Kes Pembunuhan Pelajar Universiti Idaho: Bryan Kohberger Mengaku Bersalah

Kohberger yang berusia 30 tahun sebelum ini menafikan sebarang keterlibatan dalam pembunuhan berprofil tinggi itu. Namun dalam satu perjanjian dengan pihak pendakwa raya, dia bersetuju untuk mengaku bersalah sebagai balasan kepada penarikan semula hukuman mati daripada pertuduhan terhadapnya. Sebagai gantinya, Kohberger akan menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol dengan satu tambahan hukuman penjara selama 10 tahun atas kesalahan pecah rumah. Sepanjang prosiding di mahkamah, Kohberger menjawab "ya" dengan jelas terhadap setiap pertanyaan berkenaan kesalahan yang dilakukan menandakan pengakuan penuh dan tidak bersyarat.
Kes pembunuhan ini berlaku pada 13 November 2022, apabila empat pelajar Universiti Idaho yang dikenali sebagai Ethan Chapin (20 tahun), Xana Kernodle (20 tahun), Madison Mogen (21 tahun) dan Kaylee Goncalves (21 tahun) ditemui mati ditikam di sebuah rumah sewa pelajar di bandar kecil Moscow, Idaho. Keempat-empat mangsa dipercayai diserang dengan ganas sewaktu mereka sedang tidur. Tiada tanda pecah masuk atau pencurian dan kejadian ini segera menarik perhatian ramai apabila polis tidak membuat tangkapan segera sehingga menyebabkan timbulnya pelbagai teori dan spekulasi dalam media dan platform media sosial.

Pihak penyiasat akhirnya menahan Kohberger pada 30 Disember 2022 di rumah keluarganya di Pennsylvania selepas siasatan forensik dan teknologi moden membantu mengesan DNA yang ditemui pada sarung pisau berhampiran salah seorang mangsa. Selain itu, data telefon bimbit, rakaman CCTV dan corak pergerakan kenderaan Kohberger telah digunakan untuk mengaitkannya dengan tempat kejadian. Bukti-bukti tersebut memperkukuh kes pendakwaan meskipun tiada motif jelas berjaya dibuktikan secara terbuka sepanjang siasatan.
Menurut pihak pendakwa, Kohberger telah melakukan kajian terperinci terhadap mangsa dan tempat kejadian selain dipercayai telah mengikuti perkembangan kes melalui media selepas kejadian pembunuhan itu berlaku. Pengakuan bersalah Kohberger telah melegakan banyak pihak terutama keluarga mangsa yang selama ini menanti keadilan ditegakkan.
Majlis hukuman rasmi Kohberger dijadualkan berlangsung pada 23 Julai 2025. Peguam bela Kohberger menyatakan bahawa anak guamnya membuat keputusan ini demi mengelakkan tekanan lanjut terhadap semua pihak termasuk keluarga mangsa dan saksi yang bakal terlibat dalam perbicaraan. Hakim turut memuji keberanian keluarga mangsa yang menunjukkan kekuatan dan ketabahan sepanjang proses keadilan ini berlangsung.

Selepas disabitkan kesalahan, Kohberger dijangka akan dihantar ke Idaho Maximum Security Institution (IMSI), sebuah penjara keselamatan maksimum yang terletak di Boise, Idaho. IMSI merupakan fasiliti penahanan paling ketat di negeri tersebut dan antara penjara yang paling digeruni di Amerika Syarikat. Ia menempatkan banduan-banduan berisiko tinggi termasuk mereka yang dihukum mati, pesalah seksual berbahaya dan individu yang menjalani pengasingan berterusan. Penjara ini sering dikritik kerana keadaan yang kejam dan menekan. Banduan-banduan di IMSI dikategorikan dalam sistem close custody di mana mereka dikawal rapi dan hampir keseluruhan masa diasingkan daripada banduan lain. Tahanan seperti Kohberger berkemungkinan besar akan ditempatkan dalam sel solitari (pengasingan bersendirian) bagi mengelakkan risiko serangan dari banduan lain memandangkan kesnya yang sangat mendapat liputan media.
Malah pakar keselamatan penjara menyatakan bahawa Kohberger mungkin menjadi sasaran keganasan dalam kalangan banduan lain. Jenayah yang dilakukannya melibatkan mangsa yang masih muda dan tidak bersenjata yakni sesuatu yang sering dianggap menjijikkan walaupun dalam kalangan pesalah berat lain. Ditambah pula dengan liputan meluas yang diterimanya di media antarabangsa, ia berpotensi menimbulkan kebencian atau dendam dalam kalangan penghuni penjara. Berikutan faktor inilah pihak penjara dijangka akan mengambil langkah berjaga-jaga maksimum termasuk pengasingan jangka panjang, pemantauan kamera 24 jam dan had interaksi dengan banduan lain.
Menurut laporan dari Newsweek dan Vanity Fair, IMSI juga terkenal dengan keadaan kebersihan yang menyedihkan, bau busuk yang berpanjangan di koridor sel dan kekurangan akses kepada rawatan kesihatan mental serta fizikal. Penjara ini juga telah tersenarai sebagai antara penjara paling kejam di Amerika oleh beberapa badan pemantau hak asasi.
Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Pelajar Universiti Idaho: Bryan Kohberger Mengaku Bersalah"