Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

BEBERAPA FAKTA TENTANG VILLAIN DALAM FILEM WRONG TURN

     Dalam filem Wrong Turn pertama (2003) arahan Rob Schmidt, penonton diperkenalkan dengan tiga pembunuh utama iaitu Three Finger, Saw Tooth dan One Eye. Mereka digambarkan sebagai mutan ganas hasil perkahwinan sesama keluarga selama beberapa generasi, tinggal secara terpencil di hutan West Virginia dan memburu manusia sebagai mangsa. Filem ini kemudian berkembang menjadi tujuh siri dan sebuah reboot pada tahun 2021 dengan pendekatan berbeza.

     Ini beberapa fakta menarik tentang watak pembunuh dalam Wrong Turn pertama:


1. LATAR BELAKANG: MUTASI AKIBAT SUMBANG MAHRAM DAN PENCEMARAN

     Salah satu aspek paling menyeramkan tentang pembunuh dalam Wrong Turn ialah latar belakang mereka yang gelap. Mereka manusia liar hasil daripada hubungan sumbang mahram sesama keluarga yang berlanjutan selama beberapa generasi. Dalam dunia fiksyen filem ini, perkahwinan campur antara saudara dalam komuniti yang terpencil telah menyebabkan kecacatan fizikal dan mental yang teruk.

     Selain faktor sumbang mahram, mereka juga dikatakan telah terdedah kepada pencemaran bahan kimia akibat sisa toksik atau industri yang mencemari kawasan pergunungan tempat tinggal mereka. Gabungan kedua-dua faktor ini telah menyebabkan mereka mengalami mutasi genetik ekstrem selain menghasilkan tubuh yang ganjil serta cacat tetapi luar biasa kuat dan tahan lasak.


 2. TINGGAL DI HUTAN YANG TERPENCIL DAN LIAR

     Mereka menetap jauh dari peradaban iaitu di kawasan hutan tebal di West Virginia. Mereka tinggal dalam sebuah kabin kayu usang yang menyeramkan, dikelilingi dengan tengkorak, tulang dan barangan peribadi mangsa yang mereka bunuh. Kabin itu penuh dengan jerangkap samar, senjata buatan sendiri dan barang yang menunjukkan bahawa mereka telah membunuh berpuluh atau mungkin beratus mangsa sebelumnya. 

     Kawasan hutan itu sendiri juga menjadi senjata mereka yakni penuh dengan jalan mati, jerat maut dan persekitaran yang mereka kuasai sepenuhnya. Sesiapa yang masuk ke dalam kawasan itu, hampir mustahil untuk keluar hidup-hidup.


3. MENGGUNAKAN SENJATA PRIMITIF DAN PERANGKAP MAUT

     Salah satu keistimewaan penjahat Wrong Turn ialah cara mereka membunuh. Tidak seperti pembunuh dalam filem moden yang menggunakan senjata api atau peralatan canggih, mereka lebih gemar menggunakan senjata buatan sendiri dan alat-alat primitif seperti busur panah, kapak, parang, tali jerat dan perangkap tali. 

     Penggunaan senjata ini menjadikan babak pembunuhan dalam filem lebih menyakitkan untuk ditonton kerana ia kelihatan lebih kasar, sadis dan menyakitkan. Setiap kematian digambarkan secara eksplisit yang memperlihatkan betapa kejamnya pembunuh-pembunuh ini.


4. KANIBAL: MEREKA BUKAN SEKADAR MEMBUNUH TAPI JUGA MEMAKAN MANGSA

     Mereka adalah kanibal yang memakan daging manusia. Dalam filem ini, beberapa babak menunjukkan mereka memasak tubuh mangsa, memotong anggota badan dan menyimpannya seolah-olah ia adalah bekalan makanan biasa.

     Sifat kanibal ini menjadikan mereka lebih menyerupai makhluk prasejarah berbanding manusia dan menjadikan filem ini memberikan ketakutan berlebihan kepada penonton yang tidak selesa dengan tema sebegini.


 5. CIRI-CIRI KHAS SETIAP PEMBUNUH 

     Ketiga-tiga pembunuh mempunyai ciri fizikal dan personaliti yang unik:

     i) Three Finger

     Nama diberikan kerana jarinya bengkok seolah-olah hanya ada tiga. Dia merupakan yang paling lincah, pantas dan sukar ditangkap. Dikenali dengan ketawa mengilai yang menyeramkan dan sangat ikonik dalam setiap babaknya. Three Finger sering menjadi perancang dalam serangan hendap dan mengejutkan mangsa.

     ii) Saw Tooth

     Bertubuh besar dan kelihatan seperti abang kepada yang lain. Dia paling berotot dan brutal dalam cara membunuh. Saw Tooth dilihat sering kelihatan menggeramkan gigi atau berbunyi marah.

     iii) One Eye

     Dia mempunyai sebelah mata yang berfungsi. Mungkin watak yang paling kurang menyerlah tetapi sering membantu dalam serangan berpasukan. Dia menyerlah dari segi rupa fizikal yang cacat dan gerakan yang tidak stabil.


6. SUKAR DIBUNUH, SEAKAN KEKAL HIDUP

     Dalam filem Wrong Turn pertama ini, walaupun mereka diserang dengan pelbagai cara seperti ditikam, ditembak, dibakar, mereka tetap sukar dibunuh terutama Three Finger yang seolah-olah tidak boleh mati. Dalam babak terakhir, dia muncul kembali walaupun sepatutnya sudah terbakar sekaligus menggambarkan bahawa pembunuh ini mungkin akan terus hidup untuk memburu mangsa lain. 


7. THREE FINGER MENJADI WAJAH  FRANCAIS

    Daripada ketiga-tiganya, Three Finger menjadi watak paling terkenal dan paling dikenang oleh peminat filem seram. Dia muncul dalam hampir kesemua sekuel Wrong Turn yang lain termasuk prekuel dan spin-off. Karakternya yang licik, wajahnya yang cacat dengan ketawa menakutkan dan keupayaannya untuk bertahan hidup menjadikannya sebagai ikon filem horror slasher moden seperti Freddy Krueger, Michael Myers atau Jason Voorhees.

Catat Ulasan for "BEBERAPA FAKTA TENTANG VILLAIN DALAM FILEM WRONG TURN"