KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAURABH RAJPUT

Saurabh Rajput, seorang bekas pekerja kapal dagang berusia 35 tahun telah kembali ke India dari London pada 24 Februari 2025 untuk menyambut ulang tahun kelahiran anaknya. Kepulangannya disambut si isteri bernama Muskan Rastogi, seorang wanita berusia 27 tahun yang kelihatan biasa di mata jiran tetangga. Tiada siapa menyangka bahawa dalam masa hanya beberapa hari, Saurabh akan menjadi mangsa pembunuhan kejam yang dirancang oleh isterinya sendiri bersama lelaki simpanannya iaitu Sahil Shukla.
Muskan dan Sahil telah berkenalan semula melalui satu kumpulan alumni sekolah sebelum menjalinkan hubungan sulit. Hubungan itu menjadi semakin serius dan didakwa turut disertai dengan penyalahgunaan dadah. Saurabh yang tidak menyedari hubungan ini menjadi penghalang kepada masa depan yang diimpikan pasangan terlarang ini. Bermula daripada perbincangan biasa, rancangan untuk membunuh Saurabh mula terbentuk.

Pada 25 Februari 2025 yakni sehari selepas kepulangan Saurabh, cubaan pertama dijalankan. Cubaan pertama itu bagaimanapun gagal. Walaupun butiran spesifik tidak dijelaskan oleh pihak berkuasa secara terbuka, mereka dipercayai cuba meracuni atau mencederakan Saurabh secara rahsia. Cuma mungkin kerana persiapan yang tidak mencukupi atau keengganan untuk bertindak agresif secara langsung, Muskan dan Sahil tidak berjaya menamatkan riwayat Saurabh pada percubaan itu.
Beberapa hari kemudian, pada malam 4 Mac 2025, Muskan melaksanakan fasa kedua rancangan pembunuhan itu. Dia didakwa mencampurkan pil tidur dalam makanan atau minuman suaminya. Ketika Saurabh tidak sedarkan diri, Muskan menikamnya bertubi-tubi di bahagian dada dan leher. Selepas memastikan Saurabh sudah mati, dia menghubungi Sahil untuk membantunya dalam pelupusan mayat. Perbuatan mereka selepas itu jauh lebih kejam dan mengerikan di mana mereka mencincang tubuh Saurabh kepada kira-kira 15 bahagian menggunakan alat tajam.
Potongan tubuh itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah dram plastik biru dan simen dituangkan untuk menutup bukti. Dram tersebut disimpan dalam sebuah bilik stor di kediaman mereka di bandar Meerut, India. Pasangan itu kemudian melarikan diri ke Himachal Pradesh, sebuah kawasan di pergunungan India. Dalam usaha menipu keluarga mangsa, mereka menggunakan telefon bimbit Saurabh untuk menghantar mesej palsu bagi menampakkan seolah-olah Saurabh masih hidup dan sedang dalam perjalanan.

Walau bagaimanapun, kebohongan mereka tidak bertahan lama. Dalam masa dua minggu, bau busuk mula merebak dari rumah tersebut. Jiran-jiran yang curiga membuat laporan kepada pihak polis. Pada 18 Mac 2025, pihak berkuasa datang ke lokasi dan menjumpai tong dram mencurigakan. Setelah simen dipecahkan menggunakan alat khas, mereka menemui mayat Saurabh yang telah dipotong dan hampir hancur reput.
Polis segera melancarkan usaha menjejaki Muskan dan Sahil. Berdasarkan isyarat telefon, transaksi kewangan dan bantuan teknologi lokasi, mereka berjaya diberkas di Himachal Pradesh lalu dibawa semula ke Meerut untuk siasatan. Ketika disoal siasat, Muska didakwa mengaku terhadap jenayah tersebut manakala Sahil turut memberikan keterangan yang selari dengan laporan awal. Siasatan lanjut mendapati bahawa pembunuhan ini telah dirancang selama berminggu-minggu. Polis menemui bukti seperti resit pembelian simen, alat pemotong, dan tong dram. Selain itu, mereka menemui sejarah carian internet mengenai cara melupuskan mayat serta mesej yang dihantar dari telefon mangsa selepas kematiannya. Semua ini menjadi bukti kukuh terhadap pasangan pembunuh tersebut.

Laporan dakwaan rasmi yang dikemukakan oleh pihak polis pada 12 Mei 2025 mengandungi lebih 1000 muka surat. Dalam laporan itu, pihak berkuasa menolak dakwaan awal bahawa pembunuhan tersebut dilakukan atas sebab sihir atau pengaruh ghaib. Ia sebaliknya ditegaskan sebagai pembunuhan terancang akibat hubungan sulit dan keinginan untuk membina kehidupan bersama tanpa Saurabh.
Kini Muskan dan Sahil ditahan di Penjara Chaudhary Charan Singh di Meerut menunggu perbicaraan di bawah tuduhan membunuh dengan niat, menghapuskan bukti menyamar dan menipu waris mangsa. Jika disabitkan bersalah, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati. Ibu Saurabh turut membuat permohonan kepada mahkamah agar kedua-dua pembunuh dihukum mati kerana bukan sahaja anaknya mati dalam keadaan mengerikan tetapi juga cucunya kini menjadi anak yatim akibat perbuatan ibu kandungnya sendiri.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAURABH RAJPUT"