KES DR. NEHA GUPTA : Doktor Pediatrik yang Didakwa Bunuh Anak Sendiri

Pada Jun 2025 bertempat di Amerika Syarikat, seorang doktor pediatrik terkenal dari Oklahoma iaitu Dr. Neha Gupta telah dituduh membunuh anak perempuannya sendiri yang baru berusia empat tahun, Aria Talathi. Kejadian ini berlaku ketika mereka sedang bercuti di sebuah rumah sewa yang terletak di El Portal, Florida. Pada mulanya, Dr. Neha memaklumkan bahawa anaknya itu telah lemas di kolam renang. Hasil siasatan forensik kemudiannya bagaimanapun mendedahkan fakta yang jauh berbeza daripada dakwaan awal tersebut.
Menurut maklumat dari laporan awal, Aria dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum akhirnya disahkan meninggal dunia. Walau bagaimanapun, hasil autopsi menunjukkan sesuatu yang mencurigakan di mana tiada sebarang kesan air ditemui di dalam paru-paru atau perut mangsa, sesuatu yang mustahil sekiranya benar dia mati akibat lemas. Pihak forensik sebaliknya menemui beberapa kesan lebam dan calar di dalam mulut Aria yang dipercayai konsisten dengan kematian akibat sekatan pernafasan secara paksa.

Siasatan lanjut turut membongkar konflik dalam latar belakang keluarga mereka. Dr. Neha dilaporkan telah bercerai dengan bekas suaminya, Dr. Saurabh Talathi pada tahun 2024 selepas proses penceraian yang memakan masa selama dua tahun. Sepanjang tempoh itu, mereka terlibat dalam pertikaian panjang berhubung hak penjagaan anak. Walaupun mahkamah akhirnya memutuskan hak penjagaan bersama, hubungan antara kedua-dua pihak kekal tegang. Tambahan pula, Dr. Neha turut diarahkan oleh mahkamah untuk membayar pampasan guaman sebanyak USD 79 000 (sekitar RM335 000) kepada bekas suaminya.
Pihak pendakwaan percaya bahawa tekanan dan konflik ini menjadi faktor utama yang mendorong kepada tindakan tragis tersebut. Dr. Neha dipercayai membawa anaknya ke Florida tanpa pengetahuan dan kebenaran daripada bekas suaminya yakni satu tindakan yang dianggap sebagai melanggar perintah mahkamah. Menurut pihak polis, tindakan membawa Aria tanpa izin itu dipercayai sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mengelakkan bekas suaminya daripada terus mendapatkan hak penjagaan. Motif yang dikemukakan oleh pendakwa adalah bahawa Dr. Neha mengambil jalan paling ekstrem iaitu membunuh anaknya sendiri sebagai penyelesaian kepada konflik tersebut. Dia juga didakwa cuba menutup perbuatannya dengan menyatakan kononnya anaknya lemas ketika mandi di kolam renang.

Selepas kejadian itu, Dr. Neha dilaporkan pulang ke Oklahoma dan menjalani kehidupan seperti biasa, seolah-olah tiada perkara luar biasa yang berlaku. Namun sebaik sahaja hasil laporan forensik lengkap dan bukti mencukupi diperoleh, pihak berkuasa bertindak menahan wanita terbabit di rumahnya di Oklahoma. Dr. Neha kemudiannya diekstradisi ke Florida untuk menghadapi pertuduhan membunuh peringkat pertama. Buat masa ini, dia ditahan tanpa jaminan sementara menantikan proses perbicaraan di Mahkamah Miami-Dade.
Peguam bela yang mewakili Dr. Neha menafikan semua pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guam mereka dan menegaskan bahawa kematian Aria adalah satu kemalangan yang tragis. Pihak pendakwaan berpegang teguh bahawa bukti yang dikemukakan khususnya laporan forensik yang menunjukkan bahawa insiden ini bukan satu kemalangan semata-mata tetapi sebaliknya satu perbuatan yang disengajakan dan dirancang terlebih dahulu.

Dr. Neha sebelum ini dikenali sebagai seorang doktor pediatrik yang berdedikasi, berpengalaman dan dihormati dalam komuniti perubatan. Dia telah berkhidmat di beberapa hospital kanak-kanak terkemuka dan sering terlibat dalam program kesedaran kesihatan untuk ibu bapa serta komuniti setempat. Reputasinya sebagai seorang profesional yang penyayang dan komited menjadikan kes ini mengejutkan ramai pihak termasuk rakan sekerja dan pesakitnya. Kini Dr. Neha berdepan kemungkinan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah atas tuduhan membunuh anak kandungnya sendiri,
Catat Ulasan for "KES DR. NEHA GUPTA : Doktor Pediatrik yang Didakwa Bunuh Anak Sendiri"