KISAH LEHANNE SERGISON : Wanita yang Menangkap Pembunuh Melalui Facebook

Lehanne Sergison merupakan seorang wanita warga Britain yang pernah menjalani kehidupan biasa sebagai juruukur bertauliah yang bersara awal kerana masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, kehidupannya berubah secara mendadak apabila satu tragedi hitam menimpa keluarganya pada tahun 2014. Ibu saudaranya iaitu Christine Robinson, seorang pesara guru berusia 59 tahun yang berpindah ke Afrika Selatan untuk menguruskan sebuah rumah inap telah ditemui mati dalam keadaan menyayat hati. Mayat Christine ditemui dalam keadaan separuh bogel dan hasil siasatan awal menunjukkan bahawa dia telah dirogol dan dibunuh secara kejam.
Christine tinggal di kawasan terpencil di Limpopo, Afrika Selatan. Dia memiliki sebuah rumah inap yang dikunjung oleh pelancong asing. Pada hari kejadian, seorang lelaki pekerja tukang kebun di kawasan itu yang dikenali sebagai Andrew Ndlovu atau juga menggunakan nama samaran Andrea Imbayarwo dipercayai telah memasuki premis Christine sebelum merogol dan membunuhnya. Walaupun suspek telah dikenalpasti oleh pihak berkuasa tempatan, tindakan susulan yang sepatutnya diambil dilihat terlalu perlahan dan mengecewakan. Setelah kejadian tersebut, suspek menghilangkan diri dan dipercayai menjalani kehidupan biasa tanpa ditahan atau dibicarakan. Kes tersebut seolah dilupakan begitu saja meskipun bukti forensik dan keterangan saksi sudah cukup untuk menimbulkan syak.

Lehanne yang ketika itu berada di United Kingdom dan menghidap penyakit asma kronik yang serius sehingga tidak boleh menaiki kapal terbang berasa sangat marah dan kecewa dengan kegagalan sistem keadilan di Afrika Selatan. Dalam keadaan terbatas, dia mula menjalankan siasatannya sendiri dari rumah. Pada mulanya, Lehanne cuba menghubungi pihak polis dan peguam di Afrika Selatan untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini. Usahanya itu bagaimanapun sering kali menemui jalan buntu.
BSetelah bertahun-tahun berlalu tanpa sebarang penahanan, Lehanne mengambil keputusan yang lebih berani dan drastik. Pada tahun 2019, dia mencipta satu akaun Facebook palsu dengan menggunakan identiti rekaan seorang pramugari muda yang dinamakan Missy Falcao. Menggunakan gambar-gambar wanita cantik dari internet, Lehanne menyamar sebagai wanita bujang yang tinggal di Johannesburg dan mula menghantar mesej kepada Andrew Ndlovu yakni lelaki yang dipercayai membunuh ibu saudaranya. Dalam masa beberapa minggu, lelaki itu membalas mesej dan mula menjalin perbualan secara berkala dengannya.

Sepanjang tempoh hampir setahun, Lehanne mengekalkan penyamarannya dan memainkan peranan Missy dengan meyakinkan. Melalui mesej-mesej yang dihantar, Andrew mula membuka cerita tentang kehidupannya, lokasi keberadaannya dan pergerakannya. Tanpa sedar, Andrew telah mendedahkan maklumat penting yang membolehkan Lehanne mengesahkan identitinya sebagai pembunuh yang dikehendaki. Dia juga memuat naik gambar dirinya yang terkini yang kemudiannya digunakan oleh Lehanne sebagai bukti tambahan.
Akhirnya pada ulang tahun keenam pembunuhan Christine pada Julai 2020, Lehanne membuat keputusan untuk bertindak. Dia memuat naik gambar-gambar Andrew ke laman Facebook awam miliknya beserta maklumat bahawa lelaki itu adalah suspek dalam pembunuhan ibu saudaranya. Hantaran itu menjadi tular dan mendapat perhatian meluas termasuk daripada media dan pihak berkuasa Afrika Selatan. Pada hari yang sama, Andrew Ndlovu ditahan oleh polis. Penangkapan itu berlaku selepas bertahun-tahun dia bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan dan semuanya hasil usaha seorang wanita yang tidak pernah putus asa dari jarak ribuan kilometer.

Susulan daripada penahanan itu, kes dibawa ke mahkamah. Pada tahun 2022, Andrew Ndlovu telah disabitkan kesalahan merogol dan membunuh Christine Robinson. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya. Walaupun Lehanne tidak dapat hadir secara fizikal ke perbicaraan kerana masalah kesihatannya, dia telah menyediakan satu kenyataan impak mangsa untuk dibacakan di mahkamah bagi menggambarkan kesedihan dan trauma yang dialami keluarganya sejak pembunuhan Christine.

Kisah keberanian dan ketabahan Lehanne Sergison ini mendapat perhatian dunia. Pada tahun 2025, kisah ini telah diangkat ke layar dokumentari bertajuk The Facebook Honeytrap: Catching a Killer dan ditayangkan di Amazon Prime. Dokumentari ini merungkai secara terperinci bagaimana seorang wanita biasa tanpa sebarang latihan profesional sebagai penyiasat, mampu menumpaskan seorang pembunuh dengan hanya menggunakan komputer riba dan internet dari rumahnya.
Catat Ulasan for "KISAH LEHANNE SERGISON : Wanita yang Menangkap Pembunuh Melalui Facebook "