Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN MARQUEL BRUMLEY YANG DISEBABKAN JANGKITAN RESDUNG


     Pada tahun 2018 bertempat di Flint, Michigan, Amerika Syarikat, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bernama Marquel Brumley telah meninggal dunia akibat jangkitan resdung atau dalam istilah perubatan yang dikenali sebagai sinusitis. Pada awalnya, jangkitan tersebut disangka ringan dan tidak membahayakan. Namun malangnya ia telah merebak ke otak Marquel lalu menyebabkan komplikasi serius yang akhirnya meragut nyawanya.

     Resdung atau sinusitis secara umumnya merujuk kepada keadaan di mana rongga sinus iaitu ruang berisi udara di tulang muka yang mengalami keradangan akibat jangkitan virus, bakteria atau kulat. Dalam kebanyakan kes, resdung dianggap sebagai gangguan ringan yang akan pulih sendiri dalam masa beberapa hari atau minggu iaitu sama seperti demam selesema biasa. Namun dalam kes yang jarang berlaku, jangkitan ini boleh merebak ke struktur berhampiran seperti mata, tulang tengkorak dan otak. Inilah yang berlaku kepada Marquel, seorang remaja sihat dan aktif sebelum kejadian menimpanya.

     Menurut kenyataan keluarga dan rekod rawatan, Marquel mula menunjukkan gejala ringan seperti sakit kepala, keletihan dan simptom menyerupai selesema sekitar penghujung Februari 2018. Keluarga Marquel membawanya ke sebuah klinik penjagaan segera di kawasan kediaman mereka. Di situ, doktor memaklumkan bahawa dia mengalami jangkitan sinus viral yakni bukan jangkitan bakteria dan menyatakan bahawa ia akan sembuh sendiri tanpa keperluan antibiotik. Marquel dihantar pulang dengan ubat biasa seperti dekongestan dan ubat penahan sakit.

     Cuma selepas beberapa hari, keadaan Marquel tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Malah gejala yang dialaminya semakin membimbangkan. Sakit kepalanya menjadi semakin kuat dan tidak tertanggung. Dia juga mula mengalami gangguan penglihatan, kelesuan yang luar biasa dan berasa keliru. Keluarga Marquel yang bimbang membawanya ke hospital sebanyak beberapa kali tetapi hanya selepas lawatan ke hospital yang ketiga barulah pihak perubatan melakukan ujian pengimejan MRI.

     Keputusan MRI mendapati bahawa jangkitan sinus yang dialami Marquel telah merebak ke otaknya. Jangkitan tersebut menyebabkan keradangan pada tisu otak serta pembentukan trombosis vena serebrum iaitu bekuan darah dalam salur darah otak. Disebabkan itu, dia mengalami dua kali serangan strok dalam masa yang singkat. Tekanan tinggi dalam rongga tengkorak yang dikenali sebagai tekanan intrakranial mula memberi kesan kepada fungsi otak. Marquel dimasukkan ke dalam rawatan rapi dan segera dipindahkan ke Hospital Kanak-Kanak C.S. Mott di Ann Arbor untuk menjalani pembedahan kecemasan bagi melegakan tekanan dalam otaknya.

     Pakar bedah otak di hospital tersebut bertindak pantas menjalankan pembedahan bagi mengurangkan tekanan otak yang kritikal. Keadaan Marquel bagaimanapun sudah terlalu parah. Kerosakan neurologi telah pun berlaku secara menyeluruh. Dia koma dan tidak sedarkan diri selepas pembedahan. Beberapa hari selepas itu, doktor memaklumkan kepada keluarga bahawa otaknya telah mengalami kerosakan kekal akibat kekurangan oksigen. Tiada rawatan lanjutan yang mampu menyelamatkan fungsi otaknya. Jadi keluarga Marquel terpaksa menerima hakikat kehilangan insan tercinta. Marquel meninggal dunia selepas empat minggu bertarung nyawa.

     Marquel bukan sahaja seorang pelajar cemerlang malah dikenali sebagai anak muda yang berhemah, penyayang dan berbakat. Dia aktif dalam sukan bola sepak di sekolah dan juga bermain alat muzik tiupan. Menurut kakaknya, Alexandria, Marquel adalah satu-satunya adik lelaki yang sentiasa mengucapkan kata-kata manis seperti "I love you" kepada ahli keluarga sebelum tidur. Kata-kata terakhir Marquel kepada keluarganya sebelum koma menjadi kenangan yang terpahat dalam hati mereka selama-lamanya. Lebih mengharukan, Marquel merupakan seorang penderma organ berdaftar. Walaupun nyawanya tidak dapat diselamatkan, dia berjaya menyelamatkan tujuh nyawa lain melalui pendermaan organ termasuk jantung, paru-paru dan buah pinggang. 

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN MARQUEL BRUMLEY YANG DISEBABKAN JANGKITAN RESDUNG"