LELAKI MAUT DISERANG BERUANG KETIKA CUBA AMBIL SWAFOTO

ROMANIA — Seorang pelancong warga Itali iaitu Omar Farang Zin dilaporkan maut dalam satu kejadian ngeri apabila dia diserang seekor beruang coklat di pergunungan Carpathia. Kejadian ini berlaku di laluan terkenal Transfagarasan yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan pemandangannya.
Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, mangsa yang berusia 49 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal secara solo sebelum dia berhenti di satu kawasan yang terletak tidak jauh dari laluan utama. Dalam usaha untuk merakam gambar bersama seekor beruang yang dilihatnya di kawasan itu, Omar didakwa telah mendekati haiwan tersebut dan cuba memberi makanan. Tindakan ini dipercayai menjadi pencetus kepada serangan yang berlaku tidak lama selepas itu.
Beberapa pelancong lain yang turut berada di kawasan berdekatan mendakwa melihat Omar menghampiri seekor beruang betina yang turut ditemani anaknya. Mangsa dipercayai telah turun dari motosikalnya dan cuba mengambil swafoto dari jarak dekat dengan beruang tersebut. Malangnya, beruang betina itu menjadi agresif lalu menyerang Omar dipercayai kerana berasa terancam dengan kehadiran manusia yang terlalu hampir dengan anaknya.

Dalam keadaan panik, mangsa cuba melarikan diri tetapi malangnya dia telah diseret oleh haiwan itu ke dalam gaung berhampiran. Pihak kecemasan dihubungi segera selepas beberapa saksi kejadian melihat insiden tersebut. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan serta-merta dan mayat Omar ditemui kira-kira satu jam kemudian di dasar jurang yang curam dalam keadaan cedera parah akibat serangan beruang.
Beruang yang terlibat dalam serangan tersebut telah ditemui semula di lokasi berhampiran dan dilaporkan telah ditembak mati oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan ancaman berulang terhadap orang awam.
Lebih mengejutkan yakni sehari sebelum kejadian itu berlaku, Omar telah memuat naik beberapa gambar dan video di media sosial yang menunjukkan dirinya berada sangat hampir dengan beberapa ekor beruang lain. Salah satu gambar memperlihatkan dia berswafoto dengan seekor anak beruang manakala satu video lain merakamkan saat seekor beruang menghampirinya dengan jarak yang sangat dekat.
Pihak berkuasa Romania menegaskan bahawa mendekati atau memberi makan kepada beruang adalah perbuatan yang bukan sahaja dilarang tetapi amat berbahaya. Negara itu memiliki antara populasi beruang coklat terbesar di Eropah dianggarkan antara 10 000 hingga 13 000 ekor dan insiden serangan beruang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dalam tempoh 20 tahun lalu, sekurang-kurangnya 30 kes serangan beruang yang membawa maut telah direkodkan dengan 19 daripadanya berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Pakar hidupan liar menjelaskan bahawa interaksi manusia yang terlalu kerap terutamanya perbuatan memberi makanan kepada beruang telah menyebabkan haiwan tersebut semakin berani menghampiri manusia sekali gus menjadikan keadaan semakin berisiko. Apabila beruang mula mengaitkan kehadiran manusia dengan sumber makanan, ia meningkatkan potensi serangan sekiranya mereka merasa terancam atau terganggu.
Mayat Omar Farang Zin dijangka akan diterbangkan pulang ke Itali dalam masa terdekat untuk urusan pengebumian. Keluarganya yang masih terkejut dengan kejadian itu meminta privasi dihormati dan berharap isniden ini dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai mengenai bahaya interaksi tidak wajar dengan haiwan liar.
Catat Ulasan for "LELAKI MAUT DISERANG BERUANG KETIKA CUBA AMBIL SWAFOTO "