Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dera, Bunuh, Sembunyi: Kisah Pembunuhan Kejam Joanna Demafelis di Kuwait

     Pada awal tahun 2018, penemuan mengerikan di sebuah pangsapuri kosong di Kuwait di mana mayat seorang wanita muda warga Filipina ditemui dalam keadaan membeku di dalam sebuah peti sejuk beku. Mangsa dikenali sebagai Joanna Daniela Demafelis iaitu seorang pembantu rumah berusia 29 tahun yang berasal dari Iloilo, Filipina. 

     Joanna berasal daripada keluarga petani miskin di daerah Sara, Iloilo, Filipina. Seperti kebanyakan rakyat Filipina lain, dia memilih untuk bekerja di luar negara dengan harapan dapat membantu memperbaiki taraf hidup keluarganya. Pada tahun 2014, Joanna dihantar ke Kuwait melalui agensi pekerjaan sah untuk bekerja sebagai pembantu rumah. Dia kemudian ditempatkan di bawah jagaan sepasang suami isteri yang dikenali sebagai Nader Essam Assaf, warga Lubnan dan isterinya Mona Hassoun, warga Syria. Pada awal tempoh bekerja, Joanna sempat menghubungi keluarganya beberapa kali untuk memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan baik. Namun selepas beberapa ketika, komunikasi itu tiba-tiba terputus. Kali terakhir keluarganya mendengar khabar daripadanya ialah pada tahun 2016. Selepas itu, tiada lagi sebarang panggilan atau mesej diterima. Keluarganya yang semakin bimbang kemudian membuat laporan kehilangan. Usaha menjejaki Joanna bagaimanapun tidak membuahkan hasil.

     Selama hampir dua tahun, nasib Joanna terus menjadi tanda tanya. Tiada siapa tahu bahawa dalam diam dia telah pun meninggal dunia akibat penderaan. Mayatnya hanya ditemui secara tidak sengaja pada 6 Februari 2018 apabila pihak berkuasa Kuwait memasuki sebuah unit pangsapuri di kawasan Al-Shaab yang telah lama ditinggalkan oleh penyewanya. Pemilik bangunan memohon kepada pihak polis untuk menyita barangan dalam rumah tersebut kerana pasangan penyewa tidak membayar sewa dan menghilangkan diri. Semasa pemeriksaan dijalankan, mereka menemui sebuah peti sejuk beku yang dikunci dan ditutup rapat dengan pita pelekat. Peti sejuk itu masih berfungsi dan terletak di bahagian dapur.

     Apabila peti sejuk itu dibuka, pihak berkuasa dikejutkan dengan penemuan satu beg plastik hitam besar yang berisi mayat seorang wanita dalam keadaan membeku. Mayat tersebut kemudiannya disahkan sebagai Joanna Demafelis setelah pihak forensik melakukan analisis cap jari dan pengecaman identiti. Pemeriksaan lanjut mendapati tubuhnya menunjukkan tanda-tanda penderaan fizikal yang teruk termasuk lebam, luka dalam, dan patah tulang rusuk. Pakar forensik percaya bahawa dia telah mati lebih setahun sebelum mayatnya ditemui dan disumbat ke dalam peti sejuk bagi menyembunyikan jenayah tersebut.

     Siasatan segera dilancarkan dan pihak polis mengenalpasti bahawa pasangan majikan yang tinggal di unit itu yakni Nader dan Mona telah melarikan diri dari Kuwait selepas kematian Joanna. Menerusi bantuan Interpol, notis buruan antarabangsa (Red Notice) dikeluarkan. Hasil kerjasama dengan pihak berkuasa Lubnan, pasangan itu berjaya ditahan di Beirut tidak lama selepas itu. Walau bagaimanapun, proses ekstradisi ke Kuwait berdepan kesulitan disebabkan kekangan undang-undang antara kedua-dua negara. Walaupun mereka belum dihadapkan secara fizikal ke mahkamah Kuwait, pihak mahkamah tetap menjalankan perbicaraan dan pada April 2018 dengan kedua-dua suspek dijatuhi hukuman mati melalui gantung sampai mati secara in absentia kerana disabitkan bersalah membunuh dan mendera Joanna Demafelis.

     Kematian tragis Joanna mengundang kemarahan besar di Filipin terutama daripada Presiden ketika itu, Rodrigo Duterte. Dalam satu ucapan umum, dia menyifatkan jenayah terhadap Joanna sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan melampaui batas. Duterte mengkritik keras sistem kafala yang diamalkan di banyak negara Timur Tengah termasuk Kuwait yang memberikan kuasa penuh kepada majikan terhadap pekerja domestik termasuk menahan pasport, menyekat kebebasan bergerak dan menghalang akses kepada bantuan. Sebagai tindak balas, Duterte mengarahkan penggantungan serta-merta semua penghantaran pekerja Filipina ke Kuwait terutamanya dalam sektor kerja domestik. Dia juga melancarkan program repatriasi berskala besar, menawarkan ribuan pekerja Filipina peluang untuk pulang ke tanah air dengan perbelanjaan ditanggung kerajaan.

     Krisis diplomatik antara Filipina dan Kuwait semakin memuncak namun akhirnya mencapai titik rundingan apabila kedua-dua negara bersetuju menandatangani satu memorandum persefahaman pada Mei 2018. Perjanjian itu menetapkan beberapa syarat perlindungan asas bagi pekerja Filipina seperti hak menyimpan dokumen sendiri, akses kepada telefon bimbit, hari rehat mingguan dan proses pemulangan ke tanah air jika berlaku penderaan. 

Catat Ulasan for "Dera, Bunuh, Sembunyi: Kisah Pembunuhan Kejam Joanna Demafelis di Kuwait"