Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DANIELA PEREZ

     Pada awal 1990-an, nama Daniela Perez bersinar terang dalam dunia hiburan Brazil. Dia adalah seorang pelakon muda berbakat besar yang mewarisi darah seni daripada ibunya, Gloria Perez yang juga merupakan seorang penulis skrip telenovela yang sangat terkenal di negara itu. Kejelitaan, kelembutan dan karisma Daniela menjadikannya kegemaran ramai dalam kalangan penonton, terutama menerusi peranannya dalam telenovela popular bertajuk De Corpo e Alma. Walau bagaimanapun, segala impian dan masa depan gemilang Daniela terhenti secara tragis dia dibunuh secara kejam oleh rakan lakonnya sendiri pada tahun 1992. 

     Daniela dilahirkan pada 11 Ogos 1970 di Rio de Janeiro dan membesar dalam persekitaran dunia seni. Sejak usia remaja, dia mula melibatkan diri dalam lakonan dan bakatnya dengan cepat dikenali ramai. Semasa membintangi De Corpo e Alma, Daniela memegang watak Yasmin, seorang wanita muda yang terlibat dalam hubungan cinta kompleks. Dalam drama itu, watak lawannya iaitu Bira dilakonkan oleh seorang pelakon lelaki bernama Guilherme de Padua. Kalau dilihat dari luaran, gandingan mereka kelihatan serasi dan tidak menimbulkan sebarang syak wasangka.

     Namun di sebalik lensa kamera, wujud satu ketegangan yang tidak diketahui oleh ramai. Guilherme dilaporkan menyimpan rasa tidak puas hati terhadap Daniela kerana berasa dirinya dipinggirkan daripada jalan cerita utama. Dia percaya Daniela diberikan keistimewaan hanya kerana dia adalah anak kepada penulis skrip drama tersebut. Ketidakpuasan hati ini lama-kelamaan bertukar menjadi dendam yang membuak lebih-lebih lagi apabila wataknya dikhabarkan bakal ditamatkan daripada drama itu. Pada masa sama, isteri Guilherme yang dikenali sebagai Paula Thomaz turut dikatakan mula menunjukkan rasa cemburu terhadap Daniela. 

     Pada malam 28 Disember 1992 yakni selepas tamat sesi penggambaran, Daniela dilaporkan hilang. Keluargan Daniela termasuk ibunya mula mencarinya secara panik. Beberapa jam kemudian, dunia hiburan Brazil dikejutkan dengan berita penemuan mayat Daniela di kawasan semak di Barra da Tijuca, sebuah kawasan pinggir bandar di Rio de Janeiro. Daniela telah diibunuh dengan tikaman sebanyak 18 kali di mana kebanyakannya di bahagian dada dan leher. Kecederaan itu menunjukkan serangan dilakukan dengan penuh kemarahan dan niat membunuh yang jelas.

     Siasatan pihak polis membawa kepada penahanan Guilherme dan isterinya Paula pada masa yang singkat. Bukti forensik dan saksi mengaitkan mereka dengan lokasi kejadian. Malah hasil siasatan mendedahkan bahawa mereka telah memerangkap Daniela dengan alasan mahu berbincang tentang lakonan lalu membawanya ke tempat sunyi sebelum menyerangnya secara fizikal dan menikamnya berulang kali. Motif mereka disimpulkan sebagai campuran antara dendam profesional, cemburu buta dan keinginan untuk membalas dendam terhadap perubahan jalan cerita drama yang dikaitkan dengan Daniela.

     Cuma apa yang paling mengejutkan bukanlah sekadar jenayah yang dilakukan tetapi juga hukuman yang dikenakan ke atas mereka. Mahkamah Brazil ketika itu menjatuhkan hukuman 6 tahun penjara sahaja kepada Guilherme de Padua dan Paula Thomaz selepas mensabitkan mereka atas kesalahan homicidio doloso iaitu pembunuhan secara sengaja tetapi tanpa pertimbangan berat (seperti perancangan terperinci atau kekejaman luar biasa). Ramai menganggap klasifikasi jenayah ini tidak menunjukkan betapa kejam dan terancangnya pembunuhan tersebut. Tambahan pula, kedua-dua pesalah dibebaskan awal selepas hanya 3 tahun 4 bulan menjalani hukuman kerana mendapat pembebasan bersyarat atas alasan kelakuan baik.

     Rakyat Brazil marah. Keluarga Daniela hancur hati. Ibu Daniela, Gloria Perez enggan berdiam diri. Dia memulakan satu gerakan awam besar-besaran bagi menuntut reformasi undang-undang jenayah Brazil. Melalui petisyen dan kempen kesedaran yang melibatkan lebih satu juta tandatangan, dia akhirnya berjaya mendesak kerajaan Brazil untuk meluluskan satu undang-undang baharu yang dikenali sebagai Lei dos Crimes Hediondos (Undang-undang Jenayah Kejam). Undang-undang yang diperkenalkan pada tahun 1994 ini menetapkan bahawa kesalahan seperti pembunuhan kejam, rogol serta penculikan tidak lagi boleh menerima hukuman ringan dan pesalah tidak layak untuk dibebaskan awal. 

     Lebih 30 tahun selepas tragedi itu, kisah Daniela Perez dihidupkan semula melalui dokumentari bersiri oleh HBO Brazil bertajuk Pacto Brutal: O Assassinato de Daniela Perez yang ditayangkan pada tahun 2022. Siri dokumentari ini mengupas secara terperinci semua aspek kes termasuk kronologi pembunuhan, proses perbicaraan dan trauma keluarga mangsa. Ia juga mendedahkan peranan media, kegagalan undang-undang ketika itu serta kebangkitan gerakan rakyat untuk menuntut keadilan. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DANIELA PEREZ"