Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Fakta-Fakta Menarik Tentang Filem Shutter Island (2010)

     Filem Shutter Island (2010) arahan Martin Scorsese merupakan filem bergenre thriller gabungan naratif psikologi dan teka-teki minda. Diterajui oleh lakonan mantap Leonardo DiCaprio, Shutter Island diiktiraf sebagai salah satu filem thriller terbaik sepanjang zaman. Berikut adalah beberapa fakta menarik yang menyerlahkan kekuatan filem ini dari segi teknikal dan naratif selain memfokuskan tentang trauma, identiti dan realiti.


1. Kolaborasi antara Martin Scorsese dan Leonardo DiCaprio

    BShutter Island merupakan hasil kerjasama keempat antara pengarah legenda Martin Scorsese dan pelakon Leonardo DiCaprio. Sebelum ini, mereka telah bergandingan dalam Gangs of New York (2002), The Aviator (2004) dan The Departed (2006). Gandingan mereka dianggap luar biasa dalam dunia perfileman kerana setiap filem yang mereka hasilkan bersama bukan sahaja berjaya dari segi komersial malah mendapat pengiktirafan kritikal. DiCaprio sendiri menyifatkan wataknya dalam Shutter Island sebagai antara watak paling mencabar emosinya sepanjang kerjaya.


2. Adaptasi Daripada Novel Misteri Karya Dennis Lehane

     Filem ini diadaptasi daripada novel bertajuk Shutter Island tulisan Dennis Lehane yang terkenal dengan karya-karya bernuansa gelap seperti berlapis seperti Mystic River dan Gone Baby Gone. Diterbitkan pada tahun 2003, novel ini memperkenalkan pembaca kepada dunia seorang lelaki yang terperangkap antara realiti dan delusi yang kemudiannya diterjemahkan dengan penuh cermat ke layar perak oleh Scorsese. Adaptasi filem ini kekal setia kepada intipati novel termasuk pendedahan besar di penghujung cerita.


3. Lokasi Penggambaran di Hospital Mental Sebenar

     Walaupun latar filem ini berlaku di pulau fiksyen bernama Shutter Island, penggambaran sebenar dilakukan di beberapa lokasi di Massachusetts termasuk di Medfield State Hospital iaitu sebuah hospital mental lama yang telah ditinggalkan. Suasana tempat yang sudah reput, sunyi serta berdebu ini memberikan kesan visual yang amat mendalam sekali gus menambahkan elemen kengerian dan ketegangan psikologi sepanjang filem. Lokasi lain termasuk kawasan berbatu di Nahant dan penjara lama Westover.


4. Teddy Daniels Adalah Andrew Laeddis: Jiwa yang Retak Dua

     Watak utama dalam filem ini, yang dikenali sebagai Edward “Teddy” Daniels sebenarnya ialah Andrew Laeddis, pesakit mental yang dimasukkan ke Ashecliffe Hospital selepas tragedi besar dalam hidupnya. Isterinya, Dolores Chanal yang mengalami gangguan mental telah membunuh tiga anak mereka dengan menenggelamkan mereka. Tidak sanggup menerima kenyataan itu, Andrew membunuh isterinya sendiri dan mengalami kejutan psikologi yang melampau.

     Bagi melindungi dirinya daripada trauma itu, mindanya mencipta watak Teddy iaitu seorang marshal yang sedang menyiasat konspirasi dan kehilangan pesakit. Identiti ini sangat kompleks dan realistiknsehingga pihak hospital terpaksa membenarkan eksperimen terapi radikal dengan membiarkan Teddy menghidupkan naratif ciptaannya dengan harapan dia akhirnya akan menghadapi realiti. 


5. Isteri Andrew Laeddis Mengalami Gangguan Mental Berat

     Dolores Chanal, isteri kepada Andrew Laeddis, mengalami gangguan bipolar yang tidak dirawat. Dia sering menunjukkan tanda-tanda kemurungan yang tidak stabil namun Andrew tidak mengambil langkah untuk mendapatkan bantuan profesional walaupun menyedari keanehan tingkah lakunya. Keengganan Andrew untuk bertindak akhirnya membawa kepada tragedi apabila Dolores menenggelamkan anak-anak mereka, peristiwa traumatik yang menjadi pencetus kepada gangguan psikologi Andrew sendiri


6. Dr. Lester Sheehan: Rakan Sepasukan yang Sebenarnya Pakar Psikiatri

     Watak yang diperkenalkan sebagai Chuck Aule kononnya rakan setugas Teddy sebagai U.S. Marshal sebenarnya adalah Dr. Lester Sheehan iaitu seorang pakar psikiatri kanan di Ashecliffe Hospital. Dilakonkan oleh Mark Ruffalo, watak ini menyamar sebagai Chuck dalam satu eksperimen terapeutik yang diketuai oleh pihak hospital bagi membiarkan Teddy menghidupkan naratif ciptaannya sendiri. Tujuannya ialah untuk melihat sama ada Teddy yang sebenarnya adalah pesakit bernama Andrew Laeddis dapat sedar dan menerima identiti sebenar serta tragedi masa lalunya. Dr. Sheehan memainkan peranan penting sebagai pemerhati, pemantau dan teman yang cuba membantu Teddy dari dalam dunia khayalannya. Di akhir filem, kekecewaan jelas terpapar di wajahnya apabila eksperimen itu gagal.



7. Tema Psikologi, Trauma dan Identiti

    Filem ini sangat mendalam dari sudut psikologi. Ia menyentuh isu trauma, gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan mekanisme pertahanan minda yang dikenali sebagai penafian realiti. Watak utama tidak mampu menghadapi trauma akibat tragedi keluarganya lalu mencipta identiti baharu sebagai Teddy Daniels iaitu seseorang yang tidak bersalah dan dianggap wira. Melalui penceritaan ini, penonton dipaksa untuk menyelami bagaimana manusia kadang-kadang lebih sanggup hidup dalam ilusi daripada menerima kenyataan yang menghancurkan


8. Baris Dialog Terakhir yang Sarat Makna

    Di penghujung filem yakni selepas Teddy kembali kepada watak lamanya walaupun telah mendedahkan kebenaran, dia melontarkan dialog, 

     "Which would be worse: to live as a monster, or to die as a good man?"

     Dialog ini membuka pelbagai tafsiran. Ada yang percaya Teddy sebenarnya sudah sedar bahawa dia adalah Andrew Laeddis tetapi memilih untuk berpura-pura gila agar boleh menjalani lobotomi dan melupakan segala trauma hidupnya. Ini menjadikan wataknya sebagai tragik dan menyayat hati kerana dia lebih memilih kehancuran diri daripada terus hidup dalam rasa bersalah.


9. Penggambaran Dilakukan Secara Kronologi

     Satu lagi pendekatan menarik yang diambil oleh Martin Scorsese dalam filem ini ialah penggambaran dilakukan secara kronologi iaitu mengikut urutan jalan cerita. Ini berbeza daripada kebanyakan produksi filem yang biasanya merakam babak berdasarkan lokasi atau jadual pelakon. Bagi Shutter Island, pendekatan kronologi membolehkan pelakon terutamanya DiCaprio menghayati dan membina perubahan emosi watak secara semula jadi dari awal filem sehingga babak terakhir yang sangat emosional.


10. Kejayaan Komersial dan Kritikal

     Menggunakan bajet sekitar USD 80 juta, Shutter Island berjaya mencatat kutipan melebihi USD 294 juta di seluruh dunia. Ia mendapat sambutan hangat daripada penonton dan menjadi perbincangan dalam kalangan pengkritik serta peminat filem selama bertahun-tahun. 

Catat Ulasan for "Fakta-Fakta Menarik Tentang Filem Shutter Island (2010)"