Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RUBY ROSE BARRAMEDA

     Pada tahun 2007, Filipina digemparkan dengan kes kehilangan seorang wanita muda bernama Ruby Rose Barrameda-Jimenez. Wanita berusia 27 tahun itu merupakan seorang ibu kepada dua orang anak dan dalam proses penceraian dengan suaminya iaitu Manuel Third Jimenez III yang merupakan anak kepada tokoh perniagaan terkenal dan berpengaruh. 

     Ruby Rose kali terakhir dilihat pada 18 Mac 2007. Menurut keluarganya, dia keluar untuk melawat dua orang anaknya yang tinggal bersama suami serta keluarga mentuanya selepas dia dan suaminya berpisah. Sejak itu, Ruby Rose tidak pernah kembali. Keluarga mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangannya dan melancarkan kempen awam untuk mencarinyn namun selama lebih dua tahun, kes itu seolah-olah menemui jalan buntu.


     Hinggalah pada Jun 2009, satu pendedahan mengejutkan merungkai misteri kehilangan Ruby Rose. Seorang saksi bernama Manuel Montero tampil ke hadapan dan membawa pihak berkuasa ke sebuah kawasan di Teluk Navotas, Manila. Di situ, mereka menemui satu tong dram besi yang telah disimen dan ditenggelamkan ke dasar laut. Di dalam tong tersebut, terdapat satu mayat perempuan dalam keadaan reput teruk. Bedah siasat dan analisis forensik kemudian mengesahkan bahawa jasad itu adalah Ruby Rose Barrameda.

     Pendedahan oleh Montero mendakwa bahawa Ruby Rose telah dibunuh dalam satu konspirasi yang melibatkan bekas suaminya, Manuel Jimenez III, bapa mentuanya Manuel Jimenez Jr. serta dua orang lelaki lain yang dikenali sebaga Lennard Spyke Descalso dan Norberto Ponce. Menurut Montero, dia telah direkrut oleh kumpulan tersebut untuk membantu dalam penculikan dan pembunuhan Ruby Rose. Montero mendakwa mangsa dipukul, dicekik dan akhirnya mayatnya disembunyikan dalam tong sebelum dicampak ke laut.

     Berikutan kesaksian Montero, keempat-empat suspek ditahan dan didakwa atas kesalahan penculikan dan pembunuhan. Kes ini menjadi tumpuan media dan awam terutamanya kerana keluarga Jimenez terkenal dalam dunia korporat Filipina dan mempunyai hubungan politik yang luas. Namun apa yang pada awalnya dilihat sebagai kejayaan besar dalam usaha mendapatkan keadilan bagi Ruby Rose berubah menjadi kekecewaan bertahun-tahun kemudian.

     Pada tahun 2015, kesaksian Montero diputuskan sebagai tidak boleh diterima oleh mahkamah. Alasannya, Montero gagal menghadirkan diri untuk pemeriksaan silang dalam perbicaraan sekali gus menjejaskan kredibiliti keterangannya. Lebih memburukkan keadaan, Montero kemudiannya menarik balik kesaksiannya di mana dia mendakwa bahawa dirinya telah dipaksa untuk memberikan keterangan palsu. Keputusannya untuk menarik diri dari program perlindungan saksi menambahkan lagi kekeliruan dan keraguan terhadap integriti keseluruhan pendakwaan.

     Akhirnya, pada Disember 2019 yakni lebih satu dekad selepas Ruby Rose hilang, Mahkamah Perbicaraan Malabon membebaskan semua suspek daripada segala pertuduhan. Hakim menyatakan bahawa bukti tidak mencukupi untuk membuktikan kes di luar keraguan munasabah terutamanya apabila saksi utama tidak dapat disahkan keterangannya secara formal dalam mahkamah. Keputusan ini menimbulkan kemarahan dan kekecewaan yang mendalam khususnya kepada keluarga mangsa.

     Rochelle Barrameda, kakak kepada Ruby Rose terus bersuara mewakili keluarga dan masyarakat yang bersimpati. Dalam pelbagai temu bual, dia meluahkan rasa sedih dan tidak puas hati terhadap sistem perundangan Filipina. Bagi Rochelle, keputusan membebaskan kesemua suspek bukan hanya menghancurkan harapan keluarganya untuk mendapatkan keadilan tetapi juga menghantar mesej buruk bahawa wang dan pengaruh boleh mengatasi kebenaran. Keluarga Barrameda berpendapat bahawa bukti fizikal penemuan mayat dalam tong dan pengakuan awal Montero cukup kuat untuk meyakinkan bahawa terdapat perancangan rapi di sebalik pembunuhan tersebut.

     Walaupun sistem kehakiman telah membuat keputusan muktamad, orang ramai masih tertanya-tanya. Siapakah sebenarnya yang membunuh Ruby Rose? Adakah dia menjadi mangsa perebutan hak penjagaan anak? Adakah konflik keluarga dan tekanan dari penceraian menyebabkan tragedi ini? Lebih penting lagi, adakah nyawa seorang wanita muda boleh dipadamkan begitu sahaja tanpa sesiapa pun bertanggungjawab?

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RUBY ROSE BARRAMEDA"