KISAH LADANG MAUT ZANESVILLE : 49 Haiwan Eksotik Ditembak Selepas Pemiliknya Mati Bunuh Diri

Pada petang 18 Oktober 2011 bertempat di bandar kecil Zanesville di negeri Ohio, Amerika Syarikat, seekor singa Afrika dilihat berkeliaran di tepi lebuh raya disusuli kemunculan harimau Bengal, beruang perang dan serigala liar di kawasan kediaman. Dalam tempoh beberapa minit, panggilan kecemasan bertubi-tubi diterima oleh pihak polis Muskingum County. Penduduk dalam keadaan panik dan pihak berkuasa segera mengaktifkan operasi kecemasan besar-besaran. Tidak ada siapa menyangka bahawa pada hari itu, lebih 50 haiwan liar dan pemangsa telah dilepaskan secara sengaja oleh seorang lelaki.
Individu yang bertanggungjawab dalam insiden itu ialah Terry Thompson, seorang lelaki berusia 62 tahun yang dikenali sebagai pemilik ladang haiwan eksotik. Thompson telah lama menjadi perhatian pihak berkuasa kerana memiliki ratusan haiwan liar termasuk harimau, singa, beruang dan pelbagai jenis kucing besar yang jarang ditemui. Ladangnya terletak di kawasan luar bandar Zanesville dan tidak dikawal secara ketat. Walaupun pernah dikenakan saman berkaitan pemeliharaan haiwan secara kesalahan senjata api, Thompson tetap dibenarkan menyimpan haiwan-haiwan tersebut kerana ketika itu undang-undang Ohio mengenai pemilikan haiwan eksotik sangat longgar dan tidak dikawal rapi.

Siasatan mendapati bahawa pada hari kejadian, Thompson telah membuka semua pintu kandang haiwan di ladangnya dan kemudian menembak dirinya sendiri di kepala dengan senapang. Mayatnya ditemui berhampiran pagar ladang dengan dikelilingi haiwan yang sudah terlepas dan berkeliaran. Motif sebenar perbuatannya tidak diketahui kerana tiada nota bunuh diri ditemui. Namun beberapa minggu sebelum kejadian, Thompson baru sahaja dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman berkaitan kesalahan pemilikan senjata api. Ada juga laporan mengatakan bahawa dia mengalami tekanan kewangan, masalah kesihatan mental dan hubungan rumah tangga yang retak. Thompson yang juga merupakan seorang veteran tentera dikatakan sering menunjukkan perubahan emosi ketara dan mempunyai kecenderungan untuk menyendiri. Ada pihak berpendapat bahawa tindakan Thompson melepaskan semua haiwan sebelum membunuh diri adalah satu bentuk protes peribadi terhadap sistem perundangan dan masyarakat yang dianggapnya tidak adil.
Pihak polis yang tiba di lokasi mendapati situasi sangat kritikal. Sebilangan besar haiwan pemangsa sudah keluar dari kawasan ladang dan menuju ke jalan raya utama serta kawasan kejiranan. Ada yang dilihat di halaman rumah, ada yang hampir memasuki sekolah manakala beberapa haiwan sudah mula menunjukkan tingkah laku agresif. Pihak berkuasa kemudian membuat keputusan drastik yakni memerintahkan semua anggota bertugas untuk menembak mati setiap haiwan liar yang berada di luar kandang demi memastikan keselamatan penduduk.
Dalam tempoh masa kurang daripada 24 jam, seramai lebih 60 pegawai keselamatan dari pelbagai agensi telah dikerah. Semua haiwan yang terlepas terpaksa diburu dan ditembak satu persatu walaupun ramai yang berat hati untuk melakukannya. Akhirnya, 49 ekor haiwan liar ditembak mati termasuk 18 ekor harimau Bengal, 17 ekor singa Afrika, 6 ekor beruang hitam, 2 ekor beruang perang, 3 ekor harimau kumbang, 2 ekor serigala kelabu dan seekor babun.

Operasi berakhir keesokan paginya setelah semua haiwan berjaya dikesan. Sebilangan kecil haiwan, termasuk 3 ekor harimau, seekor beruang perang dan seekor monyet kecil ditemui masih berada dalam kandang tidak dilepaskan oleh Thompson. Haiwan-haiwan ini berjaya diselamatkan dan kemudiannya dihantar ke Columbus Zoo and Aquarium untuk perlindungan serta pemulihan.
Susulan kejadian tersebut, Negeri Ohio yang sebelum ini tidak mewajibkan lesen khas atau pemeriksaan keselamatan terhadap pemilik haiwan eksotik menerima tekanan besar dari dalam dan luar negeri. Akhirnya pada tahun 2012, kerajaan negeri meluluskan undang-undang baharu yang melarang pemilikan haiwan eksotik berbahaya tanpa lesen rasmi dan semua pemilik sedia ada perlu mendaftarkan haiwan mereka serta mematuhi piawaian keselamatan yang ketat. Undang-undang ini turut menetapkan larangan terhadap perdagangan haiwan liar secara terbuka.
Catat Ulasan for "KISAH LADANG MAUT ZANESVILLE : 49 Haiwan Eksotik Ditembak Selepas Pemiliknya Mati Bunuh Diri"