KISAH JENNIFER WILBANKS (The Runaway Bride)

Pada penghujung April 2005, Jennifer Wilbanks iaitu seorang wanita berusia 32 tahun dari Duluth, Georgia dilaporkan hilang hanya beberapa hari sebelum majlis perkahwinan mewahnya yang dijadualkan berlangsung pada 30 April. Perkahwinan itu dirancang secara besar-besaran dengan lebih daripada 600 jemputan, 14 pengapit perempuan dan 14 pengapit lelaki serta persiapan majlis yang menelan belanja besar. Dalam suasana yang sepatutnya penuh keterujaan dan kegembiraan, kehilangan wanita terbabit mencetuskan panik serta liputan media secara meluas.
Menurut keluarganya, Jennifer tidak pulang selepas keluar untuk berjoging pada waktu petang 26 April 2005. Apabila dia gagal kembali ke rumah dan tidak dapat dihubungi, laporan polis segera dibuat. Pada masa yang singkat, pihak berkuasa melancarkan misi pencarian secara besar-besaran yang turut melibatkan sukarelawan, penggunaan anjing pengesan, helikopter serta bantuan media tempatan. Gambar wajah Jennifer terpampang di seluruh stesen televisyen dan surat khabar. Media mula memberikan liputan hampir setiap jam dan kisah ini mendapat perhatian besar termasuk Presiden George W. Bush ketika itu yang turut dimaklumkan tentang perkembangan kes ini.

Tunang Jennifer yang bernama John Mason turut tampil dalam media di mana dia merayu agar tunangnya pulang dengan selamat. Namun pada masa yang sama, polis tidak menolak kemungkinan bahawa John terlibat dalam kehilangan itu. Seperti kes kehilangan lain yang tular, pasangan kepada mangsa selalunya menjadi individu pertama yang disiasat. Sangkaan pembunuhan dan penculikan mula berlegar-legar.
Kisah ini bagaimanapun mengambil satu pusingan mengejutkan. Empat hari selepas dilaporkan hilang, Jennifer ditemui dalam keadaan selamat di Albuquerque, New Mexico yakni sejauh hampir 2000 kilometer dari rumahnya. Difahamkan dia sendiri yang menghubungi pihak berkuasa dan mendakwa telah diculik oleh sepasang suami isteri berketurunan Hispanik semasa berjoging sebelum dipaksa menaiki van lalu dibawa jauh secara paksa. Dakwaan itu sekali lagi mengejutkan seluruh negara. Namun apabila polis New Mexico menyoalnya dengan lebih terperinci, pelbagai percanggahan mula timbul dalam ceritanya.
Tidak lama selepas itu, Jennifer akhirnya mengaku bahawa dia tidak pernah diculik. Jennifer sebaliknya melarikan diri secara sukarela kerana mengalami tekanan emosi dan takut untuk menghadapi hari perkahwinannya. Menerusi pengakuannya, Jennifer membeli tiket bas dan pergi ke Las Vegas terlebih dahulu sebelum mengambil bas lain ke Albuquerque. Sepanjang perjalanannya, dia telah memotong rambut dan cuba menyamar dengan rupa berbeza agar tidak dikenali.

Implikasi penipuan ini sangat besar. Pihak berkuasa telah membelanjakan sejumlah besar wang dan sumber dalam misi pencarian tersebut. Jennifer akhirnya didakwa atas tuduhan membuat laporan palsu dan memalsukan kenyataan kepada pihak berkuasa. Pada 27 April 2006, dia mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman dua tahun percubaan, diperintahkan menjalani 120 jam kerja khidmat masyarakat serta membayar ganti rugi lebih USD 2000 kepada pihak berkuasa sebagai bayaran semula atas kos pencarian.
Sementara itu, tunangnya, John Mason tetap bersama Jennifer buat seketika selepas insiden itu. Walau bagaimanapun, hubungan mereka tidak bertahan lama. Mereka akhirnya membatalkan pertunangan secara rasmi dan masing-masing membawa haluan sendiri. Jennifer kemudiannya menjalani rawatan psikologi untuk menangani tekanan dan kecelaruan emosi yang dialaminya dan tidak lagi muncul di khalayak umum selepas peristiwa itu kecuali dalam beberapa temubual khas yang disiarkan di televisyen.
Catat Ulasan for "KISAH JENNIFER WILBANKS (The Runaway Bride)"