KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CRAIG SORGER

Pada 15 Februari 2003 bertempat di bandar kecil Ephrata di Washington, Amerika Syarikat, mayat seorang remaja lelaki berusia 13 tahun telah ditemui di Columbia Basin Park. Mangsa iaitu Craig Sorger merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang mengalami autisme ringan. Dia dikenali oleh guru dan rakan-rakannya sebagai seorang yang pendiam, tidak agresif dan sering menyendiri tetapi mudah dibimbing. Craig telah keluar bermain pada petang itu bersama dua orang rakan sebayanya, Jake Eakin dan Evan Savoie yang sering dilihat bermain bersamanya sebelum ini.
Mayat Craig ditemui oleh sepasang suami isteri yang sedang berjalan di kawasan taman sekitar pukul 5 petang. Tubuhnya terbaring dalam semak, dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan serius. Hasil bedah siasat mendedahkan bahawa Craig telah ditikam lebih daripada 30 kali serta mengalami hentakan teruk di kepala dipercayai akibat objek tumpul. Kecederaan tersebut menunjukkan bahawa mangsa diserang dengan niat untuk membunuh.

Polis segera memulakan siasatan dan mendapati bahawa Craig kali terakhir dilihat bersama Jake dan Evan. Kedua-dua mereka dipanggil untuk siasatan awal. Pada mulanya, masing-masing memberi keterangan bahawa mereka bermain bersama Craig tetapi meninggalkannya apabila dia dikatakan mula berkelakuan pelik dan mahu menyendiri. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati kenyataan mereka tidak konsisten antara satu sama lain selain bercanggah dengan bukti fizikal di tempat kejadian.
Pihak penyiasat menemui jejak kaki berdarah serta terdapat laporan saksi yang menyatakan bahawa Jake dan Evan dilihat berlari keluar dari taman dalam keadaan tergesa-gesa. Tiada bukti menunjukkan penglibatan orang luar dan berdasarkan bukti forensik, pembunuhan berlaku di lokasi mayat dijumpai. Polis mula mengesyaki bahawa pembunuhan ini dilakukan oleh individu yang berada bersama mangsa pada waktu itu yakni Jake dan Evan.

Tekanan siasatan akhirnya membawa kepada pengakuan daripada Jake. Dia mengaku bersalah atas pembunuhan darjah kedua dan menyatakan bahawa Evan adalah individu yang mula-mula menyerang Craig. Menurut Jake, Evan membawa senjata tajam dan menyerang Craig tanpa sebarang provokasi. Jake turut serta dalam serangan tersebut tetapi cuba menggambarkan dirinya sebagai terlibat tanpa merancang. Dalam perbicaraan seterusnya, Jake memberikan keterangan terhadap Evan sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan pihak pendakwa.
Sepanjang siasatan, tiada motif kukuh berjaya dikenal pasti. Tidak berlaku sebarang pergaduhan, perselisihan faham atau unsur dendam antara mangsa dan pelaku. Pihak pendakwa menyatakan bahawa pembunuhan ini dilakukan tanpa sebab munasabah yang dipercayai hasil daripada dorongan impulsif dan kurangnya empati dalam kalangan pelaku. Beberapa laporan juga menunjukkan bahawa Evan menunjukkan minat terhadap unsur ganas dan kematian termasuk menulis atau melukis tentang keganasan sebelum ini tetapi tiada penjelasan rasmi mengaitkan kecenderungan itu secara langsung dengan tindakan jenayahnya.
Disebabkan kekejaman jenayah dan umur pelaku yang menghampiri 14 tahun, mahkamah memutuskan untuk membicarakan kedua-duanya sebagai orang dewasa. Pada tahun 2005, Evan disabitkan bersalah atas tuduhan pembunuhan darjah pertama dan dijatuhi hukuman penjara minimum 26 tahun hingga maksimum seumur hidup. Jake Eakin yang mengaku bersalah lebih awal atas tuduhan pembunuhan darjah kedua dijatuhi hukuman penjara 14 tahun.

Jake menjalani hukuman di pusat pemulihan juvana sebelum dipindahkan ke penjara dewasa. Menjelang tahun-tahun akhir hukumannya, dia dimasukkan ke dalam program work release di mana banduan dibenarkan bekerja di luar dan kembali ke pusat tahanan selepas waktu bekerja. Namun pada 12 Jun 2016, Jake melarikan diri daripada kemudahan tersebut dan gagal kembali mengikut jadual. Dia ditangkap semula dua hari kemudian di South Dakota dan dibawa pulang ke Washington untuk menghabiskan baki hukumannya. Pada Februari 2017, Jake Eakin dibebaskan secara rasmi selepas menjalani keseluruhan tempoh hukuman.
Selepas dibebaskan, Jake berpindah ke Greenville, South Carolina dan mula aktif dalam aktiviti keagamaan serta menjadi seorang aktivis yang menentang pengguguran kandungan. Dia berkahwin dengan seorang wanita bernama Marissa dan dikurniakan dua anak perempuan. Walaupun dilaporkan cuba memulakan kehidupan baru, Jake tetap berdepan isu undang-undang. Pada tahun 2018, Jake ditahan atas kesalahan menceroboh dan pada 12 Mei 2022, dia sekali lagi ditahan atas tuduhan kecurian.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CRAIG SORGER "