Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Skandal Arnold Schwarzenegger: Hubungan Sulit dengan Pembantu Rumah yang Mengejutkan Ramai


     Arnold Schwarzenegger, nama yang cukup gah dalam dunia hiburan sebagai pelakon terkenal filem Terminator. Dia juga pernah memegang jawatan sebagai Gabenor California. Bermula dari kejayaan sebagai ahli bina badan profesional sehingga menjadi bintang Hollywood, Arnold kemudian menceburi politik dengan jayanya mencipta satu laluan kehidupan yang luar biasa bagi seorang imigran dari Austria. Walau bagaimanapun, segala pencapaian itu diuji apabila satu skandal rumah tangga yang tersembunyi selama lebih sedekad terbongkar apabila dia mengakui bahawa dirinya ialah bapa kepada seorang anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan pembantu rumah keluarganya sendiri.

     Pada tahun 1986, Arnold berkahwin dengan Maria Shriver, seorang wartawan terkemuka dan pewaris keluarga politik ternama. Dia merupakan anak saudara kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy. Mereka membina keluarga bahagia dan memiliki empat orang anak iaitu Katherine, Christina, Patrick dan Christopher. Di mata umum, mereka mewakili gambaran sempurna pasangan elit Amerika Syarikat moden yang berjaya. Namun di sebalik kesempurnaan itu, tersembunyi satu rahsia yang begitu besar hingga merobohkan rumah tangga mereka hingga menjejaskan reputasi Arnold sendiri. 


     Mildred Patricia Baena, seorang wanita berketurunan Guatemala telah bekerja sebagai pembantu rumah dan pembantu peribadi keluarga Schwarzenegger selama lebih 20 tahun. Sepanjang tempoh itu, dia dianggap hampir seperti ahli keluarga oleh orang dalam rumah tersebut. Arnold sendiri mengaku dalam satu temu bual kemudian bahawa hubungan sulit antara dirinya dan Mildred berlaku ketika Maria tiada di rumah dan ia tidak berlaku sekali tetapi berulang dalam tempoh tertentu.

     Pada tahun 1997, Mildred melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Joseph Baena. Waktu itu, Maria Shriver juga sedang hamil dan hanya beberapa hari selepas kelahiran anak bongsu mereka, Christopher, Mildred turut melahirkan Joseph di tempat lain. Mildred terus bekerja dengan keluarga itu dan identiti sebenar bapa Joseph dirahsiakan. Namun dari tahun ke tahun, sesuatu yang pelik mula berlaku. Wajah Joseph semakin hari semakin menyerupai Arnold terutama dari segi struktur muka, susuk badan dan gaya fizikal. Kecurigaan mula muncul bukan sahaja di kalangan orang luar tetapi juga dalam kalangan ahli keluarga.


     Segalanya terbongkar pada tahun 2011 selepas Arnold menamatkan tempoh kedua perkhidmatannya sebagai Gabenor California. Dalam suasana tegang dan penuh emosi di rumah mereka di Brentwood, Arnold membuat pengakuan peribadi kepada Maria bahawa dia adalah bapa kandung kepada Joseph, anak yang dilahirkan oleh pembantu rumah mereka sendiri lebih sedekad sebelum itu. Maria dilaporkan sangat terkejut, hancur hati dan berasa dikhianati sedalam-dalamnya.

     Menurut sumber terdekat, Maria telah lama mencurigai sesuatu dan pernah bertanya secara terus kepada Mildred tetapi wanita itu menafikan perkara tersebut. Pengakuan Arnold menamatkan semua spekulasi hingga menyebabkan Maria mengambil keputusan segera meninggalkan rumah mereka. Dia kemudiannya memfailkan penceraian selepas lebih 25 tahun hidup bersama.

     Dalam temu bual eksklusif dengan The Los Angeles Times, Arnold mengakui bahawa apa yang dilakukannya adalah satu kesalahan besar dalam hidup. Dia menyatakan bahawa dia tidak sedar Mildred hamil ketika itu dan hanya menyedari kebenaran tersebut bertahun kemudian apabila melihat wajah Joseph yang semakin menyerupainya. Cuma Arnold tidak menyalahkan sesiapa, dan mengakui bahawa kesilapan itu adalah tanggungjawabnya sepenuhnya. Dia turut menyatakan rasa hormatnya terhadap Maria Shriver sebagai seorang wanita yang tabah dan menyifatkan perceraian mereka sebagai sesuatu yang menyakitkan tetapi perlu dibuat. Arnold cuba untuk memperbaiki hubungannya dengan anak-anak yang lain walaupun beberapa daripadanya mengambil masa yang lama untuk menerima kebenaran.



     Mildred pula tidak banyak membuat kenyataan kepada media selepas itu. Dalam satu-satunya kenyataan yang diketahui umum, dia memohon maaf kepada Maria dan menyatakan bahawa Maria adalah wanita yang sangat baik dan tidak wajar dilayan sebegitu. Selepas skandal terbongkar, Mildred meletakkan jawatan serta-merta dan membawa diri bersama anaknya. Mereka hidup jauh daripada perhatian media sejak itu.

     Sementara itu, Joseph Baena kini merupakan seorang pemuda dewasa yang mengikuti jejak bapanya dalam dunia kecergasan dan lakonan. Walaupun lahir daripada hubungan sulit yang penuh kontroversi, Joseph membina identiti sendiri. Arnold kini mempunyai hubungan yang rapat dengannya di mana mereka sering dilihat bersenam bersama, menyambut hari lahir bersama dan sesekali berkongsi gambar berdua di media sosial. Menariknya, Joseph tidak menggunakan nama keluarga Schwarzenegger tetapi sebaliknya mengekalkan nama ibunya sebagai bentuk penghormatan terhadap sejarah hidupnya. Joseph menyatakan bahawa walaupun asal-usulnya rumit, dia bersyukur mempunyai dua ibu bapa yang menyayanginya.

Catat Ulasan for "Kisah Skandal Arnold Schwarzenegger: Hubungan Sulit dengan Pembantu Rumah yang Mengejutkan Ramai"