Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH REYNHARD SINAGA: Pemangsa Seksual Paling Kejam dalam Sejarah Britain

     Nama Reynhard Sinaga mungkin tidak pernah dikenali sebelum tahun 2020 namun segalanya berubah apabila dia disabitkan sebagai pesalah seksual paling keji dalam sejarah jenayah di Britain. Jenayahnya melibatkan ratusan mangsa lelaki dengan modus operandinya yang licik dan terancang. Siapakah Reynhard Sinaga sebenarnya dan bagaimana seorang pelajar cemerlang dari luar negara boleh menjadi pemangsa dalam siri jenayah seksual paling mengerikan yang pernah tercatat di negara itu?

     Reynhard Tambos Maruli Tua Sinaga dilahirkan pada 19 Februari 1983 di Jambi, Indonesia. Dia yang berasal daripada keluarga Batak yang beragama Katolik dibesarkan dalam keluarga berada dan diberi pendidikan yang baik sejak kecil. Selepas menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang seni bina di Universiti Indonesia, Reynhard melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada tahun 2007 untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dan kemudiannya peringkat kedoktoran. Dia mengambil jurusan Perancangan Bandar di University of Manchester dan kemudian jurusan Sosiologi. Pada masa kejadian jenayahnya berlangsung, dia sedang menyambung pengajian PhD di University of Leeds


     Di luar pengajian, Reynhard menjalani kehidupan yang kelihatan biasa di mana dia dikatakan sebagai seorang yang pendiam, sopan, aktif di gereja dan disenangi rakan-rakan. Namun di sebalik imej luaran yang tampak tidak mencurigakan, Reynhard menyembunyikan sisi gelap yang sangat membimbangkan. Bermula sekitar tahun 2015, Reynhard menjalankan siri serangan seksual terhadap lelaki-lelaki muda yang kebanyakannya heteroseksual, mabuk dan lemah di sekitar kawasan hiburan malam di Manchester. Modus operandinya adalah dengan mendekati mangsa yang kelihatan tidak sedarkan diri akibat pengaruh alkohol lalu menawarkan bantuan atau tempat untuk berehat di flatnya yang terletak berhampiran. Setelah tiba di sana, mangsa akan disuntik dengan dadah jenis GHB yakni sejenis bahan kimia yang boleh menyebabkan kehilangan kesedaran.

     Mangsa-mangsa kemudian diperkosa ketika tidak sedarkan diri dan Reynhard merakamkan semua perbuatannya menggunakan telefon bimbit serta kamera. Rakaman-rakaman tersebut disimpan dalam komputer riba serta peranti storan digital yang kemudian menjadi bukti utama dalam pendakwaan. Ketika pihak berkuasa meneliti bahan bukti yang dirampas, mereka menemui lebih daripada 3 terabait data digital termasuk lebih 2000 rakaman video serangan seksual dan hampir 300 000 gambar berkaitan jenayah tersebut. Bahan-bahan ini memperincikan serangan terhadap ratusan mangsa dan menjadi asas utama pendakwaan terhadapnya. Sebahagian besar mangsa langsung tidak mengetahui bahawa mereka pernah diserang sehinggalah pihak polis menghubungi mereka selepas pengecaman dibuat melalui rakaman tersebut. Barang-barang peribadi milik mangsa seperti telefon, jam tangan, dompet dan kad pengenalan turut ditemui di flatnya dipercayai disimpan oleh Reynhard sebagai trofi untuk mengingati setiap jenayah yang dilakukannya.

     Kes ini bagaimanapun terbongkar pada tahun 2017 apabila seorang mangsa tersedar semasa diserang dan bertindak melawan. Mangsa tersebut berjaya membawa dirinya ke hospital dan membuat laporan polis. Siasatan yang dilakukan ke atas flat Reynhard membawa kepada penemuan bukti yang sangat mengejutkan. Rakaman video, mesej-mesej dalam media sosial, serta kenyataan Reynhard sendiri menunjukkan bahawa dia telah merancang dan menikmati setiap serangan itu sebagai satu permainan. Reynhard dilaporkan pernah menyebut dirinya sebagai SuperRey yang menyelamatkan lelaki-lelaki heteroseksual.

     Pendakwaan dilakukan dalam empat perbicaraan berasingan antara tahun 2018 hingga 2019 kerana jumlah kes yang terlalu banyak untuk dikendalikan dalam satu masa. Pada Januari 2020, Mahkamah Manchester menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Reynhard Sinaga atas 159 pertuduhan jenayah seksual termasuk 136 tuduhan rogol terhadap sekurang-kurangnya 48 lelaki yang dikenal pasti. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati jumlah mangsa sebenar mungkin mencecah lebih 200 orang. Pada mulanya dia diperintahkan menjalani hukuman penjara minimum selama 30 tahun namun pada Disember 2020, Mahkamah Rayuan United Kingdom memutuskan untuk menaikkan tempoh minimum itu kepada 40 tahun sekali gus menjadikannya antara hukuman paling berat yang pernah dijatuhkan dalam sejarah jenayah seksual di Britain.

     Pendedahan tentang jenayah ini menyebabkan kejutan besar termasuk di Indonesia. Kementerian Luar Negeri Indonesia mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mengikuti kes ini dengan teliti dan memberi bantuan konsular kepada Reynhard seperti mana tanggungjawab terhadap mana-mana rakyat Indonesia yang ditahan di luar negara.

     Isu pemulangan Reynhard ke Indonesia juga pernah dibangkitkan. Pada awal 2025, kerajaan Indonesia dan United Kingdom dilaporkan mula menjalankan rundingan awal tentang kemungkinan memindahkan Reynhard untuk menjalani baki hukumannya di Indonesia. Cuma rundingan itu menghadapi banyak halangan dari segi undang-undang kerana Indonesia tidak mempunyai undang-undang khusus yang membenarkan hukuman minimum 40 tahun penjara. Kebimbangan utama adalah sekiranya Reynhard dipulangkan, dia mungkin menerima pengurangan hukuman mengikut undang-undang tempatan, sesuatu yang tidak diingini oleh pihak Britain.

     Kini Reynhard Sinaga menjalani hukuman di penjara Wakefield, salah satu penjara dengan kawalan keselamatan tertinggi di England yang turut dikenali sebagai tempat tahanan bagi penjenayah berisiko tinggi seperti pembunuh bersiri dan pesalah seksual ganas. Laporan media menyebut bahawa dia telah beberapa kali diserang oleh tahanan lain, satu keadaan yang sering berlaku ke atas pesalah jenayah seksual terutama terhadap kanak-kanak atau lelaki yang dianggap hina oleh penghuni penjara lain.

Catat Ulasan for "KISAH REYNHARD SINAGA: Pemangsa Seksual Paling Kejam dalam Sejarah Britain"