Kisah Pembunuhan Kejam Julie Ann Rodelas

Julie Ann Rodelas ialah seorang gadis muda berusia 20 tahun yang memiliki impian besar dalam hidup. Dia aktif sebagai model sambilan dan juga pelajar jurusan Pengurusan Hotel dan Restoran di Filipina. Julie Ann dikenali sebagai gadis yang peramah, mesra dan berwawasan di mana dia bercita-cita untuk bekerja di luar negara selain membantu keluarganya. Di sekelilingnya, dia dikelilingi oleh rakan-rakan termasuk seorang rakan yang dianggap rapat dan dipercayainya iaitu Althea Altamirano.
Julie Ann dan Althea sering dilihat bersama. Mereka menghadiri acara sosial, keluar makan dan berkongsi kehidupan seperti sahabat sejati. Namun tanpa disangka, persahabatan itu bertukar menjadi racun. Althea dikatakan berdendam terhadap Julie Ann kerana percaya mangsa telah menyebarkan khabar angin yang memalukan tentang dirinya. Dendam itu tidak berakhir dengan pertelingkahan kecil tetapi sebaliknya berubah menjadi rancangan pembunuhan kejam.

Pada malam 5 November 2012, Julie Ann telah bersetuju untuk keluar bersama Althea dan teman lelaki Althea yang bernama Fernando Quiambao Jr. Mereka pergi ke restoran McDonald’s di Pasay City. Rakaman CCTV menunjukkan Julie Ann bersama mereka di mana dia kelihatan tenang dan tidak sedar langsung bahawa dirinya sedang dibawa ke perangkap. Selepas makan, Julie Ann diminta menaiki kereta mereka. Dalam perjalanan itulah rancangan sebenar bermula.
Setibanya di dalam kereta, Julie Ann telah dipukul oleh Fernando, digari dan dipaksa berbaring. Dia dibawa ke sebuah rumah persendirian yang dijadikan tempat tahanan atau safehouse di kawasan Barangay Culiat, Quezon City. Rumah ini merupakan tempat kritikal dalam keseluruhan kejadian jenayah ini. Di sinilah pelbagai penderaan terhadap Julie Ann dilakukan oleh beberapa individu lain yang terlibat secara langsung.

Selain Althea dan Fernando, siasatan mendapati terdapat beberapa orang lagi terlibat. Di rumah tersebut, Julie Ann diserahkan kepada sekumpulan lelaki. Antaranya ialah Jaymar Waradji yang bertindak sebagai pemandu dan penghubung. Dua lagi lelaki lain pula dikenali sebagai Efren Talib dan seorang lelaki hanya dengan nama samaran "Aldos". Waradji yang kemudian menjadi saksi mendedahkan bahawa Julie Ann telah dipukul, dikurung serta dirogol secara bergilir-gilir oleh Efren, Aldos dan Fernando di dalam rumah itu.
Setelah beberapa jam didera, Julie Ann dibawa keluar dari rumah tersebut dan dimasukkan ke dalam kereta. Pada waktu itu, tubuhnya sudah lemah dan tidak berdaya. Menurut saksi, ketika dalam perjalanan ke lokasi pembuangan mayat, Efren serta Aldos telah menembak Julie Ann dua kali dengan satu das di wajah dan satu lagi di bahagian dada. Tubuhnya kemudian dicampakkan di tepi jalan di kawasan White Plains, Quezon City sekitar jam 1.30 pagi pada 6 November 2012.
Pagi itu, mayat Julie Ann ditemui oleh penduduk tempatan. Tangannya masih menggenggam beg plastik McDonald's yang menjadi petunjuk penting dalam siasatan. Mayatnya berlumuran darah, ada kesan hentakan dan luka tembakan. Polis yang tiba di tempat kejadian segera menjejak semula pergerakan mangsa. Mereka mengesan cawangan McDonald’s terakhir yang dikunjungi Julie Ann dan berjaya mendapatkan rakaman CCTV yang menunjukkan kehadiran Althea bersama Fernando.

Penahanan suspek dilakukan tidak lama kemudian. Fernando Quiambao Jr. mengaku terlibat dan menyatakan bahawa dia melakukan jenayah itu atas desakan Althea yang mahu mengajar Julie Ann. Althea pula menafikan penglibatan dalam pembunuhan tetapi bukti menunjukkan dia membantu merancang penculikan. Polis turut menahan Jaymar Waradji yang akhirnya tampil sebagai saksi penting dan mengesahkan kehadiran individu-individu lain di safehouse.
Dalam operasi susulan, pihak polis juga menahan Gelen (Gelan) Pasawilan atas kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen. Selain itu, seorang lagi lelaki dikenali sebagai Bob Usman yang dikatakan turut berada di rumah tersebut semasa Julie Ann dikurung ditembak mati oleh polis semasa insiden tembak-menembak dalam operasi penahanan. Walau bagaimanapun, dua individu utama, Efren Talib dan Aldos masih bebas dan kekal menjadi buruan pihak berkuasa Filipina hingga kini. Waradji membantu polis menghasilkan lakaran wajah mereka.

Perbicaraan kes ini berlangsung selama hampir 10 tahun. Pada tahun 2022, Mahkamah Tinggi Quezon City akhirnya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Fernando Quiambao Jr. atas kesalahan menculik, merogol dan membunuh. Dia turut diarahkan membayar ₱500 000 (sekitar RM 42 000) kepada keluarga mangsa. Althea Altamirano pula dibebaskan daripada tuduhan membunuh kerana mahkamah mendapati tiada bukti kukuh bahawa dia berada di tempat kejadian ketika Julie Ann dibunuh. Namun dia tetap disabitkan dengan kesalahan menculik dan dikenakan hukuman penjara serta pampasan ₱100 000 (sekitar RM7400) kepada keluarga mangsa.
Keluarga Julie Ann kecewa dengan keputusan tersebut. Mereka percaya bahawa Althea adalah perancang utama dan tanpa perancangannya, anak mereka tidak akan mati. Mereka telah menyatakan hasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan pembebasan Althea daripada tuduhan membunuh. Sehingga Jun 2025, rayuan tersebut masih dalam proses semakan oleh Mahkamah Agung Filipina. Keluarga mangsa, bersama peguam mereka terus berusaha agar sabitan ke atas Althea dinaik taraf kepada pembunuhan demi mendapatkan keadilan penuh untuk Julie Ann Rodelas.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Julie Ann Rodelas "