu seorang lelaki tempatan yang tinggal bersendirian tidak jauh dari sungai tersebut.
Semasa dalam tahanan, SJ bukan sahaja mengaku membunuh Septia malah turut membuat pengakuan mengejutkan. Dia telah membunuh dua wanita lain sebelum ini dan menyembunyikan mayat mereka di dalam sebuah perigi lama yang telah tidak digunakan di belakang rumahnya. Kedua-dua mangsa dikenalpasti sebagai Siska Oktavia Rusdi, 23 tahun dan Adek Gustiana, 24 tahun. Siska dilaporkan hilang sejak Januari 2024 manakala Adek dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak pertengahan 2024. Kedua-duanya dipercayai kenalan rapat SJ walaupun hubungan sebenar antara mereka masih dalam siasatan.
Menurut pengakuan SJ, dia membunuh mangsa menggunakan modus operandi yang hampir sama iaitu memperdaya mangsa agar datang ke rumahnya dengan alasan peribadi sebelum menyerang mereka menggunakan objek keras atau senjata tajam. Selepas mangsa tidak sedarkan diri atau meninggal dunia, SJ akan membungkus mayat mereka dan menyumbat ke dalam perigi lama yang ditutup dengan besi buruk dan timbunan sampah sekali gus menyebabkan lokasi itu tidak disyaki oleh sesiapa selama lebih setahun.
Pada 19 Jun 2025, pasukan khas polis bersama unit bomba dan forensik digerakkan ke rumah suspek untuk menjalankan kerja-kerja penggalian. Perigi yang telah tertutup selama bertahun-tahun itu dibuka menggunakan jentera berat. Suasana bertukar pilu apabila satu persatu mayat mangsa dinaikkan dari dasar perigi dalam keadaan reput dan tidak sempurna akibat proses pereputan serta kelembapan tinggi. Kedua-dua mayat dipercayai milik Siska dan Adek dikenalpasti melalui pakaian, barangan peribadi serta sokongan ujian cap jari dan DNA.

Namun apa yang lebih menyayat hati ialah semasa kerja penggalian sedang berlangsung, ibu kepada salah seorang mangsa iaitu Nila Yusnita, 45 tahun yang hadir di lokasi bagi menyaksikan proses itu telah rebah lalu meninggal dunia di tempat kejadian. Nila yang sudah lebih setahun menanti kepulangan anaknya, Siska tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat tubuh anaknya diangkat dari perigi dalam keadaan mengerikan. Kematian Nila menambahkan lagi kesedihan keluarga, malah turut menyentuh hati pasukan penyelamat dan orang ramai yang hadir.
Pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan lanjut terhadap SJ termasuk merungkai motif sebenar pembunuhan. Menurut Ketua Polis Padang Pariaman, suspek tidak menunjukkan penyesalan malah memberikan keterangan yang terperinci mengenai cara pembunuhan dilakukan, menunjukkan kemungkinan adanya kecenderungan psikopat atau gangguan personaliti.
Pasukan psikologi forensik turut dipanggil bagi menjalankan penilaian terhadap suspek yang kini ditahan reman. Pada masa sama, pihak berkuasa juga sedang menyemak semula semua kes kehilangan wanita di kawasan sekitar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini bagi mengesan kemungkinan adanya mangsa lain yang tidak pernah ditemui.
Catat Ulasan for "Pembunuhan Berantai Padang Pariaman: Tiga Wanita Muda Dibunuh, Dua Mayat Ditemui Dalam Perigi"