KISAH DIEGO COSTA SILVA : Penggal Kepala Isteri Kerana Nampak Seperti Ular

Beberapa hari sebelum pembunuhan itu, Diego sudah menunjukkan tingkah laku luar kawalan. Pada 2 November 2021, dia dilaporkan berlari dalam keadaan berbogel di sekitar kawasan perumahan sambil bercakap perkara-perkara yang tidak masuk akal. Polis telah menahan Diego lalu membawa lelaki itu ke Hospital Mater di Dublin untuk pemerhatian. Tindakannya yang ganjil ketika itu menunjukkan tanda-tanda awal gangguan psikiatri. Namun apa yang mengejutkan ialah selepas hanya satu malam, Diego dibenarkan keluar dari hospital pada 3 November iaitu kurang 24 jam sebelum pembunuhan berlaku.
Pada 4 November yakni keesokan harinya selepas dibebaskan dari hospital, Diego bertindak membunuh isterinya sendiri di dalam rumah mereka. Menurut laporan forensik dan siasatan pihak berkuasa, Diego memenggal kepala isterinya menggunakan senjata tajam sebelum berjalan keluar dari rumah dalam keadaan berlumuran darah. Semasa ditahan, dia berada dalam keadaan terkeliru dan tidak menunjukkan sebarang penyesalan selain percaya bahawa tindakannya itu adalah satu bentuk penyelamatan. Sepanjang tempoh siasatan, Diego menjelaskan bahawa dia percaya Fabiola telah dirasuk oleh sejenis makhluk berbentuk ular dan hanya dengan memenggal kepala isterinya itu sahaja makhluk tersebut dapat dibunuh.

Tindakannya itu merupakan akibat langsung daripada gangguan psikotik yang dialaminya ketika itu. Ketika perbicaraan berlangsung di Mahkamah Jenayah Pusat Dublin pada Mac 2024, dua orang pakar psikiatri forensik yang menjalankan penilaian terhadap Diego iaitu Dr Mark Joynt dan Dr Brenda Wright memberikan keterangan bahawa Diego mengalami cannabis-induced psychosis (psikosis yang dicetuskan oleh ganja). Mereka menjelaskan bahawa gejala psikotik yang dialami oleh Diego ialah bentuk gangguan mental serius yang menyebabkan halusinasi, delusi dan hilang keupayaan menilai realiti. Apa yang membimbangkan ialah gejala itu berlanjutan selama hampir dua minggu walaupun Diego telah ditahan dan tidak lagi menggunakan sebarang bahan terlarang selepas kejadian pembunuhan.
Cannabis-induced psychosis ialah keadaan mental yang dikenal pasti dalam dunia psikiatri moden sebagai gangguan psikotik yang boleh berlaku dalam kalangan pengguna ganja tegar atau individu yang mempunyai kerentanan genetik terhadap gangguan mental. Simptom utamanya termasuk halusinasi, delusi, paranoia dan kekeliruan ekstrem. Dalam kes Diego, delusinya begitu kuat sehingga dia mempercayai isterinya benar-benar telah dimakan atau diambil alih oleh makhluk jahat dan tindakan memenggal kepala dianggap satu bentuk pembebasan atau penyucian spiritual.

Semasa perbicaraan, peguam bela Diego mengemukakan pembelaan bahawa anak guamnya tidak waras semasa kejadian berlaku. Mereka berhujah bahawa Diego tidak mempunyai niat jenayah tetapi sebaliknya berada dalam keadaan psikotik yang menyebabkan dia tidak mampu membezakan antara realiti dan ilusi. Pihak pendakwa tidak membantah keterangan perubatan tersebut. Pada akhirnya, juri yang terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita mengambil masa lebih dua jam untuk mencapai keputusan sebulat suara. Pada 8 Mac 2024, mahkamah memutuskan bahawa Diego Costa Silva tidak bersalah atas tuduhan membunuh atas alasan tidak siuman (not guilty by reason of insanity) menurut peruntukan dalam Criminal Law (Insanity) Act 2006.
Susulan keputusan itu, mahkamah mengarahkan Diego dihantar ke Hospital Mental Pusat untuk rawatan lanjut serta penilaian berkala oleh pakar psikiatri. Penahanan Diego di hospital tersebut tidak mempunyai tempoh yang tetap di mana dia bergantung kepada tahap pemulihannya dan sama ada dia masih dianggap berbahaya kepada dirinya atau orang lain.
Catat Ulasan for "KISAH DIEGO COSTA SILVA : Penggal Kepala Isteri Kerana Nampak Seperti Ular"