Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DAPHNE CARUANA GALIZIA

     Daphne Caruana Galizia dilahirkan pada tahun 1964 di Malta dan merupakan antara wartawan paling berpengaruh dan kontroversial di negaranya. Daphne mula dikenali menerusi blog peribadinya, Running Commentary di mana dia secara konsisten mendedahkan skandal-skandal berkaitan rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan hubungan politik dengan dunia jenayah. Salah satu pendedahan paling besar yang menggegarkan Malta ialah ketika Daphne membongkar penglibatan tokoh politik negara itu dalam skandal Panama Papers termasuk dua pegawai kanan kerajaan iaitu Konrad Mizzi (Menteri Tenaga) dan Keith Schembri (Ketua Staf kepada Perdana Menteri). Dalam laporannya, Daphne turut mengaitkan mereka dengan syarikat luar pesisir bernama 17 Black yang kemudian dikenal pasti dimiliki oleh ahli perniagaan berprofil tinggi, Yorgen Fenech.

     Pada 16 Oktober 2017, Malta dikejutkan dengan berita pembunuhan kejam Daphne. Ketika dia memandu keluar dari rumahnya di Bidnija, Malta, keretanya meletup akibat bom yang dipasang di bawah tempat duduk. Letupan itu begitu dahsyat sehingga serphihan keretanya ditemui sejauh beratus meter manakala mayatnya hampir tidak dapat dikenal pasti. Pembunuhan ini mencetuskan kemarahan dalam dan luar negara. Rakyat Malta turun ke jalanan menuntut keadilan manakala pemimpin antarabangsa dari Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi hak asasi manusia mengecam insiden tersebut dan menuntut siasatan bebas dilakukan.

     Siasatan awal kes ini mendapat kritikan hebat kerana terlalu perlahan dan penuh dengan keraguan terhadap kejujuran pihak berkuasa. Tekanan dari dalam dan luar negara akhirnya memaksa kerajaan Malta untuk bertindak. Pada Disember 2017, tiga orang lelaki yabg dikenali sebagai George Degiorgio, Alfred Degiorgio serta Vincent Muscat telah ditahan dan didakwa sebagai pelaksana pembunuhan tersebut. Namun persoalan besar masih tergantung, siapakah dalang sebenar di sebalik pembunuhan ini?

     Pada tahun 2019, penyiasatan mulai mengaitkan nama Yorgen Fenech, seorang ahli perniagaan terkemuka yang memiliki konsesi loji tenaga terbesar di Malta dan juga pemilik syarikat 17 Black. Dia ditahan ketika cuba melarikan diri dengan kapal layar mewahnya. Fenech menafikan tuduhan tetapi maklumat yang diperoleh daripada telefon bimbit dan komunikasi elektroniknya menunjukkan penglibatan rapat dengan tokoh politik dan suspek lain dalam perancangan pembunuhan Daphne.

Yorgen Fenech

     Nama Perdana Menteri Malta ketika itu, Joseph Muscat mula dikaitkan secara tidak langsung dalam kontroversi ini. Walaupun dia menafikan terlibat dalam pembunuhan, tekanan terhadapnya semakin memuncak apabila siasatan menunjukkan pembantunya sendiri, Keith Schembri mempunyai hubungan dengan Yorgen Fenech. Rakyat Malta menuduh Muscat melindungi orang-orang yang terlibat dan membiarkan budaya rasuah berakar dalam kerajaan.

     Tekanan daripada rakyat, media antarabangsa dan badan hak asasi akhirnya memaksa Joseph Muscat mengumumkan perletakan jawatannya pada Disember 2019. Keputusan ini tidak meredakan kemarahan rakyat sepenuhnya tetapi dilihat sebagai permulaan kepada proses reformasi dalam sistem politik Malta yang telah tercemar.

     Pada tahun 2021, Vincent Muscat mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun. Sementara itu, dua beradik Degiorgio mengaku bersalah pada tahun 2022 dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 40 tahun. Pada masa sama, Yorgen Fenech masih menunggu perbicaraan manakala siasatan ke atas individu lain masih berjalan. Pihak keluarga Daphne termasuk suami dan tiga anak lelaki terus memperjuangkan keadilan melalui Yayasan Daphne Caruana Galizia. Mereka berusaha memastikan kebenaran dibongkar sepenuhnya dan keadilan tidak terhenti setakat pelaku di lapangan sahaja.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DAPHNE CARUANA GALIZIA"