GURU WANITA DIDAKWA ATAS 55 PERTUDUHAN SERANGAN SEKSUAL TERHADAP PELAJAR LELAKI BAWAH UMUR

AMERIKA SYARIKAT - Seorang bekas guru wanita di Downers Grove South High School, Illinois, Amerika Syarikat berdepan 55 pertuduhan jenayah seksual melibatkan seorang pelajar lelaki bawah umur. Tertuduh iaitu Christina Formella, 30 tahun yang sebelum ini berkhidmat sebagai guru pendidikan khas dan jurulatih bola sepak di sekolah tersebut didakwa melakukan penderaan seksual terhadap pelajar berusia 15 tahun dalam tempoh hampir dua tahun.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara Daerah DuPage, siasatan ke atas Christina bermula pada 15 Mac 2025 apabila mangsa bersama ibunya hadir membuat laporan polis. Menerusi aduannya, mangsa mendakwa telah diperkosa oleh Formella semasa sesi tuisyen peribadi yang diadakan pada Disember 2023 di luar waktu persekolahan. Pihak berkuasa bertindak pantas membuka siasatan dan menemui bukti awal berupa mesej teks serta kandungan komunikasi digital antara tertuduh dan mangsa.

Hasil siasatan awal membawa kepada dua pertuduhan pertama iaitu satu pertuduhan jenayah seksual dan satu pertuduhan gangguan seksual berat. Namun selepas siasatan diperluaskan, pihak pendakwaan mendapati penderaan tersebut berlaku secara berulang sejak Januari 2023 sehingga sekurang-kurangnya Ogos 2024 termasuk semasa sesi sekolah berlangsung. Ini membawa kepada tambahan 52 pertuduhan lagi pada 17 Jun 2025 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan ke atas Christina Formella kepada 55. Senarai pertuduhan tersebut meliputi 20 kes jenayah rogol, 20 kes gangguan seksual berat, enam kes godaan lucah terhadap kanak-kanak dan enam kes antunan seksual.
Pendakwa raya negeri, Robert Berlin dalam satu kenyataan media menyifatkan kes ini sebagai antara yang paling serius membabitkan pelaku wanita dalam sejarah pendidikan tempatan. “Apa yang berlaku amat menyedihkan dan sangat mengecewakan. Seorang guru yang diamanahkan untuk mendidik dan melindungi pelajar telah menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan tersebut dengan cara yang sangat menjijikkan,” ujarnya.
Dokumen pertuduhan menyatakan bahawa kebanyakan insiden berlaku di dalam kawasan sekolah itu sendiri, termasuk di pejabat guru, bilik persalinan dan ruang kelas dengan jumlah kejadian yang direkodkan melebihi 45 kali. Selebihnya berlaku di kediaman Christina Formella sendiri. Beberapa perbuatan turut berlaku ketika aktiviti luar sekolah di mana Formella dipercayai memperdaya mangsa dengan janji akademik dan emosi.
Pihak pendakwaan turut membentangkan bukti berupa mesej teks, catatan aplikasi Notes di telefon bimbit tertuduh serta rakaman video pengawasan dalaman sekolah. Antara catatan dalam aplikasi Notes itu menunjukkan ekspresi emosi Formella terhadap mangsa yang menggambarkan sifat obsesi dan kawalan psikologi yang dikenakan terhadap pelajar terbabit. Dalam satu nota, tertuduh menyifatkan hubungan mereka sebagai sesuatu yang istimewa dan tidak akan difahami oleh orang lain.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Formella menyusun hubungan tersebut dengan rapi untuk mengelak dikesan pihak sekolah termasuk memberi ugutan halus agar mangsa tidak bercerita kepada sesiapa serta menyediakan alibi sekiranya wujud syak wasangka daripada guru lain.
Susulan daripada pertuduhan tersebut, Christina Formella telah dibebaskan dengan ikat jamin bersyarat. Antara syarat yang dikenakan ialah larangan keras untuk mendekati mana-mana individu bawah umur, tidak dibenarkan memasuki mana-mana kawasan sekolah serta pemakaian peranti pemantauan GPS di pergelangan kaki. Dia kini berada dalam pengawasan ketat sementara menunggu perbicaraan penuh.
Perbicaraan seterusnya dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos 2025 di Mahkamah Daerah DuPage, di hadapan Hakim Mia McPherson. Sekiranya disabitkan kesalahan bagi semua pertuduhan, Christina Formella berdepan hukuman penjara sehingga 60 tahun atau lebih. Sementara itu, pihak Lembaga Sekolah Daerah Downers Grove turut memulakan siasatan dalaman terhadap kegagalan sistem keselamatan dan pemantauan di sekolah tersebut. Beberapa kakitangan turut dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung prosedur kerja dan pemantauan pelajar semasa waktu persekolahan.

Christina Formella dilaporkan telah berkahwin. Dia mendirikan rumah tangga dengan teman lelakinya dari zaman kolej yang bernama Michael Mike Formella pada Ogos 2024 yakni beberapa bulan selepas episod hubungan terlarang yang didakwa berlaku. Mike yang juga merupakan bekas pemain besbol di Concordia University Chicago dikatakan hadir semasa tangkapan dan proses sidang awal di mahkamah meskipun dia mendakwa tidak mengetahui mengenai tindakan isterinya terhadap pelajar tersebut.
Catat Ulasan for "GURU WANITA DIDAKWA ATAS 55 PERTUDUHAN SERANGAN SEKSUAL TERHADAP PELAJAR LELAKI BAWAH UMUR"