Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KAYLIN GILLIS : Gadis Ini Mati Ditembak Hanya Kerana Salah Lokasi

     Pada malam Sabtu, 15 April 2023 bertempat di kawasan luar bandar Hebron, Washington County, New York, seorang gadis muda berusia 20 tahun iaitu Kaylin Gillis telah menjadi mangsa tembakan ketika sedang menaiki kenderaan bersama rakan-rakannya. Mereka tidak melakukan sebarang jenayah, tidak memecah masuk atau menimbulkan ancaman tetapi sebaliknya hanya tersalah masuk ke laluan rumah (driveway) seseorang semasa mencari rumah kenalan mereka. 

     Kaylin ialah seorang gadis muda yang ceria, berbakat dan dikenali ramai dalam kawasan tempat tinggalnya. Dia bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang biologi marin dan sepatutnya mendaftar ke kolej di Florida pada waktu selepas kejadian berlaku. Pada malam kejadian, Kaylin telah keluar bersama dengan teman lelakinya dan beberapa orang rakan lain. Mereka menaiki dua buah kereta dan sebuah motosikal sebelum mencari rumah seorang rakan di kawasan luar bandar. Kawasan itu mempunyai banyak laluan masuk ke rumah yang kelihatan hampir sama hingga menyebabkan mereka tersilap masuk ke laluan rumah milik Kevin Monahan, seorang lelaki berusia 65 tahun yang tinggal bersendirian di sebuah rumah terpencil.

     Apabila mereka menyedari kesilapan, kumpulan itu segera berpatah balik dan beredar dari kawasan tersebut tanpa menimbulkan sebarang gangguan. Namun tanpa sebarang amaran, Monahan secara tiba-tiba keluar dari rumahnya lalu melepaskan dua das tembakan menggunakan shotgun jenis 20-gauge ke arah kenderaan yang sedang berundur keluar dari laluan rumahnya. Salah satu tembakan itu mengenai Kaylin Gillis di leher hingga menyebabkan kecederaan parah. Rakan-rakannya cuba membawa Kaylin keluar dari situ dan mendapatkan bantuan kecemasan. Kaylin bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebelum ambulans sempat tiba.

     Monahan tidak memberi sebarang bantuan atau panggilan kecemasan sebaik sahaja tembakan itu berlaku. Malah pihak pendakwaan melaporkan bahawa Monahan menyembunyikan senjata dan pada awalnya tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis. Ketika siasatan dijalankan, Monahan memberi alasan bahawa dia berasa dirinya diancam oleh kehadiran kenderaan asing dan menyangka mereka berniat jahat. Mohanw mendakwa bahawa tembakan kedua berlaku secara tidak sengaja apabila dia tergelincir dan senjata apinya meletup sendiri. Walau bagaimanapun, penjelasan ini diragui dan bercanggah dengan fakta forensik.

     Perbicaraan yang berlangsung pada awal tahun 2024 menarik perhatian ramai. Mahkamah diberitahu bahawa tiada sebarang ancaman daripada pihak Kaylin dan rakan-rakannya. Mereka tidak pernah keluar dari kenderaan apatah lagi cuba menceroboh ke dalam rumah. Rakaman lokasi kejadian dan keterangan saksi mengukuhkan bahawa tindakan Monahan adalah tidak berpatutan, cuai dan bersifat ganas secara melulu. Pada 23 Januari 2024, juri mendapati Monahan bersalah atas pembunuhan darjah kedua serta dua pertuduhan tambahan iaitu bahaya cuai tahap pertama dan mengganggu bukti fizikal.

     Pada 1 Mac 2024, Kevin Monahan dijatuhi hukuman maksimum iaitu 25 tahun hingga seumur hidup penjara bagi pembunuhan dan hukuman tambahan 21 bulan hingga 4 tahun atas tuduhan lain yang dijalankan secara berturutan. Hakim Adam Michelini yang menjatuhkan hukuman menyatakan bahawa Monahan tidak menunjukkan rasa bersalah atau penyesalan sepanjang perbicaraana selain menyifatkan tindakannya sebagai satu bentuk keganasan yang tidak boleh diterima oleh masyarakat. 


     Sementara itu, keluarga Kaylin berasa sangat sedih dengan apa yang telah berlaku. Teman lelaki Kaulin yang bernama Blake Walsh menyatakan bahawa dunia mereka telah musnah sejak kehilangan Kaylin. “Dia tidak sepatutnya mati begitu sahaja hanya kerana mereka masuk ke jalan rumah yang salah. Kami tidak keluar dari kereta. Kami tidak mengugut sesiapa. Kami hanya mahu berpatah balik,” katanya dalam satu temu bual penuh emosi. Rakan-rakan dan orang awam juga memberikan penghormatan dengan mengadakan majlis memperingati Kaylin dan mengutip dana untuk keluarga mangsa.

Catat Ulasan for "KISAH KAYLIN GILLIS : Gadis Ini Mati Ditembak Hanya Kerana Salah Lokasi"