KISAH KEMATIAN NIE SHUBIN YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

Kes Nie Shubin merupakan salah satu kes perundangan paling tragik dalam sejarah moden China yang menggambarkan betapa sistem keadilan boleh tersilap hingga membawa maut. Nie Shubin ialah seorang lelaki muda berusia 20 tahun dari wilayah Hebei yang dihukum mati pada tahun 1995 selepas didapati bersalah atas tuduhan merogol dan membunuh seorang wanita. Namun dua dekad kemudian, mahkamah China mengesahkan bahawa dia sebenarnya tidak bersalah, dan penghakiman terhadapnya dibatalkan.
Kejadian bermula pada Oktober 1994 apabila mayat seorang wanita ditemui dalam ladang jagung di pinggir bandar Shijiazhuang, wilayah Hebei. Wanita tersebut didapati telah dirogol sebelum dibunuh. Ketika siasatan dijalankan, polis menahan Nie Shubin yang kebetulan berada di kawasan tersebut sambil menunggang basikal. Meskipun tiada bukti kukuh mengaitkan Nie Shubin dengan jenayah itu, pihak berkuasa pada waktu itu bertindak pantas untuk menjadikannya sebagai suspek utama. Dalam masa kurang daripada lima bulan, Nie telah disabitkan bersalah, dijatuhkan hukuman mati dan dilaksanakan tanpa peluang pembelaan yang mencukupi.

Terdapat banyak kelemahan dalam siasatan dan perbicaraan kes ini. Antaranya ialah laporan bahawa pengakuan Nie Shubin diperoleh di bawah tekanan fizikal dan mental oleh pihak polis. Dia dikatakan dipaksa untuk mengaku melakukan jenayah tersebut walaupun tiada bukti forensik seperti DNA yang mengesahkan keterlibatannya. Tiada saksi mata yang menyaksikan kejadian dan maklumat yang digunakan untuk menuduhnya hanyalah berdasarkan kenyataan samar bahawa seorang lelaki menaiki basikal mengikuti wanita tersebut. Tambahan pula, peguam bela Nie Shubin yang dilantik hanya berfungsi untuk merayu agar hukuman diringankan dan bukan untuk membela. Keseluruhan proses itu dilakukan secara tergesa-gesa serta dikatakan menerima tekanan politik khususnya daripada Xu Yongyue, setiausaha kanan dalam komiti politik dan undang-undang Hebei pada masa itu yang mahu menunjukkan ketegasan dalam menangani jenayah.
Pada April 1995, tanpa peluang rayuan yang sebenar, Nie Shubin dihukum mati dengan tembakan di kepala. Ibunya hanya dimaklumkan selepas hukuman telah dilaksanakan. Keluarga Nie Shubin terutama kedua ibu bapanya, mengalami tekanan emosi yang sangat mendalam. Mereka tidak pernah percaya bahawa anak mereka benar-benar bersalah dan terus memperjuangkan keadilan untuk Nie selama lebih 20 tahun walaupun berdepan pelbagai halangan dan keengganan sistem untuk membuka semula kes tersebut.

Kebenaran akhirnya mula terungkai pada tahun 2005 apabila seorang lelaki bernama Wang Shujin ditahan kerana jenayah rogol dan pembunuhan berasingan. Menerusi pengakuannya kepada polis, Wang mengaku bahawa dialah sebenarnya yang melakukan jenayah terhadap wanita di ladang jagung pada tahun 1994 yakni jenayah yang menyebabkan Nie Shubin dihukum mati. Biarpun pengakuan ini dibuat pada 2005, ia mengambil masa hampir satu dekad sebelum mahkamah China benar-benar membuka semula kes tersebut. Pada tahun 2014, Mahkamah Tinggi Rakyat Shandong diberikan mandat oleh Mahkamah Agung China untuk menjalankan semakan semula terhadap sabitan terhadap Nie.
Setelah penyiasatan semula yang lebih teliti, mahkamah mendapati terdapat ketidakwajaran serius dalam siasatan asal. Pada Disember 2016, Mahkamah Agung akhirnya membatalkan sabitan ke atas Nie Shubin dan mengisytiharkan bahawa tiada bukti kukuh yang menunjukkan dia bersalah. Dalam kenyataan rasmi, mahkamah menyebut bahawa pengakuan yang diperoleh di bawah tekanan tidak boleh diterima sebagai bukti dan bahawa Nie telah dihukum secara salah berdasarkan siasatan yang tidak sah.

Sebagai bentuk pengiktirafan terhadap kesilapan besar yang telah dilakukan, kerajaan China membayar pampasan sebanyak ¥2.68 juta (sekitar RM1.7 juta) kepada keluarga Nie Shubin pada Mac 2017. Pampasan ini termasuk ganti rugi kewangan, trauma mental dan pada waktu itu merupakan antara jumlah pampasan tertinggi yang pernah diberikan oleh kerajaan China untuk kes salah hukuman mati. Walau bagaimanapun, tiada nilai wang dapat menggantikan kehilangan seorang anak tunggal kepada keluarganya lebih-lebih lagi apabila nyawanya diragut akibat kegagalan sistem yang sepatutnya menjaga keadilan.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN NIE SHUBIN YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "