Kisah Pembunuhan Chris Denoyer: Misteri Yang Tertanam Selama 14 Tahun

Pada tahun 1984 bertempat di bandar Salinas, California, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bernama Christopher Chris Denoyer telah dilaporkan hilang secara misteri. Chris, seorang pelajar sekolah menengah yang aktif dan disenangi ramai dikatakan hilang tanpa meninggalkan sebarang petunjuk yang jelas. Kehilangannya menimbulkan kebimbangan kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya tetapi pihak berkuasa pada ketika itu beranggapan Chris telah melarikan diri dari rumah secara sukarela. Andaian tersebut diperkuatkan lagi dengan penerimaan sebuah telegram oleh ibunya yang kononnya dihantar oleh Chris sendiri. Dalam telegram tersebut, Chris mendakwa dia meninggalkan rumah kerana tidak mahu dibelenggu dengan kehidupan di sana dan tidak mahu dihubungi lagi. Walau bagaimanapun, mesej itu tidak masuk akal langsung kerana gaya bahasa dan cara penulisannya bukan seperti anaknya. Dia yakin telegram itu adalah palsu yakni satu bentuk penipuan yang disengajakan oleh seseorang untuk mengaburi kebenaran.
Bertahun-tahun lamanya keluarga Chris menuntut agar kes itu disiasat semula, namun tiada perkembangan yang signifikan. Chris kekal sebagai seorang remaja yang hilang dari rekod rasmi. Rumah lama keluarga mereka pula telah dijual dan didiami oleh pemilik baru. Namun trauma kehilangan anak itu tetap menghantui ibunya yang tidak pernah berhenti percaya bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku kepada Chris dan ia berlaku di dalam rumah mereka sendiri.

Pada akhir tahun 1990-an, pihak polis di Salinas memutuskan untuk membuka semula beberapa kes lama yang tidak diselesaikan termasuk kes kehilangan Chris Denoyer. Seorang detektif yang berpengalaman dalam menyiasat kes pembunuhan lama mendapati terdapat banyak kejanggalan dalam laporan awal. Tidak ada saksi yang benar-benar melihat Chris meninggalkan rumah. Telegram yang diterima tidak dapat disahkan sumbernya. Malah, bapa tiri Chris iaitu Jackson Villarta tidak pernah disiasat secara menyeluruh walaupun dia adalah orang terakhir yang diketahui bersama Chris pada hari kehilangan.
Susulan siasatan yang lebih mendalam, satu pasukan khas dibentuk yang terdiri daripada penyiasat kanan, pakar forensik tanah dan pegawai antropologi. Mereka memberi tumpuan kepada rumah lama keluarga Denoyer yang terletak di Navajo Drive. Pemilik baru rumah tersebut memberikan kerjasama dan membenarkan pasukan penyiasat melakukan pemeriksaan menyeluruh. Menggunakan bantuan teknologi pengimbas tanah moden, mereka mengesan gangguan di bawah lantai ruang tamu rumah itu.
Setelah ekskavasi dilakukan, pasukan penyiasat menemui sesuatu yang mengejutkan. Mayat manusia yang sudah mereput, terbungkus dan tertanam secara cetek di ruang menjalar di bawah rumah. Analisis forensik mengesahkan bahawa mayat itu adalah Chris Denoyer. Kesan tembakan pada tengkoraknya membuktikan bahawa dia telah dibunuh dipercayai menggunakan pistol kaliber kecil. Penemuan mayat itu mengesahkan apa yang selama ini diyakini oleh ibunya, Chris tidak pernah meninggalkan rumah secara sukarelam Dia sebaliknya telah dibunuh dan mayatnya disembunyikan dalam rumah sendiri oleh seseorang yang dikenali.

Siasatan seterusnya memberi tumpuan kepada Jackson Villarta, bapa tiri Chris. Semua bukti mula menjurus kepadanya. Villarta merupakan satu-satunya orang dewasa lelaki dalam rumah ketika Chris dilaporkan hilang. Dia juga memiliki akses sepenuhnya ke kawasan di bawah rumah di mana mayat itu ditanam. Tambahan pula, motif mula dibina berdasarkan hubungan yang tidak baik antara Villarta dan Chris serta keinginannya untuk menutup pembunuhan tersebut dengan merekayasa cerita telegram palsu.
Villarta akhirnya ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh. Semasa perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan bukti kukuh termasuk kesan fizikal lokasi mayat, hasil forensik serta latar belakang psikologi hubungan antara tertuduh dan mangsa. Villarta tetap menafikan tuduhan tersebut namun juri tidak terpengaruh. Dia disabitkan bersalah dan dihukum penjara. Sejak itu, beberapa kali Villarta cuba mendapatkan parol tetapi permohonannya sentiasa ditolak atas dasar jenayah yang dilakukannya terlalu kejam dan mengerikan.
Kisah pembunuhan Chris Denoyer mendapat liputan meluas selepas penemuan mayatnya. Beberapa dokumentari jenayah sebenar menerbitkan episod khas mengenainya. Antaranya ialah siri Buried in the Backyard terbitan saluran Oxygen yang memaparkan secara terperinci bagaimana Chris ditemui di lokasi yang langsung tidak disangka, di bawah lantai rumah sendiri. Podcast Once Upon a Crime juga mengangkat kisah ini dalam episod bertajuk Buried Truth: Christopher Denoyer yang merungkai bagaimana seorang remaja menjadi mangsa kepada kezaliman dalam rumah sendiri.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Chris Denoyer: Misteri Yang Tertanam Selama 14 Tahun"