KISAH BENAR SUAMI YANG BUNUH ISTERI MENGGUNAKAN ULAR TEDUNG

Pada tahun 2020, India dikejutkan dengan satu kes pembunuhan luar biasa yang melibatkan kematian seorang wanita muda akibat dipatuk ular tedung berbisa. Kes ini digelar sebagai rarest of rare oleh media dan pihak kehakiman India. Lebih mengejutkan, pembunuhan itu dirancang dengan begitu teliti oleh individu yang paling dipercayai mangsa iaitu suaminya sendiri.
Mangsa yang dikenali sebagai Uthra merupakan seorang wanita berusia 25 tahun yang tinggal di Kollam, Kerala, India. Dia dilaporkan mengalami sedikit masalah mental ringan tetapi tetap menjalani kehidupan yang normal dan bergantung kepada keluarganya. Uthra telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Sooraj S. Kumar yang bekerja sebagai kerani bank. Mereka mempunyai seorang anak lelaki yang masih kecil. Keluarga Uthra berasal daripada keluarga berada. Mereka telah memberikan sejumlah harta dan wang tunai sebagai hantaran kepada Sooraj semasa perkahwinan mereka. Ini termasuklah wang tunai sebanyak ₹500 000 (sekitar RM28 000), emas bernilai tinggi serta sebuah kereta baharu.

Menurut siasatan, Sooraj mula merancang untuk membunuh isterinya beberapa bulan sebelum kejadian. Dalam percubaannya yang pertama, dia membeli seekor ular kapak (Russell’s viper) iaitu salah satu ular paling berbisa di India. Pada bulan Mac 2020, Sooraj membawa ular itu ke rumah keluarganya dan melepaskannya berhampiran tempat Uthra sedang berehat. Ular itu kemudian mematuk Uthra hingga menyebabkan wanita ituvmengalami kecederaan parah dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama hampir dua bulan. Walau bagaimanapun, Uthra terselamat daripada insiden itu. Malangnya, perkara ini tidak menghalang Sooraj kerana dia merancang sesuatu yang lebih kejam dan licik.
Beberapa minggu selepas Uthra dibenarkan keluar dari hospital, Sooraj memulakan langkah kedua dalam rancangannya. Kali ini, dia mendapatkan seekor ular tedung selar (Indian cobra) yang terkenal dengan bisa yang mampu membunuh manusia dalam tempoh masa yang singkat. Ular ini dibeli daripada seorang penangkap ular tempatan dengan bayaran yang tinggi. Sooraj kemudian menyimpan ular tersebut di rumahnya selama beberapa hari. Sepanjang tempoh itu, dia memastikan ular tidak diberi makan agar menjadi lebih agresif.

Keluarga Uthra bagaimanapun mula curiga dengan kejadian itu. Ini kerana kes patukan ular yang hampir meragut nyawa anak mereka baru sahaja berlaku beberapa bulan sebelumnya. Lebih mencurigakan, rumah tempat kejadian adalah rumah moden tertutup rapi yang dilengkapi penghawa dingin dan pintu bertutup. Maka sangat tidak logik seekor ular bisa boleh merayap masuk ke bilik tidur tanpa disedari sesiapa.
Disebabkan rasa tidak puas hati, keluarga Uthra membuat laporan polis dan siasatan rasmi dimulakan. Polis kemudian mendapatkan bantuan pakar herpetologi terkenal, Vava Suresh yang menyatakan bahawa adalah hampir mustahil seekor ular tedung akan menggigit manusia dalam keadaan semula jadi ketika berada di tempat tertutup seperti itu kecuali jika dipaksa.
Penyiasat juga mendapati beberapa transaksi mencurigakan telah dibuat oleh Sooraj berkaitan pembelian ular. Setelah didesak, Sooraj akhirnya mengaku bahawa dia telah membeli ular berbisa untuk membunuh isterinya. Lelaki terbabit merancang pembunuhan tersebut dengan niat untuk mewarisi semua harta isteri dan menghapuskan tanggungjawab rumah tangga.

Sooraj didapati tamak dengan harta yang diperoleh hasil perkahwinan mereka. Dia tidak mahu menceraikan isterinya kerana bimbang harta akan kembali kepada keluarga mentuanya. Susulan itu, Sooraj memilih untuk membunuh Uthra dengan cara yang sukar dikesan dan hampir mustahil untuk disabitkan dengan menggunakan haiwan berbisa. Dia menyusun segalanya dengan teliti, termasuk menutup jejaknya, memberi ubat kepada isterinya dan memilih waktu yang tepat. Namun bukti saintifik dan pakar ular memainkan peranan penting dalam membongkar jenayah ini.
Setelah perbicaraan yang panjang dan rumit, Mahkamah Sesyen Kollam pada 13 Oktober 2021 memutuskan bahawa Sooraj bersalah atas tuduhan membunuh isteri dengan niat yang jelas dan perancangan awal. Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup berganda berserta hukuman penjara 17 tahun tambahan dan denda sebanyak ₹500 000. Mahkamah menyatakan bahawa pembunuhan tersebut tergolong dalam kategori pembunuhan paling kejam dan jarang berlaku tetapi tidak menjatuhkan hukuman mati kerana mempertimbangkan faktor usia dan kemungkinan peluang pemulihan.
Catat Ulasan for "KISAH BENAR SUAMI YANG BUNUH ISTERI MENGGUNAKAN ULAR TEDUNG"