Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN AMIT KHUNT : Lelaki yang Bunuh Diri Akibat Difitnah Mencabul

     Pada bulan Mei 2025, satu kejadian menyayat hati telah berlaku di negeri Gujarat, India. Seorang lelaki bernama Amit Khunt, 37 tahun telah ditemui mati akibat bunuh diri selepas dituduh mencabul seorang gadis bawah umur berusia 17 tahun. Namun selepas kematiannya, siasatan polis mendedahkan bahawa tuduhan tersebut adalah satu fitnah terancang yang melibatkan beberapa individu termasuk seorang wanita dewasa, dua peguam dan remaja perempuan itu sendiri. 

     Segalanya bermula apabila Amit berkenalan dengan seorang remaja perempuan melalui media sosial. Gadis itu yang terlebih dahulu menghantar mesej, berbual mesra dan cuba menjalin hubungan dengan Amit. Amit yang bersikap terbuka dan tidak mempunyai sebarang niat jahat membalas perbualan itu tanpa menyangka ia adalah permulaan kepada satu perangkap. Tidak lama kemudian, gadis tersebut membuat laporan polis mendakwa Amit telah mencabulnya. 

     Amit mula menerima tekanan hebat daripada orang sekeliling. Di kawasan luar bandar seperti tempat tinggal Amit, masyarakat masih berpegang kuat pada nilai tradisional dan pandangan konservatif terhadap isu maruah. Tuduhan melibatkan gangguan seksual walaupun belum dibuktikan bersalah selalunya cukup untuk menjatuhkan nama seseorang serta-merta. Amit dipulaukan, dihina dan dicemuh tanpa diberi peluang membela diri. Lebih menyakitkan, maruah dirinya dan keluarganya tercalar teruk bukan kerana kesalahan yang dibuktikan tetapi kerana pandangan umum yang terlalu cepat menghukum. Tidak tahan dengan tekanan yang berterusan, Amit akhirnya membunuh diri pada 5 Mei 2025. Di tempat kejadian, pihak polis menemui nota bunuh diri yang ditulis olehnya. Dalam nota tersebut, Amit menyatakan bahawa dia telah difitnah dan menamakan beberapa individu yang menurutnya bertanggungjawab termasuk seorang wanita bernama Pooja Rajgor, dua peguam iaitu Sanjay Pandit dan Dinesh Patar serta dua ahli keluarga kepada seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

     Berikutan penemuan nota tersebut, pihak polis melancarkan siasatan penuh. Hasil siasatan mendedahkan bahawa gadis remaja itu telah diarahkan oleh Pooja Rajgor untuk mendekati Amit secara sengaja, dan dia dijanjikan ganjaran jika berjaya melaksanakan rancangannya. Dua peguam turut disyaki terlibat dalam menyusun laporan palsu terhadap Amit. Berdasarkan bukti serta pengakuan awal, pihak polis menahan empat individu iaitu gadis bawah umur itu, Pooja Rajgor dan dua peguam terbabit. Mereka kini sedang didakwa atas kesalahan membuat laporan palsu, berkomplot untuk memfitnah dan menyebabkan tekanan psikologi hingga membawa kepada kematian.

     Walau bagaimanapun, dua nama penting yang disebut dalam nota bunuh diri Amit yang dikenali sebagai Aniruddhsinh Jadeja dan Rajdeepsinh Jadeja masih belum ditangkap. Mereka merupakan anak dan cucu kepada bekas ADUN yang pernah terlibat dalam pertikaian tanah dengan Amit. Polis mengesyaki bahawa dendam lama inilah yang menjadi punca konspirasi tersebut dirancang. Notis sekatan luar telah dikeluarkan terhadap kedua-dua mereka tetapi mereka dilaporkan menghilangkan diri.

     Pada 9 Jun 2025, gadis bawah umur itu memberi keterangan di mahkamah. Dalam kenyataannya, dia menolak dakwaan dalam nota bunuh diri Amit dan tetap bertegas bahawa dia dicabul. Namun apa yang lebih mengejutkan, dia juga mendakwa telah dipaksa oleh beberapa individu termasuk bekas ADUN dan anggota polis untuk menamakan orang tertentu dalam laporan. Dia kini memohon perlindungan keselamatan kerana bimbang terhadap keselamatan diri dan keluarganya. Kenyataan yang bercanggah ini menambahkan lagi kekeliruan dan kerumitan kes. Hingga setakat ini, siasatan kes masih lagi berjalan.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN AMIT KHUNT : Lelaki yang Bunuh Diri Akibat Difitnah Mencabul"