KISAH KEMATIAN RENAE MARSDEN : Mangsa Catfishing oleh Sahabat Sendiri

Pada Ogos 2013 bertempat di negara Australia, satu kejadian menyayat hati telah menimpa seorang wanita muda bernama Renae Marsden. Dia yang baru berusia 20 tahun ketika itu membunuh diri dengan terjun dari tebing tinggi The Gap di Sydney yakni satu lokasi yang terkenal dengan kes bunuh diri. Di sebalik kejadian tragik ini, siasatan pihak berkuasa mendedahkan satu kisah penipuan yang rumit dan mengerikan di mana Renae sebenarnya menjadi mangsa kepada perbuatan penyamaran identiti atau catfishing oleh individu yang tidak lain tidak bukan sahabat karibnya sendiri iaitu Camila Zeidan.
Segalanya bermula sekitar tahun 2011 apabila Renae mula menjalinkan hubungan cinta dalam talian dengan seorang lelaki bernama Brayden Spiteri. Hubungan itu dibina menerusi mesej teks, media sosial dan juga panggilan telefon. Walaupun mereka tidak pernah bertemu secara fizikal, Renae benar-benar percaya bahawa Brayden wujud. Mereka bahkan dikatakan merancang untuk berkahwin. Sepanjang hubungan itu, Renae menerima pelbagai mesej cinta dan janji-janji manis yang menambat hatinya. Namun apa yang tidak diketahuinya ialah Brayden hanyalah watak rekaan semata-mata.

Identiti Brayden sebenarnya dicipta sepenuhnya oleh Camila Zeidan yang juga merupakan sahabat baik Renae sejak zaman persekolahan. Camila telah menggunakan gambar lelaki sebenar yang tidak dikenali mereka untuk mencipta akaun palsu yang lengkap dengan latar belakang rekaan. Bukan itu sahaja, Camila juga sanggup menyamar sebagai Brayden dalam perbualan telefon. Dia dipercayai mengubah suaranya menjadi lebih dalam menggunakan nada perlahan atau berbisik serta memberi alasan kononnya Brayden sedang sakit atau mengalami kecederaan tekak bagi mengelak daripada dicurigai. Hubungan mereka kebanyakannya berlangsung secara dalam talian sekali gus menjadikan penipuan itu lebih mudah dikawal oleh Camila tanpa risiko bersemuka.
Sepanjang dua tahun itu, Camila memainkan peranan ganda sebagai sahabat Renae di dunia nyata dan sebagai Brayden dalam talian. Renae tidak pernah menyedari bahawa dua individu ini sebenarnya orang yang sama. Hubungan cinta yang dipercayai tulen itu memberi kesan mendalam kepada emosi Renae. Cuma apabila Brayden tiba-tiba memutuskan hubungan dan membatalkan rancangan perkahwinan mereka, Renae dilanda kemurungan yang amat berat. Beberapa hari kemudian, dia mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya.

Kematian Renae telah mencetuskan siasatan koroner yang dijalankan pada tahun 2020. Hasil siasatan mendapati bahawa Camila Zeidan bertanggungjawab penuh mencipta dan mengawal identiti palsu tersebut. Dia juga dikesan berbohong dalam keterangannya kepada polis dan pihak koroner. Menurut laporan rasmi siasatan, Camila menunjukkan sifat tidak jujur, dingin dan tidak mempunyai sebarang empati terhadap keluarga mangsa. Pihak koroner menyifatkan tindakannya sebagai satu pengkhianatan melampau terhadap kepercayaan yang diberikan oleh seorang sahabat.
Apa yang lebih mengejutkan ialah tiadanya sebarang tindakan undang-undang yang boleh dikenakan ke atas Camila. Ini kerana pada waktu itu, tiada undang-undang khusus di Australia yang menjadikan catfishing iaitu penyamaran identiti dalam talian sebagai satu kesalahan jenayah selagi ia tidak melibatkan ancaman fizikal, penyalahgunaan seksual atau penipuan kewangan.

Keluarga Renae terutama ibu bapanya telah tampil ke hadapan menuntut perubahan undang-undang agar kes seperti ini tidak berulang. Mereka mencadangkan agar satu undang-undang baharu diperkenalkan yang dikenali sebagai Renae’s Law untuk menghukum perbuatan menyamar dalam talian apabila ia menyebabkan kesan psikologi serius termasuk membawa kepada bunuh diri.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN RENAE MARSDEN : Mangsa Catfishing oleh Sahabat Sendiri"